RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 11 Januari 2014

PEMILIHAN KEADILAN - JIKA ANWAR TIDAK BERTANDING PRESIDEN, AZMIN BAKAL LAWAN DS WAN AZIZAH?

PEMILIHAN pimpinan di dalam KEADILAN sudah tidak beberapa lagi iaitu dijangka selesai keseluruhannya di dalam bulan Mei tahun ini.  Pemilihan Cabang kali ini dilakukan serentak dengan pemilihan di peringkat Pusat yang dijangka bermula bulan depan.

Dato' Sri Anwar Ibrahim - Akan menjadi Presiden?
Datin Sri Wan Azizah - Bakal bersara dari politik atau terpaksa berdepan dengan Azmin?
Aku tidak menjangkakan persaingan sengit di banyak tempat di Cabang-Cabang, namun di peringkat Pusat kali ini menjadi tumpuan adalah di Kerusi Presiden, Timbalan, Ketua AMK dan Ketua Wanita.  Kerusi Presiden kini disandang oleh DS Wan Azizah, kemungkinan akan ditandingi seandainya DS Anwar Ibrahim tidak tampil mengambil jawatan tersebut dari isterinya.  Adakah DS Anwar Ibrahim bersedia untuk berada di Kerusi Presiden dan melupuskan terus jawatan Ketua Umum yang tidak dipertandingkan sejak dulu?

Azmin Ali - Sudah hampir pasti akan ditentang
DS Anwar Ibrahim dulu memilih untuk berada di jawatan Ketua Umum adalah bersifat strategik dan muslihat untuk kepentingan parti.  Waktu itu beliau berdepan dengan berbagai fitnah dan menghadapi banyak kes mahkamah yang memungkin beliau terpenjara sekali lagi.  Justeru itu, beliau tidak mahu parti kehilangan Presiden sekiranya beliau berada di Kerusi tersebut.  Itu andaian ramai orang dan ianya memang lojik.  Semua tahu, sekarang pun DS Anwar masih tidak bebas dari fitnah dan masih berdepan dengan risiko dipenjarakan.  Maklumlah, rejim tidak akan boleh tidor lena selagi DS Anwar bersama dengan rakyat.

Zuraida Kamarudin - Bakal ditentang?
Adakah DS Anwar telah bersedia untuk berada di Kerusi Presiden walaupun beliau tahu risiko yang bakal dihadapi oleh parti seandainya beliau terpenjara sekali lagi?  Jika DS Anwar bertanding di Kerusi Presiden dan isterinya DS Wan Azizah bersara dari politik, aku yakin tiada sesiapa akan bertanding merebut Kerusi tersebut.  Jika ada pun, tokoh itu sebenarnya ingin 'membunuh diri".

Tetapi jika berlaku sebaliknya, DS Anwar masih ingin kekal di Jawatan Ketua Umum sehinggalah semua kesnya selesai, maka tentulah DS Wan Azizah akan terus mempertahankan Kerusi tersebut.  Jika ini terjadi, percayalah DS Wan Azizah akan ditentang oleh seorang tokoh yang selama ini sering menyebut dan menggalakkan DS Anwar menjadi Presiden.  

Kerusi Timbalan Presiden di dalam keadaan bagaimana pun hampir pasti akan ditandingi.  Timbalan Presiden kini dipegang oleh Azmin Ali.  Samada Azmin berhajat untuk naik ke puncak iaitu bertanding jawatan Presiden sekiranya DS Anwar menjadi Ketua Umum, pastinya beliau akan berdepan dengan DS Wan Azizah.  Adakah Azmin Ali cukup kuat untuk berdepan dengan DS Wan Azizah?  Pada pandangan aku merupakan satu kesilapan politik yang besar oleh Azmin jika beliau ingin mencabar DS Wan Azizah.  Bukan aku bermaksud DS Wan Azizah itu sehebat DS Anwar, tetapi keadaan Azmin itu sendiri yang menyukarkan beliau untuk berdepan dengan DS Wan Azizah.  Bukan kerana pengaruh DS Anwar akan membantu DS Wan Azizah, tetapi beberapa isu yang timbul sebelum pilihanraya dan sewaktu pilihanraya malahan selepas pilihanraya yang menampakkan Azmin semakin kurang mendapat sokongan khususnya di peringkat akar umbi.

