Sabtu, 12 Oktober 2013

PETANG INI (12/10/13) BERSAMA REFORMIS DAN SDR MUSTAFA KAMIL AYOB DI INDERA MAHKOTA

 
 
Petang ini (12 Okt 2013) Jam 02.30 petang, bertempat di Hotel Seri Manja, Indera Mahkota, Kuantan akan berkumpul sekumpulan reformis lama dan baru juga penggerak arus perjuangan rakyat di dalam Program Hi-Tea bersama Ahli MPP Tuan Hj Mustafa Kamil Ayob.

Mustafa Kamil Ayob juga adalah Presiden MAP (Menjaga Arus Perjuangan), salah satu pertubuhan yang bukannya dari sayap parti sama juga seperti SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia), yang mana pemimpinnya adalah dari ahli parti. SAMM, Penyelarasnya adalah Chegu Bard atau Badrul Hisham Shahrin, ahli PKR yang pernah menjadi calon PKR di Dun Sg Acheh, P.Pinang di dalam PRU 13 baru-baru ini. Sdr Mustafa Kamil juga turut dicalonkan di dalam PRU 13, kedua-duanya tewas.

Apa jua tujuan perjumpaan petang nanti sudah tentulah untuk memantapkan lagi sokongan rakyat kepada parti atau paling tidak pun rakyat tidak lagi menyokong rejim yang ada. Ertikata lain, perjumpaan petang nanti bukannya khas untuk ahli-ahli atau penyokong PKR sahaja, bahkan terbuka kepada semua yang mahu melihat negara ini tidak lagi ditadbir oleh rejim yang ada.

Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama meraikan program petang ini. Semarakkan kebangkitan rakyat dan kita boleh berkongsi cerita dengan para reformis lama dan baru di samping kita mengeratkan lagi kerjasama kita. Rejim tidak boleh tumbang hanya dengan kekuatan parti tanpa ada bantuan dari luar seperti pertubuhan-pertubuhan NGO yang turut berjuang untuk membela nasib rakyat.

Rabu, 9 Oktober 2013

TIMBALAN PRESIDEN PAS - BIAR SAJA MAT SABU VS US TUAN IBRAHIM

SEHINGGA kini kita belum mendapat pengesahan muktamad siapakah yang akan mencabar kedudukan Tuan Hj Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS di dalam Muktamar PAS akan datang.  Cumanya yang kita dengar bahawa yang mungkin menawarkan diri adalah Us Tuan Ibrahim Tuan Man dan Us Nik Amar.  Seorang lagi, Datuk Husam Musa saya tidak fikir dia akan bertanding.

Walaupun ramai yang beranggapan Tuan Hj Mat Sabu tidak perlu dicabar memandangkan beliau telah menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada parti dengan berkesan.  PAS semakin ke hadapan jika dilihat di dalam keputusan PRU 13 yang lalu, itu pun di dalam keadaan PRU yang penuh dengan 'penipuan'.  Mungkin sebab itulah maka Datuk Husam Musa tidak akan menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Nombor Dua di dalam PAS.

Mat Sabu
Jika pun ada pertandingan, aku rasa bukan kerana Mat Sabu gagal berperanan tetapi adalah kerana keinginan untuk melihat golongan Ulamak berada di Kerusi tersebut.  Jika itulah alasannya, aku bersetuju jika salah seorang dari golongan Ulamak masuk bertanding sebagai alternatif kepada ahli-ahli PAS untuk buat pilihan. Kita tidak boleh nafikan bukan sedikit di dalam PAS yang mahukan Ulamak menduduki Kerusi Timbalan Presiden tersebut.  Maka, untuk memuaskan hati semua pihak adalah wajar seorang Ulamak tawarkan diri dan tokoh itu tidak ada yang lain melainkan Us Tuan Ibrahim Tuan Man yang paling sesuai.

Us Tuan Ibrahim Tuan Man
Seandainya Us Nik Amar yang juga seorang Ulamak menawarkan diri, maka sudah tentu undian untuk golongan Ulamak ini akan berpecah dan tentulah 'tidak adil' jika akibat pecahan undi tersebut akhirnya Mat Sabu yang menang.  Bukan bermakna aku tidak suka Mat Sabu menang tetapi aku lebih suka lihat sesiapa yang menang bukan kerana pecahan undi lawan masing-masing.  Lagi pun, perlu apanya Us Nik Amar masuk bertanding jika Us Tuan Ibrahim sudah masuk mewakili golongan Ulamak?

Seandainya berlaku pertandingan dua penjuru iaitu di antara Tuan Hj Mat Sabu dan Us Tuan Ibrahim, maka kita boleh lihat di dalam PAS siapakah yang sesuai dan disepakati oleh Jemaah untuk menduduki Kerusi Nombor Dua tersebut, samada golongan Aktivis atau pun golongan Ulamak.  Siapa pun pilihan ahli-ahli  PAS nanti kenalah terima dengan terbuka. 

