Khamis, 14 Januari 2016

SETUJU DENGAN DR MAZA, NAJIB MEMANG WAJAR DIPUJI


TERLEBIH dahulu, aku ucapkan "Innalillahi Wainna Ilaihi Roji'un" kepada Presiden Pas, Hadi Awang yang kini masih berada di IJN kerana keuzuran, semoga diberi kekuatan dan kesihatan yang baik secepat mungkin.  Tabik dan tahniah juga buat Najib Razak, satu-satunya PM yang bertuah di dunia ini yang telah mendapat belas ihsan dari seorang penderma Arab yang sudi memasukkan duit sebanyak RM 2.6 Bilion ke dalam akaunnya kerana memiliki jiwa yang murni, suci lagi bersih zahiriahnya atas kunjungan PM ke atas Hadi Awang di IJN.

Aku juga seperti ramai orang, termasuk Mufti Perlis Dr Maza yang memuji sifat Najib kerana datang menziarahi Hadi Awang.  Walaupun tidak sampai dan tergamak aku untuk menyamakan sifatnya dengan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W yang juga telah menunjukkan contoh dan teladan yang baik apabila Baginda menziarahi sesiapa sahaja yang didengarinya sedang sakit hatta orang Yahudi yang zalim terhadapnya sekalipun.  Bahkan, kematian Yahudi juga turut didatangi oleh Baginda atas dasar kemanusiaan.

Teringat aku sewaktu DS Anwar Ibrahim berada di dalam penjara akibat fitnah yang zalim, beliau diuji dengan ujian yang amat berat.  Di dalam kes fitnah Liwat 1, sewaktu beliau dipenjarakan beliau diuji dengan kematian bondanya.  Di dalam tempoh yang sama juga, Puteri Sulungnya, Nurul Izzah berkahwin dan beliau hanya hadir untuk menjadi Wali kepada Puteri kesayangannya itu.  Ujian amat berat waktu itu juga apabila pemergian rakan seperjuangannya semenjak dari ABIM dahulu, Almarhum Us Fadzil Noor yang ketika itu adalah Presiden Pas telah menemui Maha Pencipta.  Manakala, di dalam kes Fitnah Liwat II pula, tidak kurang hebatnya apabila DS Anwar Ibrahim diuji dengan kehilangan bapanya pula.  Isteri tercinta, Kak Wan juga Presiden KEADILAN terpaksa bertarung tanpa suami di sisi bagi mengekalkan Kerusi Parlimen Permatang Pauh sewaktu suaminya, DS Anwar merengkok di dalam penjara.  

Amat hebat ujian waktu itu.  Kita semua tahu betapa sepanjang kempen di Permatang Pauh berbagai usaha telah dilakukan oleh musuh-musuh DS Anwar samada dari dalam mahupun dari luar untuk mempastikan Kak Wan kecundang di Permatang Pauh.  Ada sekumpulan ustaz yang bukan dari Umno berkumpul dan berdemontrasi untuk membantah calon dari KEADILAN itu.  "Fatwa" dikeluarkan 'Haram Sokong KEADILAN kerana Menolak Hudud".  Bayangkan, jika DS Anwar ada waktu itu sudah pastinya "fatwa" tersebut tidak wujud kerana mereka sedar "fatwa" yang dicipta itu hanyalah kerana dendam kesumat.  Alhamdulillah, tidak semua pimpinan Pas yang goyah dengan ujian keimanan mereka.  Mat sabu yang sewaktu itu masih lagi Timbalan Presiden Pas beserta "orang-orang"nya yang kebanyakannya kini telah bersama Parti Amanah, telah berkubu di kubu kuat Pas untuk menentukan kemenangan Kak Wan.  Alhamdulillah, tanpa suami disisi Kak Wan menang bergaya.

Jika sewaktu di dalam penjara di dalam kes Liwat I beliau kehilangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor, kali ini di dalam kes Fitnah Liwat II pula beliau kehilangan insan dan Murobbi yang amat dikasihinya, Mursyidul Am Pas, Almarhum Tok Guru Nik Aziz.  Sewaktu usia Almarhum Tok Guru, selalu Almarhum sebut dan ulang bahawa wajib pertahankan DS Anwar kerana beliau telah dizalimi.  DS Anwar juga amat menghormati Almarhum sepertimana juga beliau amat menghormati Almarhum Ustaz Fadzil Noor.  Pakatan Rakyat nampak hebat, kuat dan kukuh kerana dua tokoh ini saling menghormati lebih-lebih lagi doa dari Almarhum Tok Guru banyak memperkuatkan Pakatan Rakyat walaupun waktu itu Dap masih lagi tidak bersetuju dengan Hudud dan Pas waktu itu tetap istiqomah dengan dasar Islamnya.  