Andainya Azmin belum bersedia untuk menentang DS Wan Azizah, jawatan beliau sekarang pun tetap akan ditandingi.  Kesemuanya adalah kerana ramai yang ingin melihat tokoh lain yang lebih diyakini dan dihormati dan tidak ramai musuh serta dihormati oleh rakan-rakan dari PAS dan DAP untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden.  Camportangan Azmin di dalam beberapa tindakannya mencatur calon-calon di beberapa kawasan sebelum PRU 13 yang lalu banyak mengguris perasaan ahli. Selaku Pengarah JPRP, beliau terlebih di dalam menggunakan kuasanya.  Isu di Selangor termasuk isu perlantikan MB, isu kenaikan elaun MB dan Adun yang mana beliau mengkritik Tan Sri Khalid Ibrahim di belakang, nama Azmin agak terjejas walaupun beliau mempunyai sokongan yang agak kuat di beberapa Cabang di Selangor tetapi beliau harus ingat undian untuk jawatan Timbalan Presiden bukan datang dari Selangor sahaja.

Siapa pula tokoh yang mahu diangkat untuk menentang Azmin?   Dan, siapa pula yang akan bertanding jawatan Ketua AMK yang bakal dikosongkan oleh Sdr Shamsul Iskandar?  Apabila Azmin bakal ditentang, sudah semestinya Ketua Wanita sekarang iaitu orang kuat beliau Puan Zuraida Kamaruddin juga bakal ditentang.  Apakah Sdr Rafizi yang amat menyerlah ketika ini akan berada di dalam Saf kepimpinan KEADILAN di peringkat tertinggi?  Apakah politik Sdr Saifuddin Nasution berahir atau beliau akan terus berada di persada kepimpinan KEADILAN?

Aku akan ulas di dalam penulisan akan datang.  Waktu ini, masa aku tumpukan untuk "BUGHAH".  Kahkahkah....
 

Jumaat, 10 Januari 2014

SULTAN PERLU TEGUR JAIS KERANA TIDAK HORMATI KERAJAAN PILIHAN RAKYAT SELANGOR

KALAULAH Jamil Khir tak bagitahu kita pun, memang kita taat kepada Sultan selagi Sultan itu taat kepada Allah dan Rasul.  Jadi, tak perlulah Jamil Khir melalak tidak tentu pasal kerana tidak timbul soal tidak taat kepada Sultan.  Jamil Khir sebut soal taat kepada Sultan adalah berkaitan dengan isu Kalimah Allah di Selangor.

Kisahnya JAIS rampas kitab Bible berbahasa Melayu kepunyaan penganut-penganut Kristian.  Kisahnya juga JAIS buat serbuan tanpa berbincang bahkan tanpa maklum pun kepada Kerajaan Negeri Selangor.  Mengapa Jamil Khir tidak sebut bahawa setiap Jabatan yang berada di bawah kerajaan negeri mestilah ada hubungan baik serta saling bekerjasama?  Bolehkah Jamil Khir terima jika ada Jabatan atau Kementerian di bawah Kerajaan Pusat berbuat sesuatu tindakan, tambahan pula tindakan itu sensitif tanpa pengetahuan Kerajaan Pusat?  Tentu tidak masuk akal, bukan?

Jangan persoal tentang kitab Bible itu menyalahi undang-undang atau hukum Islam kerana berbahasa Melayu dan mempunyai Kalimah Allah di dalamnya, kita persoalkan tindakan JAIS yang seolah-olah mensabotaj Kerajaan Negeri.  Jika mahu bicara sangat tentang undang-undang, nanti orang akan tanya siapa yang luluskan penerbitan kitab tersebut?  Bukankah ada cop kelulusan KDN pada kitab berkenaan?  Siapa Menteri di KDN?  Menteri dari PAS, PKR atau DAP?  Ada pula nanti orang bertanya, mengapa Najib boleh benarkan kitab tersebut atau Kalimah Allah digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak?  Semenjak bila hukum halal atau haram itu berbeza mengikut negeri?  

Justeru itu, jangan kaitkan Sultan.  Memang Sultan itu Ketua Agama Islam dan sememangnya beliau patut dimaklumkan oleh JAIS sebelum tindakan serbuan dibuat, begitu juga sepatutnya Kerajaan Negeri Selangot patut dimaklumkan.  Rakyat mesti taat kepada Sultan selaku Ketua Agama Islam, dan jangan lupa Sultan juga mesti hormati Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat.  

Rakyat memilih siapa layak mentadbir Negeri Selangor, maka hormati jugalah Kerajaan Negeri.  Sewajarnya Sultan juga tegur JAIS kerana JAIS tidak menghormati Kerajaan Negeri di bawah naungannya.


