Sabtu, 30 November 2013

FAEKAH JANGAN BIADAB DENGAN ORANG POLITIK, AZMIN JANGAN MAIN WAYANG KULIT DAN TS KHALID PERLU DENGAR NASIHAT BOS

FAEKAH Husin, Setiausaha Politik MB Selangor tidak perlu bersikap kurang ajar bila menggelar YB Azmin, Timbalan Presiden PKR sebagai sarkas di dalam twitter beliau.  Walaupun beliau mahu menunjukkan setia tidak berbelah bahagi kepada TS Khalid, tetapi beliau harus membela bosnya dengan hujah bukan menghina.

Di dalam isu kenaikan gaji mendadak dan terlalu tinggi yang diluluskan oleh Dun Selangor, bukan sedikit yang tidak bersetuju malah aku jamin jika diadakan pungutan suara pasti ramai yang tidak bersetuju.  Kita bukan tidak bersetuju kesemua Adun dan Speaker itu dinaikkan gaji tetapi biarlah munasabah dengan situasi semasa rakyat kini.  Jika Azmin menentang kenaikan gaji tersebut dan mohon ditangguhkan, kita mahu persoal Azmin mengapa beliau tidak menentang sewaktu Rang Undang-Undang tersebut dibaca dan dibahaskan di dalam Dun?  Aku bersetuju dengan saranan Azmin tetapi tidak bersetuju dengan sikap beliau yang menunggu DS Anwar berbunyi dahulu baru beliau mahu berbunyi.

Aku tidak nampak mengapa begitu tergesa dan begitu tinggi kenaikan gaji itu di dalam keadaan tidak semua masalah rakyat di Selangor berjaya diatasi.  Sekali lagi, aku bersetuju gaji mereka dinaikkan tetapi bukan setinggi itu. Paling memalukan, alasan kenaikan ini adakah kononnya untuk mengelakkan Adun memakan rasuah.  Wajarkah kita memberi "rasuah" untuk mengelak mereka dari melakukan rasuah?  Perbuatan rasuah adakah berkaitan dengan jati diri atau iman bagi mereja yang berugama Islam.  Wang ringgit tidak akan dapat selesaikan masalah rasuah.  Memang benar, Sarawak lagi jauh tinggi gaji Wakil Rakyat mereka tetapi itu bukan alasan untuk kita mengambil kesempatan sehingga rakyat terfikir apakah benar kita melaksanakan kesederhanaan dan berkebajikan?

Betul, rakyat susah dan derita sekarang akibat pemerintahan rejim 47%, mungkin tiada kena mengena dengan kenaikan gaji itu.  Tetapi tidakkah kita terfikir apa perasaan rakyat yang menelan air liur mendengar gaji Wakil Rakyat mereka begitu tinggi di dalam keadaan  mereka merasa amat tertekan dengan kos sara hidup kini?  Belajarlah cara menghormati perasaan orang lain, usah pedulikan sifat tamak haloba pemimpin umno/Bn itu dan jangan kita cuba meniru mereka.

Aku bukan penyokong Azmin, bahkan sebelum Anwar atau Azmin keluarkan kenyataan menegur MB Selangor itu, ramai di antara kita termasuk aku telah mengkritiknya kerana ianya tidak masuk akal dan tidak bijak untuk jangkamasa panjang politik PR di Selangor.  Apa pun alasannya tindakan itu tidak mencerminkan kita mendepani permasalahan rakyat.  

Tidak perlu salahkan TS Khalid seorang dan tidak perlu Faekah meroyan membela bosnya.    Ini tanggungjawab semua ahli Dun termasuk Azmin yang menyokong atau tidak membantah usul ini.   Aku hairan, majoriti di dalam Dun Selangor itu golongan ugama di kalangan orang Melayu tetapi mereka boleh alpa perkara ini.  Jika alasan untuk membantu Adun yang dikatakan tidak cukup duit untuk membangunkan kawasan masing-masing, mengapa tidak ditambah saja peruntukan untuk Wakil-Wakil Rakyat?  

Di dalam isu ini MB Selangor harus mendengar nasihat bos beliau, DS Anwar.  Beliau harus faham beliau naik melalui politik dan berfikirlah cara orang politik.  Azmin pula, jangan sentiasa menunggu bos bersuara baru mahu bersuara sedangkan waktu ada peluang bersuara kamu diam.  Faekah Husin, kerja kamu bukan menghina orang politik kerana kamu harus sedar kamu bekerja dengan orang politik bukan dengan orang korporat.  

