Jumaat, 15 November 2013

RAUB LOKASI PERTAMA KU SELEPAS PRU 13, JOM JUMPA DI SANA MALAM INI


 
MALAM INI (Jumaat - 15 Nov 13), InsyaAllah, bertempat di Markas PAS, Kg Ria, Raub, Pahang aku telah dijemput untuk meraikan ceramah bersama beberapa pimpinan PR yang hebat-hebat belaka.  Program Ceramah akan bermula jam 09.00 malam.

Berada di dalam kelompok penceramah yang hebat termasuk dari Wakil Rakyat, pimpinan Pusat dan tempatan, siapalah aku yang baru menetas di arena politik semenjak bersara dari alam ketenteraan.  Tentunya kehadiran aku malam ini adalah untuk meraikan program bersama pejuang-pejuang veteren yang penuh pengalaman itu.

Atas jemputan sahabat, orang kuat PKR Cabang Raub, Sdr Rizan Hj Ali yang juga akan berceramah malam nanti, InsyaAllah, aku cuba untuk hadir dan memberikan sedikit perkongsian bersama pimpinan yang lain.  Aku teringat kata-kata Allahyarham Tuan Hj Suhaimi Said yang telah memegang jawatan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR sehingga ke penghujung hayatnya, berjuanglah dengan apa cara sekalipun dan termampu oleh kamu.  Jangan diserahkan pentas perjuangan ini hanya kepada pimpinan semata-mata, andai tidak boleh berucap lakukan tugas menulis, andai tidak boleh menulis lakukan tugas menampal poster, sekiranya itu juga tidak termampu dilakukan raikan lah para pejuang.  Sebaik-baiknya anda lakukan kesemuanya, itulah kata-kata Almarhum.

Malam ini, bersama beberapa pimpinan hebat terdiri dari YB Zulpuri, Us Dr Badrul Amin, Sdr Rizan Ali, pimpinan PAS setempat, aku cuba mengikuti pesanan Almarhum Tuan Hj Suhaimi Said.  Jangan berhenti selepas PRU, bahkan jangan berhenti walaupun kita telah berada di Putarajaya, itu di antara pesanannya lagi.

Kepada rakan-rakan, mari kita bertemu di sana malam ini.  

Khamis, 14 November 2013

KETUA PEMUDA PAS - KEMBALIKAN KE ERA MAHFUZ OMAR MENJADIKAN PAS LEBIH HEBAT

 
SESIAPA pun yang bakal dipilih oleh Perwakilan untuk menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di dalam Muktamar PAS hujung bulan ini sebenarnya tidak menjejaskan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.  Ini adalah kerana PAS sentiasa berada di bawah Majlis Syura Ulamak iaitu badan yang tertinggi di dalam PAS.

Termasuklah juga Jawatan Presiden, Timbalan, Naib dan kesemua AJK PAS Pusat dan keseluruhan Jemaah di dalam parti Islam itu tidak boleh bertindak di luar dari yang dibenarkan oleh Majlis Syura. Ini semuanya kita fahami dan di situlah letaknya kekuatan PAS.

Apa pun yang disebutkan tadi adalah berkaitan dasar parti.  Tetapi, pemimpin yang dipilih tentunya mempunyai kaedah atau pendekatan tersendiri untuk melaksanakan dasar parti.  Pendekatan berbagai bentuk ini tidak dilarang oleh Majlis Syura asalkan tidak bercanggah dengan Islam (Al-Quran, Hadith, Ijmak, Ulamak dan Qias) yang menjadi rujukan utama kepada Majlis Syura.  Oleh sebab itulah di dalam PAS berbagai bentuk dan gaya pendekatan dapat kita lihat daripada pemimpin PAS.

Ada pemimpin yang kepingin dengan pendekatan 'UG' (bersama dengan Umno) untuk membentuk kerajaan Islam dengan mudah kerana Umno mempunyai keahlian majoriti Melayu yang berugama Islam.  Mereka berpendapat lebih baik bersama Umno, berbanding dengan PKR atau DAP yang keahliannya bercampur aduk bangsa dan agama.  Siapa boleh nafikan tiada lagi pemimpin yang masih mengharapkan pendekatan 'UG' ini di dalam PAS?

Pendekatan lain pula, terdapat pemimpin yang mahu agar PAS terus bersama rakan sekutu PKR dan DAP kerana kedua-dua parti ini terbukti lebih baik dari Umno dari segi integritinya.  Pada mereka, apa ertinya bersama dengan kaum Melayu yang Islam tetapi kuat rasuah dan sering melakukan kezaliman terhadap rakyat jelata dari berbagai kaum?  Siapa boleh nafikan Umno masih bergelumang dengan rasuah dan kezaliman?  Bahkan, PAS adalah satu-satunya parti yang kerap dianiayai oleh Umno.  Ini semua pernah diceritakan oleh Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Nik Aziz sendiri.  Bagaimana untuk berbaik dan bersangka baik, tangan kanan berjabat tangan, tangan kiri menumbuk rusuk?

Justeru itu, pendekatan bersama dengan Umno majoritinya ditolak oleh ahli-ahli PAS.  Namun demikian, secara sembunyi-sembunyi mungkin ada yang masih 'bersangka baik' dengan Umno dan tidak pernah serik masuk lubang ular dua kali.  Hujah mereka, Islam menggalakkan perpaduan.  Mereka lupa hujah Umno berbeza, Umno berhujah tentang penyatuan Melayu sahaja.  
 