Khamis, 9 Januari 2014

KETUA AGAMA ISLAM MESTI TAAT PERINTAH AGAMA AGAR LEBIH DIHORMATI

APABILA kita dilantik menjadi Ketua di dalam apa jua organisasi, pertubuhan, persatuan mahupun kumpulan, sudah tentu kita dilihat yang terbaik dari yang lain.  Jika kita tidak sebaik mana pun, kita mesti dilihat baik jika kita bertanggungjawab sebagai seorang ketua.

Di alam persekolah Ketua Kelas atau Ketua Pengawas mesti terdiri dari murid yang baik, berdisiplin dan mempunyai kebijaksaan melebihi dari yang lain.  Ketua Kelas mestilah seorang yang taat kepada undang-undang dan peraturan sekolah, menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain di samping mempunyai tugas mencegah atau mengambil tindakan kepada murid-murid yang melanggar peraturan atau disiplin sekolah.   Jika di sekolah, merokok merupakan satu kesalahan, Ketua Kelas mahu Ketua Pengawas ini semestinya tidak merokok, melarang murid-murid lain merokok atau mengambil tindakan kepada murid-murid yang merokok dengan membuat laporan kepada guru disiplin sekolah.

Di alam tentera juga ada ketua yang dilantik.  Aku mengambil contoh perbarisan kawad.  Di dalam perbarisan kawad kaki umpamanya, akan ada seorang yang berada di hadapan sekali yang dipanggil Ketua Perbarisan.  Ketua Perbarisan mestilah seorang yang bukan saja segak tubuh badan, tetapi mempunyai disiplin yang tinggi, kemas di dalam pemakaian dan tegas.  Jika di dalam perbarisan kawad, anggota perbarisan mestilah berbaju kemas, kasut berkilat, rambut pendek dan sebagainya, maka Ketua Perbarisan mestilah terbaik dari lain-lain anggota.  Ini penting untuk beliau menegur anggota-anggota lain yang tidak berpakaian dengan kemas.

Kelantan bertuah memiliki Sultan (Ketua Agama Islam) yang boleh dijadikan ikutan oleh umat Islam di Kelantan
Di negara kita ada Raja-Raja atau Sultan adalah Ketua Agama Islam.  Ertinya, Ketua Agama mestilah orang yang taat kepada ajaran Islam.  Meskipun di dalam hal ehwal pentadbiran atau hukum-hakam Islam dilaksanakan oleh Jabatan Agama atau Majlis Agama mahupun Mufti, namun jawatan Ketua Agama Islam itu mestilah dipelihara dengan baik.  Sekiranya hukum Islam mengharamkan judi atau arak, Ketua Agama bukan sahaja menentukan dirinya tidak terlibat di dalam berjudi mahupun minum arak, malahan mesti menegur atau mengambil tindakan kepada rakyat yang berugama Islam di bawah naungannya sekiranya mereka meminum arak.  Tentulah tidak lojik sekiranya Ketua Agama Islam itu sendiri meminum arak, berjudi atau terlibat dengan aktiviti maksiat.

Sekiranya semua pihak boleh berperanan dengan sewajarnya dan bertanggungjawab dengan jawatan yang disandang, sudah tentu kedudukan mereka akan dipandang tinggi oleh orang lain.  Sebaliknya jika mereka sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik, tidak hairanlah kedudukan mereka sentiasa diperlekehkan. 

Rabu, 8 Januari 2014

BUGHAH - ANTARA NASIHAT, IJTIHAD DAN PENIPU

ISU "Bughah" masih hebat diperdebatkan.  Bermula dengan Harussani mendakwa peserta himpunan Dataran Merdeka pada 31 hb Dis tahun lalu yang membantah kenaikan harga barang oleh rejim pemerintah sebagai "Bunghah" atau penderhaka yang 'halal' darah mereka (boleh dibunuh), sehingga kini tidak ramai Ulamak tampil menyokong Harussani.

Seorang Ustaz yang amat dikenali kerana melibatkan diri dengan isu Mat Sabu dituduh Syiah, ustaz ini menganggap Harussani boleh berhukum dengan "Ijtihad".  Negara ini mempunyai ramai Ulamak sehingga ada Persatuan Ulamak, negara ini ada Pusat Islam, JAKIM, YADIM, Para Mufti, Ahli Majlis Fatwa di setiap negeri, tetapi hanya kerana seorang Harussani ber'ijtihad' dengan kepala otaknya sendiri berpandukan media yang cukup hebat menfitnah, maka habis seluruh kepercayaan umat Islam bahkan hilang hormat rakyat kepada golongan setaraf Harussani.