Khamis, 28 November 2013

RAKYAT SABAH HARUS REDHA 'KATAK-KATAK' ITU DITERNAK OLEH BN

AKU sedikit pun tidak terkejut jika terlalu banyak 'katak' di Sabah.  Isu terbaru 11 Ketua Cabang PKR dan orang-orangnya telah istihar keluar parti, sedikit pun tidak mengejutkan kerana di Sabah bab kehebatan melompat ini memang tidak boleh ditandingi sebelum PKR bertapak di Sabah lagi.  

Pemimpin PBS sendiri mesti setuju dengan pendapat aku, bahkan parti awal yang hebat seperti USNO pun sudah lali dengan spesis katak ini.  Aku boleh terima ada di antara mereka yang melompat keluar PKR itu menyalahkan sikap campurtangan beberapa pimpinan PKR Pusat yang keterlaluan di negeri tersebut kerana bukan saja di Sabah, di negeri-negeri Semenanjung pun ada pimpinan Pusat yang cuba menjadi Pengarah mencatur orang-orangnya termasuk untuk menjadi calun Pilihanraya.  Itu memang aku akui.  

Aku hampir percaya tindakan mereka itu adalah kerana sikap tidak betul beberapa pimpinan Pusat, tetapi apabila mereka mengambil keputusan untuk keluar parti dan menyokong Bn iaitu kerajaan 47% ini, kepercayaan aku langsung hilang terhadap alasan mereka.  Kini aku lebih yakin mereka melompat keluar kerana mereka tidak tahan mengalami kesukaran perjuangan, dan mereka mahu hidup lebih senang dan berjuang dengan mudah di bawah kerajaan yang majoriti rakyat telah pun tolak itu.  Aku tidak tuduh mereka diberi imbuhan untuk keluar parti, tetapi jika ada yang mendakwa sedemikian aku tidak sukar untuk bersetuju dengan pendapat mereka.  

Kita tidak pelik rakyat Sabah semenjak dulu hingga sekarang masih ditakuk lama kerana perangai orang-orang politik mereka yang seolah-olah 'badi katak' turun temurun.  Rakyat Sabah harus ubah tabiat ini.  Kita di Semenanjung tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubah tabiat pelik orang-orang politik di Sabah yang suka melihat rakyat Sabah terus diperkudakan asalkan mereka senang lenang.  Apa pun ini tidak bererti PKR mesti berputus asa di Sabah.  Tidak semua rakyat Sabah murah harga diri.  PKR mesti terus mencari pemimpin Sabah dari akar umbi yang telah sekian lama teruji dengan kesusahan perjuangan.  Jangan pilih yang sudah biasa senang untuk dilantik sebagai pemimpin walaupun mereka berpendidikan tinggi atau berpengalaman politik kerana orang seperti ini tidak boleh merasai kesusahan.

Ini bukan bermakna kita mesti pilih orang miskin sebagai pemimpin.  Ada juga orang miskin yang tiada harga maruahnya.  Orang miskin yang sanggup jual maruah diri demi perut pun melambak di Sabah.  Terpulanglah kepada rakyat Sabah pemimpin bagaimana yang mereka harapkan untuk membawa perjuangan PKR bagi mengubah nasib rakyat Sabah.  Rakyat Sabah perlu melihat Selangor atau P.Pinang di bawah PR.  Tidakkah mereka mahu Sabah menjadi seperti kedua-dua negeri itu?  Jika mahu, redhakan saja katak-katak itu diternak oleh Umno/Bn, kita terus melangkah ke hadapan.

 

Rabu, 27 November 2013

MENGAPA MUFTI KEDAH TAKUT BERSEMUKA DENGAN DR MAZA SETELAH BELIAU BUAT TUDUHAN?

TIDAK terfikir oleh kita bagaimana seorang Tok Peti boleh membuat tuduhan sesat ke atas ilmuan agama yang lain secara terbuka di dalam kuliahnya, tetapi bila dicabar untuk membuktikan tuduhannya itu dia menjadi bisu. Itulah yang terjadi di dalam isu kontroversi melibatkan Tok Peti Kedah dengan Dr Asri @ Dr MAZA.

Ada penyokong Tok Peti Kedah ini berbahas dengan aku di FB, beliau mempertahankan tuduhan Tok Peti terhadap Dr MAZA atas hujah katanya di Kedah hanya ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazham Shafie sahaja dibenarkan. Aku tidak mahu ulas tentang mazhab itu kerana bukan sahaja di Kedah bahkan seluruh Malaysia pun itulah pegangan umat Islam keseluruhannya. Apa yang aku timbulkan adalah "Benarkah Dr MAZA itu sesat kerana fahaman Wahabi" seperti yang dituduhnya? Tuduhan Tok Peti ini kita boleh tonton dan dengar di Youtube di mana secara terang dan nyata beliau menyesatkan Dr MAZA dan Fathul Bari atas dakwaan kononnya Wahabi.

