Selasa, 25 Oktober 2016

KONVOI JELAJAH BERSIH5 DI PAHANG MULAI CUBA DIGANGGU

PADA 22 Okt 2016, Sabtu jam 5.00 petang, konvoi Jelajah BERSIH5 dari Terengganu telah sampai terlebih dahulu di Pintu Gerbang sempadan Kemaman/Kuantan di Chendor.  Tidak beberapa minit kemudian, konvoi lebih dari 20 buah kenderaan yang bergerak dari Pejabat Adun Semambu, Indera Mahkota pun tiba di Pintu Gerbang Kemaman bagi menyambut obor BERSIH5 untuk meneruskan Jelajah BERSIH5 ke Negeri Pahang pula.


Serah menyerah obor dari Terengganu kepada Ketua Koordinator BERSIH5 Pahang, Puan Sitarunnisa disaksikan juga oleh MP Indera Mahkota yang juga Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, Adun Semambu YB Lee Chean Chung dan Adun Teruntum YB Sin Choon Siang, kesemuanya dari Keadilan.  Selain dari pimpinan Keadilan Negeri Pahang, turut serta adalah wakil dari pimpinan Parti Amanah tempatan serta pimpinan NGOs.



Selesai serah menyerah obor, konvoi Jelajah BERSIH5 terus membawa obor BERSIH5 ke Pejabat MP Kuantan, YB Fuziah Salleh untuk disimpan sebelum memulakan jelajah keesokkannya.  Pada 23 Okt 2016, jam 09.00 pagi Jelajah BERSIH5 telah mula memenuhi perkarangan UTC, tengah bandar Kuantan.  Di UTC, Jelajah BERSIH5 Peringkat Negeri Pahang dilancarkan secara resminya oleh MP Kuantan, YB Fuziah Salleh.  Di dalam ucapan beliau, YB Fuziah menjelaskan secara panjang lebar 5 matlamat utama perjuangan BERSIH5.  Selesai pelancaran, peserta-peserta Jelajah BERSIH5 membuat edaran risalah BERSIH5 kepada semua yang berada di sekitar UTC dan pasar pagi berhampiran.





Jelajah BERSIH5 kemudiannya bergerak ke Kg Tiram, Indera Mahkota bagi menemui dan memberikan sokongan kepada anak-anak muda yang berada di Pertandingan Futsal Piala MP Indera Mahkota/Dun Semambu bertempat di Gelanggang Futsal Kg Tiram.  MP Indera Mahkota, YB Dato Fauzi Abdul Rahman dan Adun Semambu YB Lee Chean Chung turut menyaksikan pertandingan tersebut dan seterusnya menyampaikan piala dan hadiah kepada Johan Pertandingan iaitu Tim Galing Baru dan Naib Johan, Tim Bukit Bayrot.  

 



Selesai saja pertandingan, Jelajah BERSIH5 terus menuju ke Taman Gelora untuk mengadakan gotong royong membersihkan kawasan Taman Gelora.  Peserta-peserta Jelajah BERSIH5 berehat dan makan tengahari di Taman Gelora di samping mengedar risalah kepada para pengunjung.


Pada 24 Okt 2016, Jelajah BERSIH5 meneruskan jelajah memasuki kawasan Rompin.  Di sinilah bermulanya Jelajah BERSIH5 telah diprovokasi oleh Kumpulan Baju Merah di Leban Chondong, Rompin.  
Konvoi Bersih 5 dalam misi mengedarkan risalah dan memberi penerangan berkaitan gerakan itu dihalang oleh sekumpulan penduduk yang menanti di Leban Chondong.  Konvoi yang menuju ke Bandar Kuala Rompin selepas singgah di Leban Chondong kemudiannya ditahan di Kampung Derahman sekitar jam 12.30 tengahari.   Setelah ditenteramkan oleh pihak polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, keadaan kembali tenang dan konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Kuala Rompin dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke lokasi yang ingin dituju iaitu di Kedaik, kawasan perkampungan Orang Asal untuk mengadakan "Medical Camp" kepada para penduduk di situ.  




Sambutan dari masyarakat setempat amat baik sekali.  Tahniah kepada peserta Konvoi BERSIH5 yang berjaya menangani provokasi oleh Baju Merah dengan baik dan berdisiplin sekali.  Kerjasama pihak Polis juga amat baik dan diharapkan akan berterusan sehingga Jelajah BERSIH5 di Pahang ini berakhir pada 18 Nov ini nanti.  Esok, 25 Okt 2016, InsyaAllah, BERSIH5 akan berada di Kawasan Paya Besar iaitu di Taman Tas, Kuantan pula.