Kerana nila setitik, nama Ulamak dan para Mufti tercemar.  Bayangkan seorang Mufti boleh memberi hukum sedemikian rupa sedangkan seluruh dunia tahu rakyat berhimpun secara aman tanpa senjata itu bertujuan untuk apa.  Harussani terasa malu untuk mengaku kesilapan, maka dipertahankannya hujah "gred D" beliau itu.  Tanda rasa malu itu jelas bila beliau tidak mahu dan takut untuk berdepan dengan Dewan Pemuda PAS Perak yang ingin bertemu beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang hukum "Bughah" itu.  Berani kerana benar, takut kerana salah".  Nabi kita tidak pernah mengajar kita apatah lagi seorang bergelar Ulamak untuk takut berhujah dengan hukumnya sendiri.

Bagaimana Harussani boleh diharapkan untuk berhujah dengan orang lain yang bukan dari ugama Islam untuk mempertahankan Islam, jika dengan sesama agama pun beliau tidak berani ke hadapan?  Di negara lain, Ulamak mereka tegas dengan hujah mereka bahkan sering kita lihat Ulamak Sunni berdebat atau berhujah dengan Ulamak Syiah.  Ulamak di sana berani berdebat dan berdailog dengan Paderi-Paderi Kristian.  Malangnya, Harussani berdepan dengan Pemuda PAS sahaja sudah 'surrender".  Beliau cuma hebat di TV3 suku dan Utusan meloya sahaja.

Seorang Mufti cuba membela Harussani.  Dikatakan kononnya Harussani tidak bermaksud 'membughahkan" rakyat berhimpun, Harussani cuma beri contoh dan peringatan, katanya.  Pembelaan mufti ini menambahkan lagi cerita-cerita lucu sebelum ini.  Contoh apa yang Harussani mahu berikan ?  Peringatan apa yang Harussani mahu peringatkan?  Contoh dan peringatan ini wujud setelah kejadian berlaku?  Mengapa sebelum Himpunan beliau tidak memberi peringatan tentang ciri-ciri Bughah?  Sepatutnya dilakukan lebih awal jika ingin memberi peringatan.  Itu pun setelah perhimpunan berjalan, tiada satu pun ciri-ciri Bughah yang didapati sewaktu perhimpunan.  Tetapi mengapa Harussani terus menghukum?

Adilkah kita menuduh seseorang itu berzina sedangkan beliau tidak melakukannya, tetapi bila terdesak kita memberi alasan "aku bukan tuduh, tetapi cuma ingatkan saja", sedangkan tuduhan telah kita buat?  Umpamanya, aku melihat Harussani minum di sebuah Restoren Cina.  Aku pun memberitahu orang ramai bahawa Harussani minum arak di Restoren Cina, sedangkan Harussani hanya minum susu 'lembu".  Maka, tentulah Harussani marah dengan tuduhan tersebut kerana beliau tidak minum arak walaupun di restoren Cina.  Maka, Harussani pun buat laporan Polis bahawa aku telah menfitnahnya.  

Oleh kerana aku tahu aku salah dan takut untuk diambil tindakan atas fitnah yang aku buat, maka aku pun gunakan kepala otak aku untuk melepaskan diri.  Aku pun berkata, "Aku tak tuduh dia minum arak, aku hanya memberi ingatan sahaja bahawa jangan minum arak...".  Walhal semua orang tahu aku telah menuduhnya minum arak.  Tidakkah bangsatnya aku?

Paling bangang sekali, ada pula balaci aku yang sokong aku.  Dia pun kata aku hanya lakukan "ijtihad" bahawa minum susu 'lembu' di kedai Cina itu seperti minum arak juga hukumnya.  Amat memalukan kita memiliki Harussani yang mempunyai ilmu serendah itu.

Selasa, 7 Januari 2014

SERAH ISU KALIMAH ALLAH PADA YANG BERHAK, KITA FOKUS DEDAHKAN PENIPUAN REJIM

FOKUS Kita kini haruslah kepadma permasalahan rakyat tak kira bangsa dan ugama, iaitu kos sara hidup yang tinggi dan sifat berpoya-poya pemimpin Umno.  Isu kalimah Allah, itu urusan mereka yang arif iaitu para-para Mufti dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan termasuk juga Ketua Agama di setiap negeri iaitu Sultan untuk menanganinya.