Kasih sayang DS Anwar terhadap Almarhum Tok Guru mungkin lebih dari kasih sayangnya Najib kepada Hadi Awang.  Namun begitu, patut diberi pujian kepada Najib kerana sedikit sebanyak ada sifat-sifat mulia itu.  Begitu juga Tun Dr Mahathir, bapak segala konspirator.  Mahathir memang zalim terhadap DS Anwar dan sehingga kini beliau tidak pernah insaf dan memohon maaf kepada DS Anwar.  Walaupun demikian, sezalim-zalim Tun Dr Mahathir beliau juga seperti Najib kerana sudi datang menziarahi Arwah bapa DS Anwar sewaktu kematiannya.  Jika yang zalim seperti Tun Dr Mahathir dan Najib itu pun masih ringan kaki, amat malang sekali jika ada rakan apatah lagi seorang Ulamak yang tidak pernah hadir walau sesaat sewaktu kematian bapa DS Anwar, dan juga sewaktu DS Anwar sakit berada di Hospital baru-baru ini.

Itulah dunia politik.  Kadangkala kita tidak dapat membezakan mana satu Ulamak yang mewarisi perjuangan Nabi.   Satu ketika musuh yang kita anggap menjungjung Perlembagaan sekular dan kafir bahkan disebut "Toghut" itu kini adalah peneman kita.  Masa merubah segala-galanya.  Meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri.  Sudah sampai masanya kita masuk ke dalam tong najis untuk mencuci najis di dalamnya.  Najib bertuah bukan saja kerana mendapat derma, tetapi mampu mengatasi Tun Dr Mahathir di dalam kepakarannya memasang jerat.

Ahad, 10 Januari 2016

PAKATAN HARAPAN SANGGUP KETEPIKAN KEPENTINGAN PARTI MASING-MASING DEMI RAKYAT

ALHAMDULILLAH.  Setinggi kesyukuran ke hadrat Illahi akhirnya Pakatan Harapan berjaya menunaikan janji untuk melupakan kepentingan parti masing-masing demi memenuhi kehendak rakyat jelata.  Perjanjian persefahaman Pakatan Harapan akhirnya dimeterai dengan satu keberanian luar biasa iaitu dengan menghapuskan kaedah " Bersetuju untuk tidak bersetuju".

Tiada siapa pun boleh menafikan sekarang ini majoriti rakyat semua kaum amat benci dan meluat kepada Umno/Bn.  Bahkan, di kalangan ahli-ahli Umno sendiri mereka tidak dapat menafikan tentang kebencian ramai ahli-ahli Umno terhadap Najib, Presiden mereka.  Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini jelas membuktikan semua dakwaan ini di mana suara-suara yang mahu mempersoalkan isu 1 MDB dan RM 2.6 Bilion itu digam dari bercakap.  Paling mengaibkan, mulut Timbalan Presiden Umno sendiri, Muhyidin Yasin juga digam dari bercakap.  Umno benar-benar nazak dewasa ini.

Lazimnya, orang yang nazak atau kelemasan akan berpaut kepada apa saja, hatta najis sekalipun.  Umno pasti akan berbuat demikian dan malang sekali jika ada mana-mana pihak mahu menjadi 'najis' untuk dipaut oleh parti ini.  Sehubungan itu, wajar sekali Pakatan Harapan muncul di saat-saat Umno nazak agar rakyat terutamanya ahli-ahli Umno dan penyokong mereka boleh selamatkan diri dan menyertai Pakatan Harapan.  Pakatan Harapan akan muncul sebagai harapan baru kepada mereka.  

Sebelum ini Pakatan Rakyat terlalu banyak melalui krisis akibat daripada perbezaan pendapat, dan ada ketikanya krisis ini dapat diredakan dan ada yang menemui jalan buntu.  Kebuntuan ini adalah berpunca dari konsep "Bersetuju untuk tidak bersetuju" di mana mana-mana parti di dalam PR waktu itu akan menggunakan nas ini untuk mengharuskan perbezaan pendapat yang akhirnya menjadi nanah buat PR itu sendiri.  Masing-masing akan mempertahankan pendapat masing-masing sehingga sanggup melakukan apa sahaja hatta untuk berpisah dengan rakan sendiri.

Pengalaman ini mengajar Pakatan Harapan.  Usaha mesti dilakukan untuk mengurangkan permasalahan ini.  Tiada jaminan bahawa tiada masalah akan berlaku jika PH memansuhkan konsep itu, namun paling tidak ianya mampu mengurangkan permasalahan menguruskan perbezaan pendapat sesama rakan PH.

Tentunya usaha ini memberi keyakinan kepada rakyat bahawa PH cuba untuk menjadi satu gabungan 'sehati sejiwa'.  Di antara KEADILAN, Dap dan Amanah, jiwa-jiwa ini mesti disatukan dengan meletakkan sasaran utama iaitu rejim Umno/Bn sebagai musuh bukan rakan.  Kita tidak mahu di dalam satu pasukan tentera yang terdiri dari Tentera Darat, Laut dan Udara, apabila kita menggempur kubu musuh, tiba-tiba pasukan Tentera Udara menjatuhkan ubat-ubatan dan makanan kepada kubu musuh.  Jika ini berlaku, sudah pasti musuh tidak akan dapat kita kalahkan dan tidak mustahil musuh yang sedang lemah menjadi kuat semula.

Tahniah kepada pimpinan Pakatan Harapan yang sanggup mengenepikan sementara kepentingan parti masing-masing demi membela nasib rakyat terbanyak.  Berundur setapak ke belakang untuk maju sepuluh tapak lagi ke hadapan.