Ahad, 6 Oktober 2013

TIMBALAN PRESIDEN PAS - APA SALAH MAT SABU?

JAWATAN Timbalan Presiden PAS masih panas diperdebatkan.  Penyandang jawatan, Mat Sabu awal-awal lagi memberitahu beliau akan mempertahankan jawatannya dan tidak kisah sesiapa pun yang akan bertanding merebut kedudukannya sekarang.  Husam Musa pula yang dianggap begitu popular khususnya di kalangan anak muda juga tidak berhasrat untuk menentang kedudukan Mat Sabu kerana baginya 'tiada sebab untuk melawan Mat Sabu".

Kempen yang berjalan untuk menggugat kedudukan Mat Sabu bukan kerana Mat Sabu tidak berupaya memperkuatkan PAS atau Mat Sabu gagal membawa PAS seiring dengan kekuatan rakan-rakan di dalam PR, tetapi modal mereka hanya kerana Mat Sabu 'bukan Ulamak'.  Ertikata lain, mereka beranggapan PAS hanya lebih dominan atau lebih kuat hanya adanya Ulamak di pimpinan atasan PAS.  Benarkah begitu?

Adakah sebelum ini PAS tidak pernah dipimpin oleh Ulamak di kerusi nombor satu dan dua?  Sewaktu Almarhum Us Yusof Rawa menjadi Presiden (YDP) PAS, Timbalannya adalah Almarhum Us Fadhil Noor.  Kedua-duanya golongan ugama atau Ulamak.  Waktu itu adakah PAS hebat?  Kemudian, Presiden PAS diterajui oleh Almarhum Us Fadhil Noor dan Timbalannya adalah Tuan Guru Hj Hadi Awang.  Benar, PAS kelihatan semakin kuat tetapi harus diingat waktu kebangkitan PAS bermula di era reformasi tahun 1998.  Era reformasi hikmahnya pada PAS begitu jelas.  Pemecatan DS Anwar dari kerajaan seterusnya dipenjarakan, hikmahnya hebat di mana PAS melonjak naik.  

Boleh dikatakan bukan kerana PAS dipimpin oleh Ulamak, Timbalannya Ulamak maka PAS kuat waktu itu.  Semua tahu PAS kuat di era reformasi adalah kerana begitu hebatnya orang membenci Umno waktu itu.  Kemudian, PAS dipimpin pula oleh Tuan Guru Hj Hadi seorang Ulamak dan Us Nasa juga boleh dilategorikan seorang Ulamak.  Apakah kerana faktor itu PAS menjadi semakin kuat?  Jawapannya tidak.  Bukan kerana Ulamak di Kerusi No Satu dan Dua menjadikan PAS kuat.  PAS kuat kerana semenjak era reformasi sokongan terhadap PAS meningkat, apatah lagi apabila PAS duduk bersama PR.  Buktinya, apabila Us Nasa tidak lagi menjadi Timbalan Presiden dan Mat Sabu diangkat, kekuatan PAS tetap utuh.  Mat Sabu bukan Ulamak tetapi beliau lebih kepada aktivis atau pemimpin yang radikal.  

Untuk menentang parti seperti Umno, sememangnya kita mesti ada pimpinan yang radikal.  Dan, PAS tepat di dalam landasannya kerana pimpinan PAS telah lengkap daripada Ulamak di atas, Majlis Syura/Dewan Ulamak/ juga mengawal dasar-dasar parti, PAS juga memiliki aktivis yang radikal dan lantang. 

Seandainya mahu juga diganti Timbalan Presiden kepada golongan Ulamak, tidak menjadi masalah sebenarnya tetapi yang paling penting calon itu mestilah seorang yang lebih lantang dan agresif daripada Mat Sabu.  Kita tidak mahu melihat orang Nombor Dua di dalam PAS yang 'beku' dan 'kaku'.  Ulamak yang ingin berada di Kerusi Nombor Dua itu mestilah Ulamak yang sanggup turun ke akar umbi, sanggup bersusah payah sama seperti orang bawahan dan bersedia berada di hadapan di dalam apa jua situasi.  Seandainya Ulamak itu hanya boleh menjadi Imam, berkhutbah dan memberikan Kuliah sahaja, itu belum cukup kuat untuk menumbangkan rejim Umno/Bn.  

Maka, berfikirlah sebaik mungkin untuk memilih siapakah yang boleh menjadikan PAS lebih kuat dan dihormati oleh kawan dan lawan.  Jika tiada alasan untuk menurunkan Mat Sabu, maka elok kekalkan sahaja Mat Sabu.  Jika orang seperti Us Nasa yang pernah 'bercinta dalam kelambu' bersama Umno itu pun kita pernah angkat menjadi orang di Nombor Dua, apakah salah Mat Sabu?