Rabu, 15 Julai 2015

SELAMAT BERSUSAH BERSAMA KAMI BUAT WADAH BARU GHB

SELAMAT datang Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk meneruskan kesinambungan wadah politik berlandaskan Islam, melawan kezaliman dan menuntut keadilan di bumi Malaysia ini.  GHB diumumkan sebagai satu lagi wadah politik yang akan bersama KEADILAN dan Dap untuk meneruskan langkah yang sedikit terencat sekarang bagi menghadapi rejim Umno/Bn.

Pakatan Rakyat yang dahulunya adalah melibatkan KEADILAN, Pas dan Dap nampaknya seperti tiada jodoh yang berpanjangan kerana ada suara-suara yang menzahirkan rasa tidak puas hati hingga ke tahap kebencian dan mengugut untuk bercerai.  Dap berkata putuslah hubungan dengan Presiden Pas tapi tetap bersama Pas.  Ertinya, mahu terus berbaik dan berkawan dengan si anak, namun tidak berkenan dengan perangai si ayahnya.  Pas pula bertindak lebih 'berani' dan hebat.  Pas tidak tolak Kit Siang atau Guan Eng, malah lebih berani apabila Pas menolak batang tubuh Dap keseluruhannya.  Ertikata, Pas beranggapan kerana Dap tidak mahu berkawan dengan 'ayah' (Presiden) maka kami dari keluarga si ayah tidak mahu berkawan dengan seluruh keluargamu (Dap).  Begitulah keadaannya sekarang.

Di atas kertas belum bercerai walaupun kata-kata nista dan cerai dilafazkan di khalayak ramai bahkan satu dunia sudah tahu usul memutuskan hubungan dengan Dap telah diluluskan tanpa bahas di dalam Muktamar, iaitu badan berkuasa penuh di dalam Pas. Katanya, usul tersebut belum muktamad kerana Majlis Syura belum luluskan.  Nah, baru-baru ini Majlis Syura Ulamak telah pun bertindak tepat menyokong usul dari Dewan Ulamak itu.  Maka, sah atau tidak cerai itu?  Katanya lagi, belum sah lagi kerana tidak dibawa lagi di dalam AJK Pas Pusat.  Atau, sebenarnya telah sah cuma tunggu AJK Pas Pusat saja laksanakannya.  Itulah situasi pelik bin ajaib yang berlaku di dalam PR sekarang.

Secara peribadinya, aku rasa amat tepat pada masanya GHB muncul untuk menenangkan situasi.  Umno/Bn kini memang di dalam keadaan amat lemah.  Pemimpin mereka kini telah terlondeh segala-galanya, bayangkan jika sampai ke tahap akaun bank laki bini pun didedahkan orang.  Maka, ini lah waktu dan saat yang paling baik GHB berada dalam satu saf perjuangan rakyat yang telah diamanahkan di dalam PRU 13 yang lalu.  Kita tidak mampu lagi untuk melayani drama "Hudud" yang dipersembahkan oleh Umno untuk membuli umat Islam.  Kita tidak sanggup lagi melihat Hudud dijadikan modal untuk merealisasikan cita-cita UG yang tidak pernah digemari oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.  Kita mahu Hudud dilaksanakan atas kesedaran ugama bukan untuk mainan politik untuk mencipta perpecahan.

GHB tentunya tidak percaya kepada Umno/Bn untuk merealisasikan Hudud.  GHB tentunya mahu melihat Islam itu bukan hanya tertumpu kepada Hudud semata-mata tetapi kebajikan rakyat juga satu kewajipan agama.  GHB tentu merasa sedih melihat masih ada lagi rakyat yang merempat tiada tempat tinggal, tiada pendidikan dan masih berada di dalam khemah menjelang Raya.  Ini bukan cara Islam mentadbir.  Islam  itu syumul, bukan hanya terkandung Hudud di dalamnya.  Justeru itu, GHB merasakan tiada pilihan melainkan turut sertai jihad menentang rejim Umno/Bn.  GHB tidak akan sesekali bersetuju bahawa Najib perlu dikekalkan sehingga PRU 14 untuk meneruskan kezalimannya.  

