Rabu, 23 Oktober 2019

ANUAR MUSA TIDAK PERLU BIMBANG KALAU ANWAR JADI PM

Anuar Musa kelihatan agak rimas apabila semakin hampir saat yang dijanjikan untuk Anwar menggantikan Tun M sebagai PM ke 8. Di dalam kenyataan terbarunya, beliau mahu Tun M terus memimpin sehingga habis penggal dan Anwar boleh terus menunggu, katanya.

Sebenarnya bukan Anuar Musa saja yang resah gelisah, ramai lagi pimpinan dan bekas pimpinan Umno dan bekas menteri dulu turut risau apabila Anwar mengambil alih jawatan utama itu dari Tun M pertengahan tahun depan. Mereka kenal Anwar dan tahu prinsip Anwar. Bila bertemu dengan Anwar, mereka boleh sembang, tepuk tampar, gurau senda sambil mengeteh, tapi kalau kamu ada kes, jangan harap Anwar akan bersimpati dengan kamu. Kalau kamu ada dosa peribadi Dengan Anwar, jangan risau, Anwar akan maafkan dan tidak berdendam. Tapi, kalau kamu pernah rembat hak orang atau wang rakyat, kamu patut bimbang.

Pada saya tidak pelik kalau orang macam Anuar Musa ini dan beberapa orang lagi pemimpin Umno yang begitu berharap agar Tun M khianati janji dan kepercayaan rakyat agar Anwar dapat dilengahkan dan kalau boleh digagalkan terus dari menduduki jawatan PM ke 8. Kita faham sangat perangai pemimpin Umno ini. Apa yang mereka suka, itulah sebenarnya keburukan kepada kita.

Bahkan, di dalam PH sendiri ada yang gusar dengan Anwar. Setiap kali Anwar bercakap, beliau begitu lantang berbicara soal rasuah dan penyelewengan. Orang seperti ini baik untuk negara tetapi bahaya buat perompak dan perasuah.

Skandal 1MDB telah mula sedikit demi sedikit mencari "mangsa". Terbaru, bekas timbalan presiden parti lebai pun terpalit dan akan diseret ke mahkamah. Tidak habis setakat itu, sabarlah tunggu giliran masing-masing.

Sekali lagi Sdr Rafizi buktikan, betul apa yang beliau dedahkan sebelum PRU14 yang lalu. Beliau buat akuan bersumpah dan menyebut nama bekas timbalan presiden parti lebai ini serta beberapa orang yang lain yang terlibat di dalam skandal 1MDB ini. Patutlah ramai pemimpin Umno amat anti dengan Rafizi kerana kecerdikan dan keberanian anak muda ini.

FUZIAH SALLEH - BERTERUS TERANG, BERANI MENONGKAH ARUS


Di dalam ucapan selaku salah seorang Penalis program anjuran Akademi Keadilan (ARK) bertajuk *"KERAJAAN BAHARU - ADAKAH NARATIFNYA BAHARU?"*, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) yang juga merangkap MP Kuantan, YB Puan Hajjah Fuziah Salleh telah berjaya memanaskan dewan yang padat dengan kehadiran lebih 500 peserta program.

Intipati ucapan Pengerusi Keadilan Pahang ini telah menarik minat para hadirin apabila beliau secara terbuka dan berani mengakui beberapa kelemahan kerajaan PH yang harus diperbaiki dan ditangani segera. Walaupun baru memasuki hampir dua tahun menjadi kerajaan, melalui bajet 2020 yang baru diumumkan baru-baru ini ternyata lebih baik dan mesra rakyat dari tahun sebelumnya, namun kerajaan tidak harus leka dan cuai bagi menghadapi tahun-tahun berikutnya.


Beliau turut memberi contoh beberapa isu yang mudah dimanipulasikan oleh pembangkang akibat kecuaian kerajaan di dalam melaksanakan dasar baru. YB Fuziah juga mengingatkan terutamanya pimpinan-pimpinan Keadilan yang bergelar Menteri, Timbalan Menteri dan wakil-wakil rakyat agar sentiasa berpegang teguh dengan prinsip dan tidak terikut-ikut dengan budaya Umno/Bn iaitu budaya ampu dan bodek pimpinan. Isu Lynas umpamanya, beliau tidak pernah berganjak sejak dahulu hingga kini meskipun telah bergelar Timbalan Menteri. Walaupun beliau sedar, prinsipnya menentang kewujudan kilang Lynas itu dilihat sebagai menongkah arus dengan dasar kerajaan sekarang, namun demi rakyat beliau tidak gentar untuk menyuarakannya. Soal diterima atau ditolak, itu soal lain. Pokoknya, prinsip beliau tidak berganjak walaupun bergelar Timbalan Menteri.


