Jumaat, 8 Ogos 2014

DEMI TSKI, SANGGUP PECAT KHALID SAMAD DAN HANIPA?

ANGKARA nak pertahankan TSKI, sampai nak pecat pemimpin PAS?  Suara dari terengganu memang selalu pelik-pelik.  

Mereka minta PAS pecat YB Khalid Samad dan YB Hanipa Maidin dan beberapa orang lagi atas alasan menyanggahi pendirian presiden.  Kalau menyanggahi keputusan Majlis Syura tu aku fahamlah sebab majlis syura adalah badan tertinggi di dalam PAS. Majlis Syura lebih tinggi dari Presiden sendiri.  Tapi, kedua-dua pemimpin ini hanya dikatakan tidak sependapat dengan Presiden, maka dicadangkan oleh mereka untuk dipecat saja.

TSKI belum dipecat oleh PKR.  Beliau telah diberi surat tunjuk sebab, diminta jawab bahkan diminta hadir untuk menjawab beberapa isu yang ada kaitan dengannya.  Tapi untuk kedua-dua pemimpin PAS ini belum pun ada surat apa-apa, sudah ada yang gopoh mahu pecat?  Siapa lebih "Syarie" sekarang?

Apapun aku optimis PAS tidak akan bertindak sejauh itu.  Itu hanya sikap golongan di Terengganu, bukan mewakili wajah PAS.  

Khamis, 7 Ogos 2014

TS KHALID PERLU BELAJAR DARIPADA DR RANI DAN HUSAM MUSA

MAHU pertahankan TS Khalid boleh, kerana kita ada hak untuk menyokong sesiapa saja yang kita yakini.  Sebagai ahli parti, kita kena tahu beza mana satu kehendak peribadi atau puak dengan keputusan atau kehendak parti secara jemaah.  Jika kita gagal memahami asas ini, kita adalah salah satu punca krisis di dalam parti.

Aku terus terang.  Di dalam pemilihan PKR aku memberikan undi dan berkempen untuk TS Khalid sebagai merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.  Bukan bermakna aku memusuhi Azmin, tetapi aku merasakan TS Khalid mampu menjadi Timbalan Presiden yang lebih baik dari Azmin.  Asalnya aku lebih suka kepada Saifuddin Nasution tetapi melihat kepada keadaan Saifuddin yang hampir pasti tidak berpeluang, aku ada pilihan kedua iaitu TS Khalid.

Mustahil aku suka TS Khalid sebagai Timbalan Presiden PKR tetapi tidak suka beliau sebagai MB.  Tentunya hasrat hati mahu beliau terus jadi MB.  Namun aku cuba untuk berdisiplin dengan parti bukan individu.  PKR melalu jemaah MPP memutuskan sudah sampai masanya TS Khalid ditukar dari jawatan MB, atas apa jua alasan sekalipun maka selaku ahli parti mahu tidak mahu aku harus terima keputusan parti.  Apakah wajar aku memaksa parti terima kehendak aku?  

Di dalam situasi begini pun, aku masih menaruh harapan TS Khalid untuk menang di dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.  Adakah kuat bencinya aku pada Azmin?  Jawapannya tidak.  Bahkan, aku tetap menerima keputusan parti sekiranya parti kemudiannya berubah keputusan memilih Azmin sebagai MB Selangor.  Aku akan terima kerana itu keputusan parti.

Sekarang ini yang menjadi masalah adalah orang seperti aku yang berada di akar umbi menyokong TS Khalid tetapi cuba untuk berdisiplin kepada parti, tetapi TS Khalid sendiri pula tidak menunjukkan disiplinnya.  TS Khalid mula menunjukkan egonya.  Beliau tetap kata beliau layak menjadi MB Selangor sedangkan parti menyatakan sudah cukup untuk beliau diberikan amanah.  Susah sangatkah untuk mematuhi arahan parti yang telah menaikkan beliau dulu?  

Apakah TS Khalid merasa dia hebat hanya kerana mendapat sokongan kuat dari PAS?  Tahukah beliau PAS juga menjalani proses yang sama jika PAS merasakan seseorang tokoh itu wajar ditukar atau tidak.  Contohnya di Selangor sendiri.  Sebelum PRU13, Pesuruhjaya PAS Selangor adalah Dr Rani.  Beliau memimpin PAS Selangor amat cemerlang sehingga berjaya meningkatkan Kerusi untuk PAS di Selangor.  Lojiknya tentulah beliau akan dinaikkan pangkat atau sekurang-kurangnya kekal pada jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS.  Beliau berjaya buktikan kecemerlangannya dan beliau tidak melakukan rasuah pun.  Namun, PAS mengambil keputusan mengantikan Dr Rani dengan Iskandar Samad.

