Rabu, 9 Ogos 2017

ANAK MUDA HARAPAN BARU - ABRAR SADIQ

 Oleh:  Adik Abrar Sadiq, Sg Petani
 
Salam Perjuangan. 
 
Politik Malaysia sekarang sudah sampai ke suhu yang sangat panas sekarang. Walaupun saya sibuk di sekolah menuntut ilmu namun isu isu yang dimainkan di media massa dan media elektronik sentiasa menjadi santapan buat diri. Kelihatan tubuh Tun Dr Mahathir yang boleh saya simpulkan sebagai Tok Det diasak hebat oleh media kerajaan sama seperti pada September 1998 batang tubuh Dato Seri Anwar Ibrahim difitnah secara total sekaligus menyebabkan suasana politik yang agak positif kepada parti pembangkang. 
 
 
Implikasi kepada Pakatan Pembangkang kepada Anwar dahulu sewaktu Almarhum Tuan Guru Fadzil Noor mengetuai Pembangkang sangatlah dalam keadaan terkawal dengan hujah dan sebagainya malangnya kini apabila Tok Det bersama dalam perjuangan pembangkang, ada segelintir pihak yang khabarnya orang kuat Reformasi malah Sosialis yang sangat anti pada Tok Det telah melakukan sesuatu yang mendatangkan satu perpecahan yang tidak membawa keuntungan kepada kita tetapi kepada musuh hakiki iaitu Barisan Nasional. 
 
Bagi saya yang terjebak dalam politik kerana kagumnya saya pada Anwar, kita perlulah berfikir secara rasional dan matang serta menilai kehadiran Tok Det itu sebagai peluang untuk menjadikan "Pembangkang sebagai sebuah kerajaan yang menunggu" ini satu kenyataan. Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Tok Det perlu dimanfaatkan seperti dalam isu percanggahan idea antara pimpinan Pakatan Harapan dan kesukaran menembusi kawasan majoriti Melayu. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sangat berjaya setakat ini menarik minat para pendokong Umno untuk bersama dalam perjuangan menentang kezaliman. Kampung-kampung malah Felda-Felda berjaya diasuh mindanya oleh Tok Det yang keringatnya sudah sampai ke penghujung usia. 
 
Begitulah pengorbanan sang penguasa yang zalim pada waktu dahulu namun keinginan menebus kesalahan pada masa sekarang sangatlah wajar dipuji. Pendedahan soal rasuah dan rahsia BN menjadi satu autoriti kepada Tok Det dan membawa satu malapetaka kepada musuhnya kini situ Barisan Nasional dan kini amat tepatlah terma "Dalam politik tiada yang mustahil" dan "Politik merupakan medan yang membuktikan lawan boleh menjadi kawan" demi satu objektif padu untuk membina semua tanah air tercinta. 
 
Menyentuh Pakatan Harapan(PH) pula, kewibawaan Tok Det terserlah apabila logo atau lambang PH sudah termeterai dan dipersetujui semua pihak sekaligus mampu menjadi liabiliti kepada PH dalam membawa harapan rakyat serta memberi keyakinan kepada pendokong atas pagar yang mengharapkan semua pemain politik ini "walk the talk" dan tidak hanya mudah memberi satu retorik yang sama sekali tidak realistik. Soal tiga kedudukan pemimpin utama PH itu menunjukkan wujud wujud imbangan dalam jawatan utama. Tiada siapa yang mempunyai kuasa veto atau dominan sekaligus menolak fitnah bahawa DAP menjadi sebuah parti yang vokal dalam PH malah AMANAH, PKR dan PPBM turut mempunyai pimpinan yang berada dalam struktur pentadbiran PH itu sendiri. PH bergerak dengan kepemimpinan kolektif dan ingin saya anak muda tegaskan PH bukan milik individu Ia milik rakyat Malaysia jadi tolong abaikan saja cakap cakap bahawa pimpinan PH merupakan badut politik yang berbekalkan air liur tetapi tidak tetap dalam pendirian. Pendirian kita jelas iaitu tumbangkan BN dalam PRU akan datang hatta sesiapa saja yang menghulurkan bantuan, kita perlu terima jangan ego kerana kita punya kelompongan yang besar. 
 
Akhir kalam, masa kian pantas berlalu dan tarikh PRU kian hampir, kini sudah tiba masanya kita tidak memujuk sesiapa untuk bersama kita kerana dek ego mereka kita jadi lupa harapan anak bangsa kita dalam membina semua Malaysia. Mat Sabu, Lim Kit Siang, Tun Dr Mahathir, Dato Seri Anwar Ibrahim hatta Dato Seri Najib malah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mereka semua sudah melebihi usia 50 tahun, mereka hanya berpidato sekadar memenuhi harapan kita dan halwa telinga serta seperti gagak lalu punggur rebah. 
 
Sekarang tugas kita anak muda untuk mula membina negara yang kita cinta ini semula. Berilah PAKATAN HARAPAN peluang. Islam akan tetap memerintah. Melayu akan terus berkuasa. Kita juga mengharapkan sistem kehakiman kita kembali seperti sediakala tanpa ada campur tangan sang penguasa kerana sekarang majoriti keputusan bagai limau masam sebelah dan berlaku ketidakadilan di situ. Ingatlah rakyat Malaysia, di mana kelintung berbunyi, di situ kerbau tinggal diam oleh itu berilah peluang kepada Pakatan Harapan wahai rakyat Malaysia. Sekian.
 
*  Penulisan ini adalah pandangan dari seorang anak muda yang begitu berfikiran terbuka.  Admin siarkan sepenuhnya penulisan beliau tanpa sebarang edit dilakukan.