YB Fuziah berkata, ketika kita waktu itu Pembangkang memperjuangkan isu Lynas, beberapa pimpinan yang senada dengan Umno menyokong kilang nadir bumi tersebut waktu itu mereka berada di dalam Umno lagi. Mereka tidak merasai jauh sekali untuk menyelami perasaan pejuang-pejuang anti Lynas ini.

Banyak lagi yang perlu kerajaan lakukan jika mahu melaksanakan agenda reformasi yang kita tawarkan kepada rakyat melalui manifesto kita sebelum PRU14 yang lalu. Ini memerlukan semangat, kekuatan dan keberanian untuk merealisasikannya.

Ucapan YB Fuziah kerap kali disambut dengan tepukan gemuruh dan teriakan bersemangat dari para hadirin. Jelas, mereka mendambakan perubahan total di dalam negara ini. Mereka menolak budaya Umno/Bn diamalkan di dalam kerajaan. Mereka tidak mahu kerajaan yang menghampiri ke arah "dictator ship" yakni kerajaan atau ketua kerajaan berkuasa mutlak.

Program malam itu boleh diberi pujian kerana berjaya menghimpunkan lebih dari 500 peserta yang melebihi dari sasaran. Kemuncaknya adalah ucapan dari Presiden Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, bakal PM ke 8.

Program tersebut juga menyelitkan sesi dialog dan soal jawab peserta dengan semua Penalis termasuk dengan Presiden Keadilan sendiri. Semoga program seumpama ini dapat dijalankan di semua negeri selepas ini.

ANWAR BERI KEBEBASAN PENUH KEPADA RAFIZI DAN SENTIASA MEMBERIKAN SOKONGAN KEPADANYA



Baru-baru ini, di dalam program anjuran ARK (Akademi Keadilan) "Kerajaan Baharu" - Adakah Naratifnya Baharu?, yang telah diadakan di Hotel Swiss Garden, Jalan Pudu, KL , Presiden Keadilan YB Dato' Seri Anwar Ibrahim telah ditanya oleh salah seorang peserta forum tentang Sdr Rafizi Ramli yang dilihat seolah-olah terpinggir dan menyepikan diri setelah banyak membantu PH di dalam kempen memenangi PRU14 yang lalu.

Anwar telah memberikan jawapan bahawa Sdr Rafizi sekarang adalah Naib Presiden Keadilan, beliau berhak untuk melaksanakan tugasnya di mana-mana sekalipun dan beliau selaku Presiden akan menyokongnya. Meskipun para hadirin mahukan Anwar menjawab atau mengulas panjang lebar sedikit tentang Sdr Rafizi, namun melihat kepada waktu yang terhad untuk Anwar menjawab beberapa soalan lain, jawapan pendek Anwar itu sudah cukup memberikan isyarat jelas bahawa sokongan dan kepercayaan Anwar terhadap Rafizi masih utuh.


Ramai tertanya-tanya, mengapa Sdr Rafizi dilihat "menyepi"? Adakah beliau merajuk? Sebenarnya beliau tidak menyepi, beliau masih memberikan pandangannya samada melalui twitter mahupun FB pagenya. Tiada sebab untuk beliau merajuk kerana beliau sejak awal lagi sewaktu di dalam kempen PRU14 yang lalu telah menyatakan hasrat untuk berehat agak lama selepas PRU14 bagi menumpukan kepada banyak kes mahkamah yang dihadapinya. Apatah lagi, setelah PRU14 yang lalu beliau kerap mengalami masalah kesihatan. Mungkin akibat terlalu kuat bekerja siang dan malam sebelum ini menjadikan kesihatannya sedikit terjejas, maka selepas PRU14 yang lalu, itulah waktu yang sesuai untuk beliau berehat bersama keluarga.

Namun demikian, sebagai pejuang politik, bercuti atau berehat tidaklah sama dengan percutian orang biasa. Tangannya masih bisa menulis untuk menyatakan sesuatu perkara dan isu khususnya berkaitan politik. INVOKE masih berfungsi walaupun tidak serancak sewaktu berkempen dahulu. INVOKE kini berperanan lebih kepada memantau aras sokongan rakyat kepada kerajaan PH dari semasa ke semasa. Bahkan, Sdr Rafizi turut turun membantu kempen PH di PRK di Port Dickson dan di Rantau. Waktu itu, beliau berkeadaan kurang sihat dan cergas sepenuhnya, namun tetap turun membantu kempen.

Benar, Sdr Rafizi kadangkala berbeza pendapat dengan Anwar. Beliau tidak mahu melihat Anwar dikelilingi oleh pengampu-pengampu yang bakal merosakkannya. Itu sahaja tujuan Rafizi. Anwar pula ada pandangannya sendiri dan ini dihormati oleh Rafizi. Walaupun berbeza sedikit sebanyak, Rafizi tidak pernah biadab dan kurang ajar terhadap bosnya itu. Rafizi tahu adab dan akhlak. Tidak seperti beberapa pimpinan parti yang lain, bila telah berjawatan dan berkedudukan, pantang ditegur oleh Anwar, terus sombong, ego dan biadab.