Rakyat di bawah jangan alpa dengan mainan licik Umno untuk hilangkan fokus kita terhadap isu kenaikan harga barang sekaligus membuktikan janji-janji Najib sebelum PRU 13 yang lalu terbukti bohong dan khianat.  Himpunan TURUN ke Dataran Merdeka pada 31 hb Dis yang lalu amat memalukan mereka kerana gagal menghalang rakyat turun berhimpun walaupun propaganda jahat dan jijik telah dimainkan.  

Usaha berterusan rejim untuk menghina rakyat bukan sahaja bermula sebelum perhimpunan, malahan setelah berjayanya himpunan tersebut ada tok peti memberi "fatwa murahan" melabelkan orang ramai yang berhimpun secara aman tanpa senjata untuk membantah kenaikan harga barang itu sebagai "Bughah" atau penderhaka yang darah mereka "halal" untuk dikorbankan.  Ertinya, tidak semua tok peti cerdik atau alim dalam bab agama apatah lagi yang berkelulusan Diploma sahaja. Rujukan tok peti ini adalah dari berita-berita media berlidah syaitan dan juga dari akhbar yang entah berapa kali kena saman kerana menfitnah.  Inilah kitab muktabar buat tok peti untuk menghukum dan beliau akui sendiri kenyataannya itu adalah mengikut "kefahaman"nya sendiri.  Ertikata lain, jika otaknya label diploma dan beku pula, maka tentulah hukum yang diberikan itu menjadi bahan ketawa orang ramai.  

Kita akan terus fokus kepada isu kenaikan harga barang.  kongsikan sebanyak mungkin maklumat dan fakta berkaitan isu ini di dalam FB atau blog kita agar rakyat tidak lalai dan leka dengan isu kalimah Allah yang mereka sendiri tidak pernah menunjukkan minat dengan hukum Allah.

Kita boleh sesekali jawab isu tersebut tetapi fokus utama kita kembali kepada isu kenaikan harga barang.  Percayalah, jika kita terus fokus isu ini mereka pasti akan lebih tertekan kerana mereka amat bimbang jika isu kenaikan harga barang ini kita lagu-lagukan setiap hari, akhirnya orang-orang Melayu miskin yang melambak di dalam Umno itu akan mula merasai mereka telah tertipu dengan pemimpin mereka sendiri.

Sehubungan itu, kita teruskan usaha kita menyedarkan rakyat bahawa rejim yang ada sekarang telah dan akan terus menghisap darah mereka tidak kira darah itu "halal" atau "haram".  

Sabtu, 4 Januari 2014

INGATAN BUAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR, SILA AWASI JAIS !!

ISU kalimah Allah dimainkan semula terutamanya di Selangor.  Salah satu cubaan untuk alih perhatian dari isu kenaikan harga barang dan tol, tambahan pula puluhan ribu rakyat telah pun tampil berhimpun di Dataran Merdeka baru-baru ini amat memalukan rejim yang kini tersepit.

Samada mereka yang menyokong atau membantah penggunaan Kalimah Allah digunakan oleh penganut Kristian, kesemua mereka turun ke Dataran Merdeka kerana fokus utama adalah untuk menunjukkan kepada rejim bahawa jangan cuba alih perhatian kepada perkara lain.  Isu Kalimah Allah rakyat faham benar "kang kali kong" rejim yang memerintah yang tidak serius langsung di dalam isu ini, jika tidak masakan ada undang-undang berbeza di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak berkaitan isu ini.  Itu tidak serius bahkan mempersendakan.
 
JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) nampaknya cuba mengulangi sejarah lalu di zaman Khusrin jadi Pengarah JAIS.  Serbuan dilakukan, rampasan kitab Bible dilakukan tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri Selangor.  Malahan boleh mereka jawab 'terlupa' mahu beritahu.  Apa tujuan mereka 'menyembunyikan' tindakan mereka itu dari Kerajaan Negeri Selangor?  Jika benar jujur, mengapa perlu 'berahsia'?  Tahukah JAIS jika berlaku apa-apa di antara penganut Kristian dan Umat Islam, Kerajaan Negeri mesti bertanggungjawab?  Waktu itu, JAIS akan menyorok kepala macam kura-kura.  Sejarah telah kita lihat akibat permainan seperti ini.
 