Kita bukan mahu bincang Wahabi itu sesat atau tidak, biarkan orang yang pakar atau Ulamak sahaja membahaskannya. Sebagai orang yang jahil, aku tertanya-tanya atas dalil dan nas mana Tok Peti itu kutip untuk mendakwa Dr MAZA itu sesat? Apabila orang yang dituduhnya itu menafikan, dan mahu Tok Peti itu tampil menjelaskan tuduhan atau lakukan Sumpah Mubahalah, sepatutnya Tok Peti yang berilmu tinggi ini tampil. Bukankah agama itu tegak dengan ilmu dan hujah? Jika tidak sanggup berhujah mengapa sanggup buat tuduhan?

Aku bukan penyokong atau pengikut Dr MAZA bahkan aku tidak pernah pun ikuti Kuliah Dr MAZA secara berdepan kecuali menonton melalui Youtube atau VCD kuliah atau wacana dan forumnya. Aku mahu persoalkan perkara-perkara berikut;

1. Jika Tok Peti anggap Dr MAZA itu sesat, mengapa dibiarkan Dr MAZA terus menyesatkan orang lain?

2. Jika banyak pengajar-pengajar ajaran sesat yang lain telah diambil tindakan, mengapa Dr MAZA masih bebas berkuliah malahan media kerajaan pun sering memanggilnya di dalam wacana mahupun forum?

3. Tok Peti adalah di antara orang yang boleh mengeluarkan fatwa, adakah pernah keluar Fatwa bahawa ajaran Dr MAZA itu sesat?

Sebagai seorang yang berilmu, sewajarnya Tok Peti ini tampil menjawab hujah Dr MAZA, bukan baling batu sembunyi tangan. Jika sesat Wahabi itu, tunjukkan bukti bahawa Dr Asri itu Wahabi. Terlalu banyak tuduhan yang pada aku tidak masuk akal yang telah dibuat oleh Tok Peti terhadap Dr MAZA, malangnya Dr MAZA dizalimi apabila beliau tidak dapat mempertahankan dirinya dari tuduhan rambang tersebut. Seolah-olah ragamnya sama seperti pemimpin Umno yang berani menuduh tetapi terlalu takut untuk berdebat dan berhujah.

Di bawah ini, aku salin semula jawapan ringkas Dr MAZA terhadap tuduhan Tok Peti berkenaan;
 
 
Prof Madya Dr Asri @ Dr MAZA

Ada pihak menunjukkan kepada saya satu rakaman fitnah yang sedang disebarkan, yang dibuat oleh Dato’ Badaruddin Mufti Negeri Kedah. Walaupun pada asasnya beliau bercakap tentang nama satu pihak dan isu wahabi namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama saya.

Bagi mengulas hal ini, saya menyebut beberapa perkara berikut;

1. Adapun tuduhan beliau kepada aliran wahabi, itu urusan beliau dengan mereka. Pun begitu, saya katakan bahawa walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pandangan ulama Saudi, tapi menuduh puak yang berbeza dengan sewenang-wenang perlulah berhati-hati. Ada kiraan dosa dan pahala di sisi Allah. Saya fikir sebodoh mana pun muslim tidak akan berkata bahawa ‘Allah memegang najis’, ‘Allah macam kera’. Tiada siapa yang dapat menerima perkataan yang seperti itu. Apakah mungkin untuk kita berkata kepada mereka yang menjadi imam-imam di Masjidil Haram dan Masjid Nabi ada kepercayaan yang seperti itu. Walaupun mungkin ada beberapa perkara yang kita tidak setuju dengan mereka, tidak wajar membuat ‘tembakan rambang’ kepada mereka. 

2. Ada pun beberapa fitnah yang beliau sebut dan seakan macam saya juga bersetuju dengan hal itu maka katakan WALLAHI, wa BILLAH wa TALLAHI itu adalah fitnah beliau semata. Beliau hendaklah membuktikan tuduhan-tuduhan beliau samada melalui rakaman atau tulisan saya sendiri. Satu akhlak yang buruk bagi sesiapa yang menuduh orang tanpa bukti yang boleh dijadikan asas. 