Marilah kita bersama berdoa agar Sdr Rafizi dianugerahkan kesihatan yang baik dan diberikan keringanan dan kemenangan di dalam kes-kes mahkamah yang bakal dihadapinya tidak beberapa lama lagi. Rakyat mendambakan susuk tubuh anak muda ini kembali aktif di persada politik tanahair di samping Anwar Ibrahim dan membantu Anwar membangunkan negara ini sebaik sahaja Anwar ditabalkan sebagai PM ke 8 nanti, InsyaAllah.

Selasa, 22 Oktober 2019

BAHAS BAJET - TIADA RAFIZI, ANWAR TAMPIL DENGAN PERBAHASAN YANG BERMUTU


Sewaktu rejim Umno/Bn membentangkan Bajet mereka, di antara tokoh hebat dari kalangan Pembangkang yang dinantikan untuk membahaskan bajet berkenaan adalah Sdr Rafizi Ramli , waktu itu adalah MP Pandan.

Beliau memiliki ketajaman berfikir dan berhujah yang baik, sukar mahu diganggu gugat dan dipertikaikan oleh pihak kerajaan ketika itu. Sdr Rafizi berbahas penuh dengan fakta, menolak sentimen emosi serta memperlihatkan beliau telah membuat 'home work" sebelum bangun berbahas. Sewaktu Anwar di dalam penjara, anak muda ini sering menyesakkan jantung Najib selaku PM dan Menteri Kewangan ketika itu.

Ramai yang memperkatakan, jika tidak kerana kes-kes mahkamah yang beliau hadapi, sudah tentu beliau kini adalah seorang Ahli Parlimen dan di antara menteri kanan yang akan dilantik samada berjawatan menteri kewangan atau ekonomi. Tidak mengapa, ada hikmahnya kerana setiap kejayaan perlu ada pengorbanan dan beliau di antara yang mengorbankan dirinya untuk kejayaan PH hari ini. Kita berjaya menjadi kerajaan adalah kerana rakyat telah celik tentang GST, skandal 1MDB, kes NFC, skandal Tabung Haji. LTAT, KWAP dan banyak lagi. Siapakah tokoh yang banyak memerkatakan atau mendedahkan semua ini jika tidak Sdr Rafizi Ramli serta beberapa rakan yang lain? Beliau hadapi risiko di atas keberaniannya itu.

Apabila telah dua kali kerajaan PH membentangkang Bajet, tentulah ada perbezaan dari segi pendekatan bagi membahaskan bajet yang dibuat oleh kerajaan kita sendiri. Malangnya, waktu kita membentuk kerajaan, Sdr Rafizi berada di luar Parlimen. Kita bimbang, tiada sesiapa lagi mahu bersuara agak kritikal di dalam membahaskan bajet kerajaan PH. Mahu diharapkan kepada Wakil Rakyat Pembangkang di dalam Umno/Bn? Oh tidak. Mereka adalah penegak kemungkaran kerajaan terdahulu, mana mungkin mereka memiliki idea atau maruah untuk bercakap benar jauh sekali berfakta? Mahu mengharapkan wakil rakyat Pas? Parti ini pun telah bersekongkol dengan bekas Kleptokrasi dahulu.

Alhamdulillah, Anwar telah berada di Parlimen. Hari ini, Anwar telah membahaskan bajet dengan satu perbahasan yang amat baik. Anwar tidak berselindung untuk memuji beberapa langkah baik yang terdapat di dalam bajet, di dalam masa yang sama kebanyakan perbahasannya adalah untuk menegur kerajaan di dalam beberapa perkara terutamanya yang melibatkan rakyat bawahan. Biarpun beliau merupakan Presiden Parti Keadilan dan bakal PM ke 8, beliau tidak menggunakan perbahasan hari ini untuk mengampu dan membodek kerajaan. Oleh kerana itulah sepanjang perbahasan beliau, tidak ramai di kalangan Pembangkang yang mahu bangun mencelah. Mungkin mereka tiada modal lagi untuk mencari salah silap perbahasan MP Port Dickson ini.

Saya melihatnya, ketokohan pemimpin ini adalah menjadi ikutan kepada Sdr Rafizi Ramli. Berani kerana benar. Lawan tetap lawan. Kerajaan beruntung memiliki tokoh yang berwibawa yang berada di dalam Parlimen kita. Alangkah hebatnya sekiranya Sdr Rafizi dan Anwar Ibrahim sekarang berada bersama di pentas Parlimen. InsyaAllah, sedikit masa lagi kita akan lihat apa yang kita impikan ini.