Apakah PAS sememangnya suka-suka untuk menukar Dr Rani dengan Iskandar sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor?  Tentu tidak.  Tentu PAS ada perancangannya sendiri bukannya atas sebab Dr Rani berbuat sesuatu penyelewengan.  Di dalam PAS, jawatan tidak boleh diminta tetapi sekiranya diamanahkan maka wajib dipikul.  Maka, Dr Rani digugurkan walaupun sememangnya Dr Rani amat gembira dengan pengguguran tersebut.  Ertinya, PAS juga lakukan perkara yang sama di dalam kaedah peralihan jawatan.  Adakah PAS berbuat salah atau tindakannya itu tidak "syarie"?  Tentu tidak.  Itu proses biasa parti kepada anggota partinya sendiri.

Mengapa TS Khalid tidak belajar semua ini?  Mengapa dia merasakan dia wajar jadi MB Selangor yang tidak direstui oleh partinya sendiri?  Mengapa tidak belajar dengan kisah Dr Rani ataupun Husam Musa?  Husam Musa lucut jawatan Exco sedangkan beliau orang kanan kepada MB Kelantan di era Tok Guru Nik Aziz.  Tetapi tidak salah MB Kelantan sekarang tidak meneruskan Husam sebagai Exco, dan Husam pun tidak keras kepala mendakwa dia seorang yang hebat.  Bukan sedikit yang menyokong Husam di Kelantan.  Namun, Husam seorang yang berdisiplin terhadap jemaah.  Tidak kepada TS Khalid.

Aku mulai merasa sangsi atas keperibadian dan disiplin TS Khalid.  Apakah selama ini aku silap menyokongnya? 


Selasa, 5 Ogos 2014

KEMELUT MB SELANGOR - KHALID WAJIB DIBERI KEADILAN, ADAKAH AZMIN CALON ALTERNATIF?

SEJAK dua tiga menjak ini aku lihat banyak betul rakan-rakan yang kongsi artikel dan laporan palsu kononnya PKR telah memecat TS Khalid Ibrahim, MB Selangor yang isunya hangat diperbahaskan sekarang ini.  

Walaupun terbukti berita itu tidak benar, namun secara peribadi aku amat tidak setuju jika PKR memecat TS Khalid tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam parti.  Pecat seseorang mestilah bersebab dan serius salah lakunya.  Orang itu juga mesti terlebih dahulu diberi surat tunjuk sebab atau dipanggil membela diri agar beliau dapat mempertahankan dirinya.  Kita tidak mahu PKR dilihat rakus dan zalim.

Secara peribadi aku menyokong usaha parti untuk menyelesaikan kemelut MB Selangor sekarang ini tetapi bukan dengan cara memecat beliau.  Parti punyai hak untuk menaikkan seseorang menjadi calon pilihanraya, begitu juga untuk memberi amanah untuk menjadi MB.  Bila parti rasa perlu melakukan pertukaran atas sebab-sebab tertentu, maka itu juga hak parti.  Selaku rakan di dalam Pakatan, tentunya hak memilih atau mengganti seseorang MB itu mestilah dikongsikan bersama rakan-rakan untuk dipersetujui bersama jika boleh.

Di dalam isu MB Selangor, PKR merasakan sudah sampai masanya TS Khalid berundur.  Memandangkan TS Khalid itu ahli PKR dan Kerusi MB itu telah diamanahkan sebelum ini kepada PKR, maka tentulah PKR terpaksa memilih siapa penggantinya.  Soal calon yang dipilih oleh PKR itu layak atau tidak menjadi MB Selangor, itu semua bergantung kepada persetujuan rakan-rakan dari DAP dan PAS. Jadi, tidak timbul soal menamakan calon dari PKR itu mesti dirujuk terlebih dahulu kepada DAP dan PAS.  Di peringkat mencalonkan atau menamakan calon itu, itu adalah hak PKR.  Tetapi harus ingat, layak atau tidak, diterima atau tidak, itu pula adalah hak DAP dan PAS.  Kerusi MB Selangor bukan hak PKR, tetapi Kerusi itu adalah hak Pakatan yang akan membuat keputusan.