Satu lagi pendekatan yang sekarang ini amat digemari oleh golongan muda adalah berjuang secara agak 'radikal' dan 'vokal'.  Anak muda mesti di hadapan dan mendepani semua isu.  Sebelum ini dikatakan Pemuda PAS masih gagal mendepani isu yang sebenarnya melambak di negara kita ini.  PAS akan disegani dan dihormati pihak lawan dan kawan jika Pemuda PAS berjaya mendepani isu dan berani ke hadapan.  Suasana ini pernah kita saksikan di zaman Mahfuz Omar mengetuai Pemuda PAS.  
 
Di antara Sdr Suhaizan Kayat, Sdr Kamaruzaman Mohamad dan Sdr Zulhazmi Shariff siapakah yang boleh mengembalikan zaman Mahfuz Omar?  Di antara mereka ini, sesiapa yang mempunyai bakat ciri-ciri kepimpinan Mahfuz Omar atau setidak-tidaknya di zaman Salahuddin Ayob, orang itu tentunya boleh membawa PAS lebih jauh ke hadapan dan disegani. 

Ahad, 10 November 2013

RAMAI SOKONG MAT SABU, MENGAPA TIDAK DICUBA NIK AMAR?

Oleh:  greenclub pp

Subhanallah!

PAS adalah milik ahli PAS, tiada siapa menyangka bahawa Mat Sabu akan menjadi Tim Presiden PAS. Pada percubaan pertama, beliau kalah ditempat ketiga, namun selepas itu beliau diberi peluang oleh Allah. Mat Sabu tidak akan kekal dijawatan tersebut sampai bila-bila, pada suatu hari nanti beliau akan melepaskan jawatan tersebut sebagaimana bertukarnya putaran jam.
 
Nik Amar juga sama seperti Mat Sabu, memasuki pemilihan dengan tangan kosong. Walaupun beliau tidak terkenal seperti Mat Sabu sebagai seorang aktivis dan pemidato, namun beliau lebih terkenal sebagai seorang pentadbir di negeri Kelantan. Latar belakang beliau sebagai seorang ahli parti tidak boleh dipertikaikan, dimana beliau merupakan anak kepada aktivis PAS yang terkenal, Pak Nik Lah Panchor.

Walaupun Nik Amar nampak keseorangan dalam pemilihan ini, namun semua telah maklum bahawa TGNA begitu rapat dengannya.Bahkan pemilihan beliau sebagai Tim. MB Kelantan pun ada kait-kaitan dengan TGNA dan TGHH. Walaupun ada yang mendakwa beliau tidak berkelayakan berbanding dengan Husam Musa, namun rakyat Kelantan menyangkal telahan nakal tersebut. Kepimpinan dan ahli PAS Kelantan setuju untuk memilihnya beliau berdasarkan latar belakang dan kebolehan yang dimiliki.
 
 
Hakikatnya, Mat Sabu sendiri pun gembira jika yang menggantikan beliau untuk jawatan Tim Presiden PAS adalah Nik Amar. Kalau tidak untuk penggal ini, tentu dipenggal seterusnya Mat Sabu akan menyokong Nil Amar untuk jawatan ini.

Setelah PAS berjaya memerintah Kelantan pada 1990, kepimpinan PAS Kelantan dilihat kurang memberi sumbangan kepada PAS pusat. Bahkan PAS Kelantan dilihat terpisah daripada PAS pusat. Keadaan akan berubah apabila salah seorang pimpinan PAS Kelantan berada dalam pimpinan PAS pusat. Mungkin Husam Musa dilihat menjadi wakil kepada PAS Kelantan, namun realitinya dan kenyataan adalah berbeza. Kepimpinan dan ahli PAS Kelantan telah tertutup selera dan berpatah arang dengan beliau. Bahkan beliau diramalkan akan terkeluar dalam pemilihan Naib Presiden PAS untuk kali ini.

Dakwaan Mat Sabu disokong kelompok Pro, sementara Nik Amar disokong oleh kelompok ulamak, merupakan suatu dakwaan berbentuk candu dan najis mughalazah kepada parti PAS. Mereka yang menyebarkan dakwaan ini merupakan musuh parti yang tidak mengenal erti dan maksud perjuangan PAS. Kalau sebelum ini, kita didendang dengan lagu sumbang yang mendakwa kemenangan Mat Sabu sebagai Tim Presiden PAS akan mensyiahkan PAS dan mememalapkan pengaruh ulamak dalam PAS. Bahkan PAS akan menjadi naga berkepala dua, di mana perumpamaan ini merujuk kepada presiden dan tim presiden yang berbeza latar belakang pendidikan.

Ahli PAS adalah pemilih yang memiliki kuasa demokrasi mutlak, mereka berhak dan diberi hak untuk memilih sesiapa sahaja pemimpin demi perjuangan PAS untuk menegakkan amanah Allah di muka bumi. Pemilihan berdasarkan amanah, tidak sama sekali dipengaruhi oleh hawa nafsu, rasuah, teman rapat, warna kulit dan latar belakang pendidikan. Sesiapa yang membuat pemilihan bukan kerana kerana Allah dan jitihad yang dimiliki, maka dosa dan laknat Allah akan ditimpa ke atas mereka.

Selamat memilih!

Saya akan memilih Tuan Ibrahim Tuan Man, Mahfuz Omar dan salahuddin Ayob sebagai Naib Presiden PAS untuk pemilihan 2014.