Rabu, 16 April 2014

TIMBALAN PRESIDEN PKR - TS KHALID BUKAN ORANGNYA

SEBELUM ini aku ada menulis mencadangkan agar Tian Chua menarik diri dari bertanding merebut Kerusi Timbalan Presiden PKR yang kini disandang oleh Azmin Ali.  Alhamdulillah, akhirnya Tian Chua menarik diri dan membiarkan tiga tokoh ternama iaitu Azmin, Saifuddin Nasution dan TS Khalid Ibrahim berentap, manakala yang seorang lagi itu aku tidak mahu sebut kerana aku pun tidak kenal siapa dia.


Meskipun tarikh menarik diri telah pun berakhir, namun aku rasa tiada salahnya TS Khalid menarik diri kerana beliau tidak boleh bersaing hingga ke tahap ini hanya bergantung kepada dua tiga Cabang di Selangor sahaja.  Jujurnya TS Khalid tidak popular di luar negeri Selangor terutamanya apabila menilai prestasi beliau selaku orang politik atau kemahiran politiknya sepanjang menjadi MB Selangor.  Mungkin beliau popular di kalangan orang-orang PAS atau DAP kerana bagi kedua-dua parti ini TS Khalid telah berjaya mentadbir Selangor dengan baik, mereka tidak fikir tentang apa sudah jadi pada PKR di Selangor.  Di Kelantan, Tok Guru Nik Aziz seorang ulamak dan zuhud, sewaktu menjadi MB Kelantan beliau juga telus dan tidak rasuah sama juga seperti TS Khalid, namun Tok Guru tahu menjaga partinya dan orang-orang partinya di Kelantan.  Beliau tetap mengutamakan partinya sewaktu memerintah, bukan bererti beliau mengabaikan rakyat atau parti lain.  Ertinya, selaku MB dari PAS beliau bertanggungjawab membantu PAS yang telah menaikkannya sebagai MB.  

TS Khalid tidak seperti itu.  Memang beliau telus, tidak rasuah dan memang rajin, tetapi beliau 'Zero' dari segi politik.  Musuh terlalu mudah menyusup di pejabatnya kerana lemahnya beliau di dalam ilmu mengenali musuh politik.  Bayangkan hari pertama menjadi MB Selangor, sudah ada musuh masuk memasang kamera tersembunyi di dalam pejabatnya.  Kemudian sabotaj di dalam pentadbirannya seperti tindakan serbuan gereja isu murtad dan isu Kitab Bible yang tidak langsung dimaklumkan oleh pihak berkenaan kepada MB dan juga Exco.  Betapa beliau dan Exco langsung tidak dihormati.  Beliau tidak buat apa-apa untuk atasi sabotaj ini.  Lemahnya TS Khalid di dalam mengatasi muslihat ejen Umno.

Kadangkala kita dapat melihat beberapa kali Ketua Umum, DS Anwar Ibrahim mengeluh dengan TS Khalid.  Beliau seperti mendengar nasihat DS Anwar, tetapi sebenarnya tidak mendengar.  Sebab itu berbagai masalah timbul di Selangor kerana MB ini sibuk dengan 'menabung', sedangkan masalah longkang, lubang-lubang di jalanraya, sampah, cukai pintu dan sebagainya tetap wujud.  Isu PKNS amat mengelirukan, bagaimana seorang Pegawai PKNS boleh guna tandatangan beliau untuk memecat orang lain.  Cuainya beliau untuk menghidu mainan orang politik.  

Justeru itu, TS Khalid belum sesuai untuk berada di Kerusi Nombor Dua di dalam PKR kerana orang begini akan melemahkan parti.  Parti bukan syarikat Korporat. 

Isnin, 14 April 2014

AMK DAN SAMM DI PAHANG KINI BERSATU DAN BERGABUNG TENAGA

AMAT merasa bangga sekali apabila melihat kerjasama anak-anak muda dari AMK dan SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia) Pahang dapat bekerjasama menjayakan program besar "Reformasi 2.0" peringkat Negeri Pahang pada 12 April baru-baru ini.  Tahniah kepada Ketua AMK Pahang, Sdr Alang dan Penyelaras SAMM Pahang, Sdr Arm Karenz yang telah membuktikan bahawa AMK dan SAMM bukan musuh.

Benar, sebelum ini di Pahang hubungan AMK dan SAMM amat renggang sekali.  Aku tidak pelik kerana sebelum ini pun AMK Pahang amat lesu sekali.  Seringkali kedengaran kutukan serta perbalahan berlaku terutamanya di media Facebook di antara AMK dan SAMM, walaupun tidak semua AMK yang anti-SAMM.  Waktu itu SAMM di bawah Sdr Bung Hatta, dan seringkali ke mana pun aku pergi, ramai yang menyangka Bung Hatta adalah Ketua AMK Pahang.  Aku tidak pelik kerana di Pahang waktu itu SAMM lebih ke depan di dalam banyak program.  

Ketua AMK Pahang - Alang
Berbeza sekarang, AMK sudah mula bersaing dan seiring dengan SAMM.  Walaupun Bung Hatta tidak lagi mengetuai SAMM  Pahang kerana faktor usia, namun beliau sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pemimpin baru SAMM dan anak-anak buahnya.  AMK juga kini di dalam pembentukan organisasi yang baru di mana Ketua AMK Pahang yang baru, Sdr Alang dilihat begitu komited untuk mengembalikan AMK ke hadapan bagi menjadi tenaga muda yang berkesan di dalam PKR Pahang.

Penyelaras SAMM Pahang - Arm
Program besar "Reformasi 2.0" baru-baru ini ujian pertama buat AMK dan SAMM Pahang.  Terbukti, mereka berjaya membantu menjayakan program tersebut.  Tanpa meminta bantuan Unit Amal PAS seperti lazimnya, program tersebut mampu dijayakan.  Bukan bermakna kita tidak perlukan Unit Amal PAS lagi tetapi kita mahu cuba untuk berdiri di atas kaki sendiri.  Kita mahu belajar dari Unit Amal bagaimana untuk menjadi tenaga kerja yang berkesan.  

Syabas kepada AMK dan SAMM.  Sekiranya kedua-duanya dapat digembelingkan dengan lebih hebat, ertinya sudah sampai masanya PKR menjadi rakan PAS yang boleh menggempur Umno di Pahang dengan lebih hebat lagi di masa akan datang.