Selasa, 3 Januari 2017

PAS SELANGOR SILAP ORANG, AMANAH SAHUT CABARAN PAS

APABILA PJ Pas Selangor, YB Iskandar Samad memulakan 'ugutan' dan mencabar Amanah untuk bertanding menentang Pas di Selangor, maka amat wajar cabaran itu disahut oleh Amanah.  Walaupun Amanah parti baru berusia setahun lebih, namun Pas jangan lupa bahawa majoriti pendekar-pendekar dan hulubalang-hulubalang Pas dahulu kini berada di dalam Amanah.  Mereka pantang dicabar.

Timbalan Presiden Amanah, Sdr Salahudin Ayub telah pun menyahut cabaran Iskandar dan mahu kawasan Iskandar sendiri iaitu di Dun Chempaka dijadikan gelanggang pertembungan Amanah - Pas.  Menurutnya, jika berlaku pertandingan 3 penjuru, Dun Chempaka adalah kawasan 'ujikaji' yang paling sesuai berdasarkan cabaran Iskandar Samad.  Iskandar tidak akan berani membuat cabaran jika beliau merasa beliau lemah di kawasannya, namun Amanah bukannya parti yang boleh Pas permainkan.  Keberanian Amanah menyahut cabaran Iskandar itu wajar dipuji.  

Aku merasa bangga kerana di dalam PH kita memiliki parti seperti Amanah yang masih baru tetapi memiliki semangat yang tinggi.  Umno/Bn, selaku kerajaan pun Amanah lawan, siapalah Pas yang bukan kerajaan pun.  Kita tahu sejak awal penubuhan PH, semua parti di dalam PH bersetuju untuk mengajak Pas bersama, bahkan mana-mana parti sekali pun dengan harapan gabungan pembangkang yang kuat akan menjatuhkan rejim zalim Umno/Bn.  Malangnya, Pas anggap PH ingin melutut dan merayu kepada mereka dan Pas perasan parti mereka kuat sehingga PH mempelawa mereka bersama.

PH mempelawa Pas untuk bersama hanyalah kerana mahu melihat Umno/Bn tumbang, dan rakyat dapat faedahnya.  Tidak lebih dari itu.  Ini bukan soal Keadilan, Dap, Amanah atau Pas itu kuat, tapi hakikatnya pertandingan 3 penjuru itu selalunya menguntungkan Umno/Bn.  Bukan kerana Keadilan lemah atau Pas kuat.  Kita boleh lihat contoh di Dun Sg Acheh mahupun Damansara di dalam PRU13 yang lalu.  Berlaku 3 penjuru di Dun Sg Acheh, undi calon Keadilan, Chegu Bard lebih tinggi dari calon Pas, Us Yusni Piah.  Bahkan Us Yusni Piah hilang deposit.  Namun hasil dari kerja bodoh kita waktu itu, calon Umno/Bn menang.  Maka, itulah sebabnya PH mempelawa Pas untuk bersama.  

Timbalan Presiden Pas pula berkata, Pas mungkin akan menjadi berharga apabila mana-mana parti yang tidak cukup Kerusi membentuk kerajaan, mereka pasti akan mencari Pas.  Apakah ini caranya Pas bersungguh-sungguh untuk melawan rejim Umno/Bn?  Mengapa Pas dijual semurah itu?  Tidak kesihankah kepada penyokong-penyokong Pas di bawah yang sejak dulu berhabis tenaga dan wang ringgit untuk menentang rejim Umno/Bn yang zalim itu, tiba-tiba Pas mahu "dilacurkan" sedemikian rupa?   Amat malang buat Pas sekarang.

Aku harap PH tidak memanjangkan masa untuk mencari perdamaian dan persamaan dengan Pas.  Kita telah lepas dari tanggungjawab kita untuk mengajak Pas bersama.  Namun, sekiranya Pas merasa partinya kuat bersendirian, PH tidak perlu melambat-lambatkan perjalanan kita.  Jangan turunkan momentum sokongan rakyat kepada PH hanya kerana mahu melayani Pas bermain 'tarik tali".