Kita bukan mahu mengatakan tindakan mereka itu betul atau sebaliknya, tetapi kita pertikaikan tindakan mereka yang langsung tidak menghormati Kerajaan Negeri.  Kita mahu beritahu Kerajaan Negeri Selangor, awasi tindakan JAIS ini.  Jangan sampai pisang berbuah dua kali. 


Jumaat, 3 Januari 2014

APABILA TOK PETI KEPALANYA TUMBUH TANDUK

AMAT malang sekali bila negara ini memiliki seorang tok peti yang hanya memikirkan perut sendiri dan anak beranaknya.  Sebab itu jangan pelik jika Brunei melangkah jauh ke hadapan meninggalkan kita di dalam melaksanakan Syariat Islam secara beransur-ansur walaupun negara itu merupakan negara terkaya, pemimpin dan rakyatnya hidup senang lenang.

Brunei negara kaya, pemimpinnya terkaya di dunia dan rakyatnya tidak merempat tetapi mereka cinta kepada hukum Allah.  Negara kita, pemimpin memang kaya anak beranak.  Rakyat bagaimana?  Di dalam keadaan rakyat meminta sedekah setahun sekali menadah tangan minta BR1M, kita masih lupa kepada Maha Pencipta.  Jika kita yang bangsat peminta sedekah dan sabsidi ini pun sudah lupa kepada Allah, malahan menentang golongan yang ingin memperjuangkan agama Allah, apatah lagi pemimpin yang kaya raya di atas sana.

Kita bukan Brunei.  Harga minyak kita pun jauh berbeza dari Brunei.  Brunei cuma ada minyak dan balak tetapi negara itu penuh keberkatan.  Di bumi kita apa yang kurang?  Di atas bumi, di bawah laut, di dalam tanah semuanya ada harta kekayaan yang Allah kurniakan.  Tetapi siapa yang membolot semua ini?  Sudahlah bolot hak milik Allah, rakyat ditipunya dan mereka menentang pula hukum Allah.  Rakyat pula sanggup diperbodohkan dulu, kini dan selamanya.

Apa tok peti buat di negara kita?  Bukan semua tok peti kemaruk mengampu seperti itu.  Cuma ada seekor dua saja yang sejak dulu tidak pernah kenyang mentekedarah.  Terbaru, tok peti yang kelaparan ini menyalak lagi dengan 'fatwa' yang cukup bodoh, lucu tetapi amat merbahaya.  Beliau menggelar rakyat yang membayar cukai tanpa senjata tanpa sembunyi-sembunyi dan turun aman berhimpun di Dataran Merdeka hanya untuk membantah kenaikan harga barang, tok peti ini cop sebagai 'Bughah' (penderhaka) yang darah mereka 'halal'.

Apakah tujuan tok peti ini sebut 'darah halal'?  Bukankah itu bermakna tok peti ini mahu rakyat yang berhimpun di Dataran Merdeka itu dibuat sesuatu oleh kerajaan ke atas mereka tanpa perlu rasa takut dosa kerana 'darah' mereka 'halal'?  

Alangkah jahat dan buruk perangai tok peti ini.  Tanpa nas dan dalil, tanpa hujah yang berlandaskan kebenaran melainkan bersumberkan kitab muktabarnya iaitu TV3 suku dan Utusan meloya, tok peti ini sanggup membiarkan kepalanya yang berkopiah itu tumbuh tanduk.


Khamis, 2 Januari 2014

NEGARAKU MALANG ADA TOK PETI PENGAMPU

MALANG sungguh nasib Tok Peti ini, angkara sikap mengampu yang berlebihan maka beliau dijadikan bahan cacian dan cemuhan orang ramai.  Bukan kita tak hormat tok peti, tapi jika tok peti pun sanggup jual agama demi perut nan buncit, terpaksa juga kita bertindak sedemikian.

Dimana nas dan dalilnya yang menyebut himpunan aman membantah kezaliman dan tindakan kejam menaikkan harga barang oleh pemerintah itu satu perbuatan "Bughah" atau penderhaka sehingga katanya halal darah mereka?  Jika himpunan konsert hiburan artis lelaki dan perempuan, penonton dicampur adukkan dengan hiburan yang melalaikan apatah lagi menggunakan wang rakyat berbelas juta hanya untuk hiburan sambut tahun baru, tentu ada nas dan dalil yang mengharamkannya.  Mungkin tok peti tidak jumpa nas fan dalil tersebut atau memang mata telah dibutakan oleh gaji dan elaun?