Mudah-mudahan GHB akan menjadi wadah yang efisyen untuk berganding bahu bersama kita semua.  Mana-mana wadah lain yang tidak mahu bersusah payah berjuang dan hanya mahu berada di dalam keselesaan dengan menggosok belakang Umno, biarkan mereka dengan uslubnya. 

   

Ahad, 12 Julai 2015

APA BEZA TSKI DENGAN AZMIN? TENTULAH JAUH BEZA....



PERJANJIAN Air (Langat 2) telah pun dimuktamadkan. Begitu lama isu ini mahu diselesaikan. Semua tahu cerita ini dimulakan oleh mantan MB Sgor, TSKI dan ditentang hebat ramai pihak atas satu sebab saja, iaitu TSKI gagal mendapatkan persetujuan dan gagal memaklumkan sebarang isi perjanjian Langat 2 ini kepada partinya sendiri bahkan Pakatan Rakyat.

Anwar selaku Ketua Umum KEADILAN, Ketua Pembangkang dan selaku Penasihat Ekonomi Selangor waktu itu gagal dimaklumkan oleh TSKI, sebaliknya beliau membelakangkan bos beliau dan Pakatan Rakyat dan bergegas bertemu Najib di Putrajaya untuk mengadakan perjanjian ini. TSKI bertindak 'one man show".


TSKI buat 'taik', kini Azmin sebagai MB Selangor terpaksa mencucinya. Bukan mudah untuk batalkan satu2 perjanjian apatahlagi melibatkan Kerajaan Pusat dalam keadaan rakyat Selangor sering hadapi masalah air. Sebab itulah, sebarang perjanjian yg mahu dibuat adalah lebih baik dibawa berbincang dulu bersama pimpinan parti baik dan buruknya agar sebarang risiko kita boleh bertanggungjawab bersama.

Di antara salah sebab TSKI dipecat dari parti adalah kerana masalah 'disiplin'nya yang sering membelakangkan pimpinan dan parti di dalam tindakannya terutamanya yang melibatkan dasar PR.

Sebelum Anwar ke penjara, Anwar menasihati Azmin agar berhati-hati dan mengkaji semula isi perjanjian tersebut. Asasnya, tumpuan hendaklah diberi kepada mengatasi masalah air, tetapi jangan sampai hak rakyat Selangor yang lain dirampas atau Selangor rugi di dalam perjanjian ini. Anwar tidak arahkan batalkan perjanjian air, tetapi beliau mahu Azmin tidak melakukan seperti TSKI lakukan iaitu membelakangkan kepentingan dan kedaulatan negeri Selangor demi memenuhi selera kroni Umno/Bn, di samping Azmin mesti sentiasa berhubung dengan pimpinan dan rakan-rakan di dalam PR sebelum membuat keputusan.

Semalam, setelah sekian lama Azmin 'study' perjanjian ini dan dikatakan terdapat beberapa pindaan yang telah dibuat di dalam perjanjian, dan jika ada pun kerugian di pihak kerajaan Selangor hasil dari perjanjian tanpa bincang oleh TSKI ini, Azmin telah cuba untuk meminimakannya. Maka, semalam perjanjian ini dimuktamadkan.

Ada yang bertanya apa beza Azmin dengan TSKI? Jawapannya banyak perbezaan. TSKI yang memulakan perjanjian, bukan Azmin. TSKI membelakangkan pimpinan parti dan PR di Pusat, manakala azmin pula telah berbincang isu ini beberapa kali dengan pimpinan parti dan PR serta Exco-Exconya. Kehadiran beberapa Exco dan pimpinan PR negeri dari Pas dan Dap sewaktu perjanjian ini dimuktamadkan sudah cukup membayangkan ianya tidak 'rahsia'.

Apa yang pasti, selepas ini ada yang kata aku bodek Azmin. Lantak hang la, kalau aku bodek Azmin pun aku dapat apa? Aku bukan rakyat Selangor pun.