Adakah PAS juga boleh menamakan calon dari partinya?  Jawapannya tentulah boleh.  Tetapi jangan lupa, pada Mesyuarat Majlis Presiden PR yang pertama, kesemuanya sepakat secara dasarnya bersetuju bahawa Kerusi MB Selangor adalah untuk PKR.  Cuma, PAS dan DAP mahu rujuk dahulu kepada parti masing-masing tentang nama calon yang dicadangkan oleh PKR.  Seandainya PAS meletakkan nama calon dari parti berkenaan pada mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos nanti, ini menunjukkan PAS gagal mematuhi persefahaman yang dicapai pada Mesyuarat Majlis Presiden PR yang pertama.  Tidak mungkin PAS akan berbuat demikian.

PAS dan DAP boleh tolak nama calon yang dicadangkan oleh PKR iaitu DS Wan Azizah, tetapi Kerusi MB Selangor tetap untuk PKR seperti yang dipersetujui.  Ertinya, ada calon lain dari PKR sebagai alternatif untuk menggantikan Azizah.  Siapa orang itu?  Jika Azmin, aku rasa kemelut tidak akan selesai juga.  Siapa tokoh lain di Selangor selain dari Azizah, Azmin dan Khalid?  Pada aku tiada. 

Ahad, 3 Ogos 2014

SIMPAN MAKI HAMUN ITU UNTUK SYAITAN YANG DIKENALI

OK, stop perang saudara.  PKR dan PAS banyak buang masa berbalah soal MB Selangor.  Pemimpin kedua-dua parti bertenang sambil terus merayakan Aidil Fitri, kita penyokong bawahan pula bertegang urat soal yang belum diputuskan.  Tapi aku rasa ada hikmahnya kerana bila kita hangatkan alam siber, baru pimpinan sedar bahawa kita sedang memerhatikan tindakan mereka.  Baru kita tahu siapa yang bersungguh-sungguh mahu PR kekal seperti sedia ada, dan ada yang mahu PAS bersendirian dan kita juga tahu ada yang mencadangkan UG "Kerajaan Perpaduan" bersama Amno dikejutkan dari tidur lena mereka.

Tertarik dengan saranan Dr Zul bahawa perbalahan sesama kita harus dihentikan.  Ini soal pendekatan atau 'uslub' untuk perkuatkan PR.  Tentu banyak pandangan berbeza dan masing-masing ada hujah masing-masing.  Bila sudah ada berbagai pandangan, kita patut menggunapakai nasihat Tok Guru Nik Aziz yang menyebut pentingnya patuh kepada 'nakhoda'.  Walaupun nasihat Tok Guru itu untuk jemaah PAS, tetapi nasihat yang baik elok diikuti oleh PKR.  Patuh kepada nakhoda dan parti.  

Jika kita rasa kita tidak perlu kepada nasihat dan kehendak jemaah di dalam parti, elok kita kelyar dari parti memasuki parti lain atau tubuhkan parti baru yang kita boleh jadi pemimpin.

Mudah selesai jika semua patuh kepada kehendak parti walaupun kita rasa kita betul.  PKR telah lakukan segalanya yang telah disarankan oleh Tok Guru Nik Aziz bagi menyelesaikan kemelut di Selangor ini.  Sejak penggal pertama lagi PKR cuba selesaikan dan nasihat kepada pemimpin-pemimpin terlibat di dalam krisis ini, dan akhirnya parti merasakan tiada jalan lain untuk kurangkan masalah ini selain dari melakukan 'islah' di dalam pentadbiran Selangor.

Tentunya Kerusi MB Selangor bukan hak PKR mahupun PAS atau DAP.  Sehingga kini ia milik PR.  Oleh kerana ia milik PR maka perlunya PKR membawa cadangan itu ke Majlis Presiden PR untuk dibincangkan.  Perkara ini telah dilakukan, cuma sekarang kita menanti apakah rakan-rakan dari PAS dan DAP bersetuju dengan cadangan PKR.  Selepas itu, wajarlah kita menghormati keputusan bersama.  

Sehubungan itu, marilah kita cuba mengendurkan perang saudara ini dan kita tunggu keputusan pimpinan.  Jika rasa perlu nyatakan pandangan dan hujah, cuba elakkan dari kita memaki hamun ulamak dan pimpinan mana-mana parti.  Simpan maki hamun itu untuk syaitan yang dikenali.