Khamis, 9 Julai 2015

JIKA PAS TELAH LAKUKAN PEMBERSIHAN DAN BUANG 'NYAMUK" DI DALAM PARTINYA, PAKATAN JUGA PERLU BERBUAT DEMIKIAN

WUJUDKAN Pakatan Harapan Baru sejurus selesai kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri?  Ini lah yang selalu diperkatakan di mana-mana lebih-labih lagi di alam maya.  Sepertimana memetik kata-kata seorang tokoh agung, kadangkala pembersihan di dalam parti politik ini ada baiknya iaitu untuk 'membuang' kotoran yang ada.  Kata tokoh agung ini lagi, "Jangan terganggu kita tidor dengan nyamuk-nyamuk' ini.  
 
Aku setuju sungguh dengan kata-kata tokoh bergelar ulamak ini.  Sebab itulah aku tidak sabar operasi pembersihan dilakukan di dalam pakatan pembangkang sekarang.  Banyak sangat kotoran yang dibawa bukan saja menjangkiti di kalangan partinya sendiri bahkan mula berjangkit kepada kawan-kawan.  Sukar pakatan pembangkang mahu tidur sejak berbulan-bulan ini kerana ada 'nyamuk' itu.
 
Nyamuk ini semakin ganas dan bencana yang dibawanya amat bahaya.  Sehubungan itu, marilah kita berdoa agar pakatan pembangkang mengikuti contoh kata-kata Hukamak agung ini untuk lakukan pembersihan segera atau paling lewat selepas Aidil Fitri nanti. 




Rabu, 8 Julai 2015

KEADILAN AKAN BERGABUNG DENGAN UMNO, PAS? JIJIKNYA...

TERLALU marah pada Dap, maka ada juga macai ingin melagakan Dap dengan KEADILAN pula setelah mereka berpuas hati melihat Dap dan Pas mengalami krisis.  Ini lah yang dikatakan taktik dan usaha terancang untuk menghancurkan PR secara perlahan-lahan.  Alhamdulillah, KEADILAN kebanyakannya datang dari Umno maka mudah sangat kita tahu helah dan tipu daya mereka. 

"Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadza berkata, kebarangkalian untuk PAS bergabung dengan PKR dan Umno-Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor tetap ada, berdasarkan realiti politik semasa dan juga keangkuhan DAP kebelakangan ini yang merasakan partinya lebih kuat berbanding 'rakan komponen', PAS dan PKR, katanya."  (Tranungkite.net).

Pertamanya, sebab apa perlunya KEADILAN mahu bersama Umno?  Sebab apa pula KEADILAN mahu ketepikan Dap?  Lojiknya, tentulah ada sebab jika KEADILAN mahu ketepikan Pas, bukan Dap.  Itu pun KEADILAN masih anggap Pas sebagai rakan sama juga Dap adalah rakan KEADILAN di Selangor.  Bahkan, semalam (04/7/15) sewaktu perjumpaan Presiden KEADILAN dan MB Selangor bersama seluruh pimpinan KEADILAN negeri di kediaman resmi MB Selangor, Azmin Ali, KEADILAN menegaskan bahawa Kerajaan PR Selangor kukuh dan jaminan MB Selangor bahawa tiada sesiapa berhak menentukan kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini.

Apakah dengan langkah rejim yang melakukan kezaliman kepada DS Anwar Ibrahim berkali-kali dan berterusan, maka KEADILAN harus bersama Umno?  Apakah dengan kesetiaan Dap bersama PR dengan menyokong banyak langkah KEADILAN selama ini khususnya sewaktu Langkah Kajang, maka KEADILAN harus tolak Dap?  Lebih tidak lojik lagi, adakah Pas sanggup cemarkah maruah mereka untuk bersekongkol dengan Umno hanya kerana rejim ini pernah mencetuskan peristiwa Memali yang bukan sedikit dosanya kepada Pas?  Aku tidak fikir Pas sanggup 'memperlekehkan' syuhada'-syuhada' Memali hanya kerana umpan duniawi.  Memanglah mereka kata Umno tidak seteruk Firaun, tetapi Pas suatu ketika pernah menyatakan kerajaan toghut memerintah negara ini.  Siapakah kerajaan Toghut itu?  Ada kah parti lain yang memerintah negara ini selepas merdeka selain dari Umno/Bn?

Aku berani beri jaminan bahawa KEADILAN tidak akan sesekali bersama Umno.  KEADILAN memang tidak pernah melabel Umno Toghut tetapi kami tidak pula kata Umno itu lebih baik dari Firaun.  KEADILAN tidak perlu tunggu Umno jadi Firaun dahulu sebelum kita wajib menentangnya.  Perkataan 'Umno' disini perlu dibaca sebagai "pemimpin Umno" peringkat tertinggi.

Penganalisa politik atau sesiapa sahaja yang ingin melihat KEADILAN bersama Umno, anda boleh berangan sahaja.  Apakah KEADILAN perlu putuskan hubungan dengan Pas?  Ini mungkin boleh dibahaskan dengan lebih lanjut, tetapi jika perlu sekalipun bukan kerana KEADILAN kemaruk untuk bersama Umno. 

Selasa, 7 Julai 2015

LEBIH AFDHAL SERANG NAJIB DARIPADA SERANG MAHATHIR

NAJIB ternyata berada di dalam keadaan amat lemah sekarang.  Ibarat ahli tinju yang kini terhuyung-hayang dan seringkali tersandar di tali gelanggang menanti masa untuk rebah ke lantai atau menyerah dalam perlawanan sengit ini.