3. Isu tidak mengiktiraf keberkatan Nabi s.a.w dan menafikan boleh mengambil keberkatan Nabi s.a.w (tabarruk) termasuk tentang rambut Nabi s.a.w jika hendak dikaitkan dengan saya, adalah dusta. Sesiapa yang menonton video saya di youtube bertajuk: “Memburu Barakah” akan mengetahui pendirian saya tentang hal tersebut. Saya tidak nafikan tetapi berusaha memberikan makna dan panduan.
 
4. Isu tidak membenarkan orang solat tarawih lebih dari lapan rakaat bahkan menyatakan Perlis tidak membenarkan dan menganggap masuk neraka sesiapa yang bersolat lapan rakaat ke atas, adalah fitnah beliau yang beliau bertanggungjawab di hadapan Allah. Sejak sekian lama artikel saya bertajuk “Kekeliruan Tentang Solat Tarawih” yang di siar di web saya (Minda Tajdid), Akhbar Sinar Harian dan pelbagai laman web menyebut -antara lain- tentang solat tarawih: “Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah”.


5. Isu tentang kononnya menyamakan Allah dengan makhluk seperti manusia dan kera adalah pembohongan dan fitnah beliau yang amat besar. Beliau boleh cari di manakah kenyataan yang seperti itu dalam tulisan ataupun ucapan saya yang begitu mudah di dapati di dunia siber. Tetapi hendaklah dipastikan ucapan dan tulisan yang tidak diedit dan dalam konteks yang betul. Jawapan saya dalam masalah ‘Arasy umpamanya sama dengan apa yang Hasan al-Banna sebut dalam ‘Usul al-‘Isyrin’, apa yang Sayyid Qutb sebut dalam Zilal al-Quran dan Dr Wahbah al-Zuhaili sebut dalam Tafsir al-Munir (lihat tafsir ayat 54, Surah al-‘Araf). Saya sebut nama-nama itu kerana mereka dikenali oleh orang melayu. Jawapan yang sama disebut oleh TG Nik Abd Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh yang lain. Sila tonton pelbagai video saya dalam hal ini.


6. Menuduh orang secara dusta adalah dosa yang besar. Saya akan bertemu dengan beliau di mahkamah Masyar dan juga Allah ada urusan dan tindakanNYA di dunia ini. Saya meminta beliau menarik balik kaitan itu, jika beliau rasa beliau tersilap ataupun diberikan maklumat yang salah. Sabda Nabi s.a.w:


“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dos orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).


7. Jika tidak, saya mengajak beliau BERMUBAHALAH iaitu bersumpah laknat atas nama Allah. Jika saya menyebut seperti tuduhan-tudahan beliau maka laknat Allah ke atas saya. Jika tidak, maka laknat Allah ke atas beliau.


8. Saya pohon kemaafan kerana terpaksa menjawab secara terbuka kerana tuduhan beliau disiarkan terbuka.


9. Kepada Allah kembali segala urusan. Sabda Nabi:


“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:


“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).


Dalam riwayat Ahmad yang lain:


“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani) 

Isnin, 25 November 2013

KAMARUZAMAN MANGSA FITNAH UTUSAN AKIBAT KELEMAHAN SENDIRI?

"PAS UMPAMA BARUA DAP", itulah bunyinya tajuk Utusan Online di SINI.  Tanpa ada tanda 'soal' atau bermaksud andaian samasekali, tajuk itu jelas menyebut " Pas Umpama Barua DAP" kononnya itulah yang disebut oleh Sdr Kamaruzaman Mohamad, calon Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang tewas baru-baru ini kepada Sdr Suhaizan Kayat di dalam Muktamar PAS.

Ucapan Sdr Kamaruzaman ini dipetik sewaktu beliau membahaskan usul mewakili Wilayah Persekutuan.  Laporan dari Utusan semua kita maklum bahawa datangnya dari 'lidah syaitan' iaitu jika tidak berbohong pastinya cuba untuk mengelirukan kita di dalam PR.  Namun, bohong atau tidak, fitnah atau tidak, laporan itu mesti kita jawab agar pembacanya yang 'tidak berdosa atau jujur' tidak akan termakan dengan hasutan Iblis.  Itulah sebabnya apabila keluarnya laporan tersebut, maka banyak FaceBook atau Blog yang mengulas isu berkenaan, sedikit sebanyak tempiasnya dapat juga kepada Sdr Kamaruzaman.