Tidak pelik jika Kerajaan Brunei lebih awal memikirkan soal Undang-Undang Islam atau Hudud berbanding kita.  Kita jauh ketinggalan kerana kita memiliki tok peti yang low class.  Tok peti kita hanya mahir bab haid dan nifas.

Brunei negara kaya, pemimpin terkaya di dunia dan rakyatnya hidup senang tetapi masih berusaha untuk laksanakan hukum hudud.  Negara kita banyak hutang, pemimpin kaya raya dan rakyatnya masih memerlukan BR1M untuk hidup, itu pun sudah lupakan Allah?  Usahkan mahu laksanakan hudud, mereka hina dan perlekeh lagi hukum tersebut.  


Rabu, 1 Januari 2014

TAHNIAH, KITA BERJAYA BUKTIKAN KEBODOHAN MEREKA

SYABAS rakyat Malaysia, tahniah kepada semua yang berani TURUN malam tadi di Dataran Merdeka untuk meraikan BLACK NEW YEAR 2014 bermulanya TR1M (Tindas Rakyat 1 Malaysia).

Secara lojiknya jika melihat kepada berbagai fitnah dan propaganda mereka untuk menggagalkan himpunan malam tadi, kehadiran lebih 10 ribu yang hadir mengikut jumlah yang dianggarkan oleh Malaysiakini dan Malaysian Insider, ianya satu kejayaan yang besar buat kita kerana himpunan ini hanya dipromosikan melalui media facebook atau blog sahaja di dalam tempoh tidak sampai sebulan.  Tidak seperti himpunan BERSIH yang kebiasaannya dipromosikan berbulan lamanya dengan Road Show di seluruh negeri.  

Kali ini secara spontan rakyat bangkit malahan kita tidak tahu siapa sebenarnya penganjur himpunan malam tadi, apa yang rakyat tahu kita akan berhimpun membantah kenaikan harga barang yang telah dan akan dilakukan oleh rejim 47% ini.  Berbagai fitnah dan tohmahan oleh sibangang dan tolol terbukti malam tadi.  Tiada letupan bom kecuali bunga api menyambut tahun baru.  Tiada sesiapa yang cedera terkena parang walaupun si bangang menyebut ada terjumpanya parang di lokasi.

Ini semua tidak memperbodohkan kita, sebaliknya mereka yang kini merasa begitu bodoh kerana dipergunakan oleh pemimpin politik yang takut kehilangan kuasa.


Isnin, 30 Disember 2013

SEMAKIN HAMPIR 31 DISEMBER SEMAKIN BANYAK KISAH DONGENG DAN BODOH YANG KELUAR

SEMAKIN hampir hari yang dinantikan oleh tidak kurang 53%  rakyat Malaysia iaitu tarikh 31 hb Disember 2013 ini, semakin melambak cerita bodoh lagi kelakar muncul.  Sudah tentunya cerita bodoh ini datangnya dari orang yang sama pemikiran dengan jalan ceritanya.  

Cerita terbaru adalah kisah bom dipasang di Dataran Merdeka.  Si pemasang bom ini kononnya akan mengajak orang ramai berhimpun untuk guling kerajaan.  Ertinya, kerajaan akan terguling serentak dengan kematian puluhan ribu orang yang berhimpun di Dataran pada malam itu akibat terkena bom.  Kahkahkah....

Sebelum itu, Rafizi disoal siasat kerana ada email yang dihantar kepadanya mengisahkan tentang pemasangan bom di Dataran Merdeka.  Rafizi hanya penerima email yang beliau sendiri tidak tahu menahu pun siapa pengirimnya dan apa tujuan email itu, tetapi Rafizi ditahan dan disoal siasat awal lagi.  Si pengirim?  Lojiknya si pengirim akan diburu dan disiasat kerana ini kes serius.  Kes bom ini amat serius kecuali bom C4 yang membunuh Altantuya mungkin tidak serius sangat.

Kisah karut marut ini bermula bukan saja sewaktu cadangan rakyat untuk berhimpun membantah kenaikan harga barang, tetapi telah bermula sebaik saja Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden PAS dan Mat Sabu berikrar akan pimpin rakyat untuk berhimpun secara besar-besaran tahun depan bagi membantah banyak perkara yang tidak masuk akal oleh kerajaan 47%.