Siapa boleh nafikan, situasi Najib sekarang sedikit sebanyak adalah kesan daripada kesan 'tumbukan" Mahathir?  Memang benar, kita sendiri di dalam PR memang telah lama 'mengerjakan' Najib ini baik sebelum PRU 13 mahupun selepasnya.  Setiap hari kita serang kepimpinan Najib.  Tiba-tiba Mahathir yang juga musuh kita yang kita anggap Mahathir adalah salah satu faktor kewujudan reformasi, seterusnya terciptanya parti KEADILAN kini muncul sebelah kita untuk bersama 'mengerjakan' Najib.  Waktu itu juga kita teringat, kezaliman Mahathir dahulu.  Apakah bila kita teringat Mahathir itu lebih zalim dizamannya, maka kita terpaksa berhenti 'menumbuk' Najib dan halakan tumbukan pada Mahathir pula?  Najib yang terhuyung-hayang akan dapat menarik sedikit nafas dan berehat di tali gelanggang sebaik sahaja kita menukar serangan kita kepada Mahathir.

Amat tidak bijak samasekali jika kita fokus serangan kepada Mahathir hanya kerana beliau adalah punca kerosakan negara ini.  Kita lupa, kezaliman Mahathir dan kebobrokkannya telah diturunkan kepada Najib.  Najib ada 'saka' kezaliman Mahathir, cuma silap Najib kerana melanggar 'pantang' ilmu yang diturunkan oleh Mahathir, itulah puncanya Mahathir masuk gelanggang dan ingin bersama kita untuk jatuhkan Najib.  Sesiapa saja yang mahu menjatuhkan Najib, wajar kita terima tanpa kita persoalkan nawaitunya dan apakah keuntungan yang akan diperolehinya jika Najib jatuh.  Cukuplah kita yang perlu bertindak bijak, jangan sampai jatuhnya Najib akan menguntungkan pihak lain.  Kita mahu jatuhkan Najib kerana Najib itu bos Umno/Bn.  Kita mahu tentukan parti Umno/Bn ini lemah selemah-lemahnya.  Main 'chess', perlu bunuh 'king'.

Aku samasekali gembira jika ada pihak yang fokus untuk serang Mahathir.  Tapi aku tidak setuju jika mereka serang Mahathir tetapi di dalam masa yang sama mengkritik atau menyalahkan pihak lain yang lebih fokus kepada Najib selaku ketua rejim sekarang.  Biarlah mereka berkempen dan menggerakkan propaganda mereka untuk menyerang Mahathir.  Kita wajib sokong mereka, walaupun kita lebih fokus kepada menyerang Najib kerana Najib pemegang 'kunci' putrajaya sekarang.  Mahathir bukan tidak aula untuk dilawan, tetapi bagi aku Mahathir akan pupus dengan sendirinya jika kita berjaya jatuhkan Umno/Bn, bermula dengan melemahkan bos mereka iaitu Najib. 

Isnin, 6 Julai 2015

MUHYIDDIN SANGSI, HARON DIN SEPERTI YAKIN

NAJIB kini begitu tertekan.  Kepada siapa lagi Najib perlu mengadu kalau tidak kepada para pengampunya?  Timbalannya sendiri seolah-olah mahu Najib lebih jujur di dalam tindakannya.  Laporan yang didedahkan oleh Wall Street Journal (WSJ) bukan sebarang pendedahan kerana pihak pengurusan akhbar berkenaan tetap istiqomah dengan laporannya meskipun Najib mengugut untuk menyaman akhbar tersebut.

Siapa yang cover Najib sekarang?  Tidak banyak menteri yang sanggup menjadi pak turut kepada Najib walaupun kebanyakan menteri ini lebih suka 'play safe'.  Muhyiddin berani sedikit bersuara kerana mungkin beliau sudah tidak tahan melihat perangai Najib yang semakin melampau.  Usah peduli apa nawaitu Muhyiddin, yang penting Najib kini diasak dari luar dan dalam di dalam isu kononnya ada kemasukan wang jutaan ringgit ke dalam akaunnya.

Sebagai orang Islam, kita tidak patut menerima terus laporan WSJ berkenaan.  Kita mahu isu ini disiasat dengan rapi dan telus.  Adakah SPRM atau pihak berkuasa ada sedikit walau pun sebesar kuman keberanian untuk menyiasatnya?  Ini yang dimaksudkan oleh Muhyiddin, Najib mesti disiasat.

Berbeza dengan Haron Din yang menyatakan sukar mahu percaya Najib melakukannya.  Hujah Haron Din, masakan Najib mahu simpan wang salah itu ke dalam akaunnya?  Ayat Haron Din ini sama juga dengan hujah para peneroka felda dahulu yang selalu berkata, "masakan Najib mahu menganiayai para peneroka felda" kerana bapanya yang melahirkan felda.  Najib waktu itu mempertahankan pelaburan FGVH sehingga sanggup menyebut " haramjadah" kepada para peneroka yang menolak FGVH.  Kini, terbukti bahawa Najib tidak seperti arwah ayahnya, Tun Razak.  Apa terjadi kepada FGVH sekarang?  Haron Din pun bersikap demikian.

Pelik, Muhyiddin sebagai TPM pun seperti sangsi dengan Najib, tiba-tiba Haron Din sebaliknya.  Sepatutnya sebagai seorang yang digelar Ulamak dan Mursyidul Am yang katanya telah 'expired', Haron Din sepatutnya tegas agar Najib disiasat, bukannya terus berkata 'sukar mahu percaya'.