Sdr Kamaruzaman Mohamad menjadi mangsa fitnah Utusan
Saya bukan penyokong Sdr Kamaruzaman sewaktu beliau bertanding untuk merebut jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat baru-baru ini.  Saya tidak menyokongnya bukan kerana beliau dikategorikan sebagai Ustaz atau golongan Ulamak.  Saya tidak menyokongnya kerana saya lebih mengenali Sdr Suhaizan Kayat yang lebih menampakkan gerak kerjanya di dalam PAS terutamanya di peringkat Pusat.  Mungkin Sdr Kamarzaman bekerja untuk parti tetapi agaknya kurang aktif bergerak di peringkat Pusat maka kurang yang mengenali beliau.

Walaupun bukan penyokongnya, saya ingin menyatakan bahawa apa yang dilaporkan oleh Utusan itu merupakan satu fitnah.  Saya sendiri telah berhubung dengan beliau untuk mendapatkan kepastian maksud ucapannya itu.  Beliau telah nyatakan bahawa ucapannya hanya menyentuh dua isu.  Pertama, berkaitan Isu Kalimah Allah dan kedua isu 'tuduhan Umno bahawa PAS menjadi barua DAP dan PKR".  Katanya, pimpinan parti harus tangani kedua2 isu ini jika ingin mendapatkan sokongan orang-orang Melayu berugama Islam.  Ini maksud ucapan beliau.

Mungkin, ucapan yang sedikit menimbulkan pertanyaan itulah yang memudahkan Utusan mengekploitasikannya sebagai bahan fitnah.  Salahnya Utusan adalah menjadikan tajuk itu seolah-olah Sdr Kamaruzaman yang berkata sedemikian.  

Walau bagaimanapun, pada saya kedua-dua isu tersebut tidak perlu kepada pimpinan tertinggi parti untuk menjelaskannya.  Apakah kita di peringkat bawahan ini masih kabur dengan kedua-dua permasalahan tersebut sehingga kita tidak mampu untuk menangkis hujah mereka di dalam dua isu berkenaan?

Bagi saya, tidak perlu petik dalil dari Al-Quran mahu pun Hadith untuk menjawab kedua-dua isu berkenaan.  Jawapan mengikut lojik saja sudah cukup untuk menerangkannya.  Isu kalimah Allah, lojiknya adalah sememangnya Umno membenarkan penggunaan Kalimah Allah digunakan oleh Non Muslim di Sabah dan Sarawak.  Ini dinyatakan secara jelas oleh Najib.  Bahkan, Kitab Bible tulisan Rumi berbahasa Melayu dibawa masuk ke Malaysia adalah di bawah tanggungjawab dan kuasa KDN, iaitu Menterinya adalah dari pemimpin Umno.  Lojiknya, mengapa PAS pula mahu menjawab isu ini?

Isu kedua, berkaitan Umno menuduh PAS menjadi barua DAP dan PKR.  Apakah kita tidak mampu menjawab hujah yang teramat dangkal ini?  Semenjak bila Umno tidak menuduh PAS?  Dan, apakah setiap tuduhan Umno itu mesti kita bebankan kepada pimpinan tertinggi PAS menjawabnya?  Kita boleh jawab isu ini dengan mudah apatah lagi bukti melambak di depan kita betapa semenjak PAS bersama PR, terutamanya di Selangor di bawah PKR atau di P.Pinang di bawah DAP, kemajuan dan Syiar Islam itu menampakkan peningkatan berbanding sewaktu pemerintahan Umno/Bn.  Kelemahan tentulah ada, tetapi banyak yang lemah atau banyak yang baik?  

Kita boleh dapatkan banyak fakta yang menunjukkan semenjak PAS bersama DAP dan PKR, banyak perjuangan PAS dapat direalisasikan untuk meningkatkan kemajuan Islam.  Apakah program penerangan PAS atau dakwah Islam yang dibawa oleh PAS terganggu atau tergugat di kedua-dua negeri ini?  Untuk mengetahui samada baik atau buruknya PAS bersama DAP dan PKR, pejamkan mata sejenak dan bayangkan sekarang PAS berada di bawah negeri Umno/Bn.  Adakah PAS tiada pengalaman itu?

Ertikata lain, terlalu banyak hujah yang boleh kita bawa untuk menjawab kedua-dua isu ini.  Mengapa perlu kita bebankan pimpinan tertinggi kita untuk menjawabnya?  Kelemahan kita mungkin kerana gagal memahamkan mereka yang buta terhadap kedua-dua isu ini atau kita sendiri pun masih buta tentang isu ini.  Jika kita masih buta, maka tangguhkan dahulu cita-cita kita untuk menjadi pemimpin kerana pemimpin mesti peka dengan setiap isu dan rajin mengorek fakta dan hujah untuk mempertahankan partinya sendiri dari diserang musuh.