Sebelum itu PAS dituduh sesat, kemudiannya Wahabi dan Syiah pula.  Mat Sabu pernah dituduh Komunis sewaktu isu Mat Indera.  Kemudian Mat Sabu dituduh Syiah.  Semenjak bila Komunis ada kaitan dengan Syiah?  Kahkahkah....

Mat Sabu tidak mengaku beliau penganut fahaman Syiah.  Ada seorang di Kedah secara terang, jelas dan terbuka mengaku sebagai Ketua Syiah.  Tidak pula orang yang mengaku ini ditahan atau disiasat, sebaliknya Mat Sabu yang tidak mengaku Syiah pula disibukkannya.  Maka dibawa sepuluh bukti kononnya Mat Sabu Syiah, malangnya kesemua bukti tersebut menjadi bahan lawak antarabangsa.  Kahkahkah...

Bila sudah terasa dimalukan, mereka tepis bukti-bukti yang mereka bawa itu dengan mendakwa itu bukti Greb B.  Mereka ada bukti Gred A, katanya.  Kahkahkah...

Bila rakyat bertanya mana bukti-bukti Gred A itu?  Mereka jawab, Mat Sabu kena tunjukkan bukti bahawa beliau bukan Syiah.  Kahkahkah....lagi lawak dan bodoh campor bengap.  Mereka tuduh Mat Sabu, Mat Sabu pula kena tunjuk bukti.  Pelik bin ajaib undang-undang mereka pakai.  Negara yang tak bertamaddun pun tak pakai undang-undang bangang seperti itu.  Usahkan ikut undang-undang Islam, ikut undang-undang sekular pun mereka gagal nak patuh.

Jelas kepada kita, kesemuanya ini adalah untuk memperbodohkan rakyat.  Cukuplah kita memandang saja kelakuan jijik mereka itu.  Kita patut turun ke Dataran Merdeka pada 31hb Disember ini hanya dengan niat untuk memberitahu mereka bahawa rakyat tidak sebodoh yang kamu jangkakan. 


Ahad, 29 Disember 2013

PROPAGANDA GAGALKAN HIMPUNAN 31 DIS MERUPAKAN PROMOSI PERCUMA

TERIMA kasih media pengampu.  Terima kasih pemimpin pengampu dan bengap termasuk dari pihak berkuasa yang giat menjalankan promosi dan propaganda murahan tentang himpunan di Dataran Merdeka pada 31 hb Dis ini nanti.  Thema propaganda murahan mereka adalah 'guling kerajaan", mereka yang cipta kemudian mereka ingin bertindak ke atas orang lain.

Tidak kira berapa banyak propaganda yang ingin mereka lakukan, hikmahnya rakyat tahu bahawa pada 31hb Dis ini di Dataran Merdeka mulai jam 10.00 malam ada perhimpunan.  Itu yang penting yang mereka telah bantu kerja kita untuk promosikan.  Rakyat tidak sebodoh yang mereka sangka, jika ada yang bodoh pun tidak lebih dari 47% sahaja malahan mungkin jauh berkurangan kerana di dalam 47% itu pun sudah ramai yang sedar betapa mereka selama ini tertipu terang-terangan dengan janji-janji Najib.

Oleh itu jangan pelik di antara yang hadir ke Dataran Merdeka nanti ramai di kalangan 47 % ini.  Rakyat tidak makan dengan isu seperti fitnah seks, komunis, Wahabi dan terbaru Syiah.  Rakyat fikir apa kaitan isu bodoh tersebut dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup mereka?  Apa kaitan Mat Sabu Syiah dengan kenaikan takrif letrik dan Tol?  Jika Mat Sabu Syiah sekalipun, pemimpin 'Syiah' ini tidak merompak kekayaan negara ini dan bermewah anak beranak.  Anak siapa yang beli rumah RM 7 Juta kononnya untuk dihadiahkan kepada ibunya?  Anak siapa yang beli kondo RM 110 Juta di luar negara?  Keluarga siapa yang bela lembu dalam kondo?  Kesemua itu kerja Syiah kah atau Ahli Sunnah Waljamaah yang korup?

Sehubungan itu, mahu tidak mahu rakyat kena turun pada 31hb Dis ini.  Lupakan soal guling kerajaan kerana kerajaan 47% itu amat lemah dan tidak perlu untuk digulingkan.  Mereka akan terguling dengan kelemahan mereka sendiri.  Yang penting, rakyat harus berani ke hadapan untuk mengubah nasib masing-masing.  Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang sehingga kita sendiri mengubah nasib kita.