Sabtu, 13 Jun 2015

JELEBU KAWASAN PAS YANG KUAT, MALANGNYA KINI HAMPIR LUMPUH

BENARKAH PAS Jelebu bubar?  Sukar untuk dipastikan samada siang tadi sidang media yang dihadiri oleh tokoh-tokoh kanan PAS Kawasan Jelebu yang mengistiharkan keluar parti adalah mewakili PAS Kawasan Jelebu.  Apa pun jika dilihat kepada pengaruh tokoh-tokoh yang hadir termasuk Ketua Pemuda PAS Kawasan dan Pengarah Pilihanrayanya, maka sesuatu yang tidak baik untuk PAS Jelebu.


Aku anak jati Jelebu.  Walaupun aku orang KEADILAN, namun apa yang berlaku pada PAS Jelebu itu tentunya satu berita yang tidak baik bagi aku.  PAS di Jelebu hakikatnya mampu menewaskan Umno/Bn cuma perlu mengambil sedikit masa saja lagi.  Contohnya, di Dun Klawang yang ditandingi oleh PAS di dalam PRU 13 yang lalu, PAS hanya tewas tidak sampai pun majoriti 300 undi.  Kuala Klawang adalah kawasan majoriti Melayu tetapi mempunyai pengundi-pengundi dari kaum Cina yang agak ramai juga dan undi yang banyak diterima oleh PAS yang hampir menewaskan Umno/Bn di dalam dua PRU sebelum ini adalah datangnya dari sokongan kuat kaum tersebut.


Kekalahan PAS di Dun Klawang bagi pendapat aku adalah kerana silap calon yang diletakkan di situ.  Calon payung terjun yang mengenepikan seorang tokoh muda yang sebelum ini amat aktif bekerja di kawasan berkenaan adalah salah satu faktor PAS tewas.  Sdr Noranif Selamat, seorang tokoh agak muda walaupun tidak setinggi pendidikan calon yang ditampilkan iaitu Dr Rosli, namun beliau lebih lama dikenai di situ.  Silapnya, Dr Rosli tidak awal-awal lagi turun bekerja di situ tetapi muncul sewaktu Pilihanraya.  Itu pun beliau tewas dengan majoriti begitu sedikit tidak mencecah pun 300 undi.


Ertikata lain, PAS di Jelebu mempunyai kekuatan sebenarnya.  Malangnya, selepas Muktamar PAS baru-baru ini kelihatan moral penyokong-penyokong PAS telah jatuh.  Mereka sedar kekuatan mereka adalah dari sokongan selain dari kaum Melayu.  Tetapi di dalam Muktamar mereka melihat PAS seolah-olah yakin bersendirian.  Ahli-ahli akar umbi lebih tahu kekuatan PAS berbanding dengan mereka yang berada di kerusi tertinggi di Pusat, tambahan pula mereka itu melihat situasi politik di negeri tempat mereka di Pantai Timur sahaja.  

Mungkin sebab itulah mereka mengambil keputusan "Mufarrakah' dari PAS yang mereka puja selama ini.  Amat malang sekali ianya terjadi di Jelebu satu kawasan yang Umno/Bn amat berhati-hati setiap kali Pilihanraya.  Kini, mungkin Umno/Bn boleh menarik nafas lega sedikit.  Tetapi yakinlah, mereka keluar PAS bukannya untuk sertai Umno.  Mereka pastinya akan lebih ganas selepas ini untuk membuktikan bahawa tindakan mereka itu amat tepat untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.  

Aku hanya mampu mendoakan agar mereka terus istiqomah melawan rejim Umno/Bn.

Rabu, 10 Jun 2015

KRISIS PAKATAN ADA HARAPAN PULIH JIKA SAMA-SAMA BUANG SIFAT EGO

KRISIS di antara PAS dan DAP masih ada harapan untuk dipulihkan,  Banyak kaedah untuk menyelesaikan dengan satu syarat iaitu masing-masing samada PAS atau DAP, termasuk juga KEADILAN mesti buang jauh-jauh sifat ego, di dalam masa yang sama dasar atau prinsip parti masing-masing dipertahankan.

Semua parti ini pernah lakukan kesilapan, itu mesti kita akui.  Pakatan masih beruntung kerana kita masih berbalah di dalam soal perbezaan pendapat dan pendekatan, bukan berbalah untuk merebut harta benda negara.  Itu beza kita dengan rejim amno/Bn.

Jika semua akur bahawa kehendak rakyat mahukan perubahan dan mahu lihat rejim yang memerintah sekarang ini ditumbangkan dan diganti dengan kerajaan Pakatan itu tidak menyalahi dasar parti masing-masing, apalah salahnya kita tumpukan kehendak rakyat yang lebih 50% menyokong kita di dalam PRU 13 yang lalu?  Apakah tidak boleh kita bertolak ansur dan berkorban sedikit untuk lupakan perbalahan demi rakyat tercinta ini?

Kesemua pemimpin di dalam Pakatan harus bertemu segera, lupakan yang lalu dan tumpukan yang ini.  Jika PAS kembali semula terima DAP, dan DAP pula terima PAS di Sabah mahu pun di Sarawak serta KEADILAN lebih menghormati rakan-rakannya, maka kita perbetulkan semula kekusutan sebelum PRU 14 yang akan datang.  Kita sudah tiada Anwar dan Tok Guru Nik Aziz, maka mahu atau tidak, kita mesti berdiri dengan kekuatan yang ada.  Pasti rakyat akan bersama kita.

KALAULAH AMANAT HJ HADI BOLEH DI'EDIT", GANTI SAJA UMNO DENGAN DAP

TAHNIAH kepada mantan Timb Presiden PAS, Mat Sabu dan mantan AJK PAS Pusat, Mujahid yang sebelum ini dilabelkan "jebon' atau "anti Ulamak" tetapi sebaliknya mereka berdua yang pertama sekali menyahut seruan Dewan Ulamak untuk memutuskan hubungan dengan DAP apabila masing-masing meletakkan jawatan lantikan politik bawah Kerajaan Negeri P.Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng.

Namun begitu, musuh-musuh politiknya tetap tidak berpuas hati dan masih menganggap mereka seolah-olah 'memperli' kepimpinan Ulamak.  Serbasalah juga jika kita berada di tempat mereka.  Jika tidak letak jawatan mereka bukan sahaja dianggap kemaruk jawatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bahkan lebih hina lagi mereka akan dianggap engkar syor Dewan Ulamak.  Begitulah nasib yang menimpa kedua-dua tokoh yang teramat banyak jasanya kepada PAS lebih-lebih lagi diwaktu PAS berada di zaman susah dahulu.  

Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah memuji Mat Sabu dengan katanya Mat Sabu 'aset' PAS paling berharga, beliau paling kerap diuji, gigih di dalam perjuangan dan tidak pernah sesaat pun berada di dalam Umno.  Mat Sabu konsisten menjadikan Umno/Bn sebagai musuh politiknya.  Sewaktu beliau cuba dilagakan sesama rakan-rakannya pada pemilihan sebelum ini pun, Mat Sabu tidak pernah ambil pusing tuduhan dan fitnah terhadapnya, beliau hanya sekadar memberi komen "Aku tidak tahu berlawan sesama sendiri, aku mahu lawan Umno/Bn".  

Itu lah Mat Sabu.  Namun, Muktamar kali ini Mat Sabu ditendang keluar dengan penuh jijik dan kotor sekali dengan berbagai label diberikan kepadanya.  Mat Sabu harungi ujian itu, dan terima padahnya sebagai seorang pejuang yang tidak pernah gentar kepada ujian.  Mat Sabu disingkirkan hanya kerana dia bukan Ulamak dan tidak "Na'am" kepada semua kata-kata Ulamak.  Beliau bukan sahaja berani menyanggah kata-kata Ulamak yang beliau fikirkan tidak betul, malah beliau berani berdebat dan berdepan.

Malangnya, yang bergelar Ulamak tiada anugerah dari Tuhan sifat keberanian berhujah dan berdebat bagi menyatakan kebenaran.  Mereka hanya berani bercakap di hadapan media kawalan Umno/Bn dan juga di media sosial.  Mat Sabu bukan jenis yang bermain di media sosial, FB beliau pun tidak ada rasanya kecuali FB kelab penyokong yang orang lain wujudkan.  Mat Sabu bukan pejuang FB, tetapi beliau pejuang di medan.  Sesiapa yang berani sila saja berdepan dengannya.  Malangnya, tiada.

Mat Sabu dan Mujahid sampai kecundang tetap menunjukkan keberaniannya dengan meninggalkan gaji dan elaun lumayan dari Kerajaan Negeri P.Pinang di bawah DAP yang dianggap musuh oleh Ulamak.  DAP nampaknya lebih hina dan jahat dari Umno/Bn.  Andainya Amanat Hj Hadi itu boleh diedit semula, tentulah nama Umno di dalam amanat itu boleh diganti dengan DAP.

Ahad, 7 Jun 2015

USTAZ TUAN BAKAL PERKUATKAN PR PAHANG

TAHNIAH kepada Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di atas kemenangan beliau di dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang, ayam tambatan PAS iaitu Mat Sabu.  Kemenangan itu adalah amanah dan tanggungjawab yang berat, itulah yang diakui oleh Us Tuan.

Apa pun pandangan orang di atas kemenangan beliau, yang pasti penyokong-penyokong PAS serta PR khususnya di negeri Pahang pasti berasa gembira kerana tokoh hebat dari Pahang ini diangkat menjadi orang Nombor dua di dalam haraki kepimpinan.  Kekuatan PR di Pahang pastinya dapat digandakan bagi menghadapi rejim Umno/Bn di dalam PRU 14 nanti, apatah lagi hubungan PR di Pahang adalah positif.  Ini terbukti dari gerak kerja kempen PRK Rompin baru-baru ini.

Cabaran di Pahang adalah pengundi-pengundi di kawasan felda.  Tiada kaedah lain jika ingin menawan Pahang kecuali menawan Felda.  Ini bukan kerja mudah.  Hanya kerjasama yang kuat dan kurangkan pergeseran sesama kita saja dapat merealisasikan hasrat tawan Pahang.   Secara peribadi, aku akan lawan sesiapa saja dari PR yang cuba menjadi batu api kepada persefahaman yang sedia terjalin.  

Selagi PR masih iktiraf kewujudan PAS, KEADILAN dan DAP, selagi itu lah kita patut tentang sesiapa saja yang cuba keruhkan hubungan yang sedia terjalin ini, khususnya di Pahang.