RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Jumaat, 30 Oktober 2015

TIDAK SALAH JIKA DAP PUN MAHU UJI PENGARUH DI KAWASAN PAS

SEBELUM ini kita diberitahu Pas mengugut akan bertanding di banyak Kerusi Dap untuk membuktikan bahawa parti itu boleh mendapatkan sokongan masyarakat kaum Cina.  Bahkan parti tersebut turut berhajat untuk bertanding di banyak Kerusi di Sabah dan Sarawak.  Itu hak parti tersebut, apatah lagi Pas masih belum berada di dalam Pakatan Harapan.

Apabila yang terkini Dap pula menyatakan bersedia untuk bertanding di 8 Kerusi Pas di Selangor, apakah itu pelik?  Kalau Pas terlebih dahulu bercita-cita untuk menguji pengaruhnya di kawasan Dap, tentulah adil jika Dap juga berhajat untuk menguji pengaruhnya di kawasan Pas.  Mengapa YB Dr Rani merasa gelisah?

Bijakkah masing-masing bersikap demikian?  Aku rasa tidak bijak sekiranya kita bercita-cita untuk berdepan dengan musuh yang satu iaitu Umno/Bn.  Kecuali jika kita merasa kita perlu bekerjasama dengan Umno/Bn untuk memberikan kemenangan mudah kepada rejim ini melalui perpecahan undi kita.  Sebab itulah betapa pentingnya wujud Pakatan Harapan yang mengharapkan semua parti yang tidak setuju dengan Umno/Bn itu bergabung dan berpakat.  Jika ini gagal difahami, maka tiada pilihan lain.

Seandainya Pas tidak bersedia untuk bersama PH, maka memang menjadi hak Pas untuk bertanding di mana-mana Kerusi, begitu juga dengan Dap.  Itu pilihan mereka.

KISAH MP - TOK USIN UG CEROI PUNYA CERITERA

 
ALAHAI TONTOWI....JATUH KEMALUANG GURU TOK CAMNI..

Tok dengar sidang Parlimen sebentar tadi. Lebih kurang jam 11.20 pagi, sampai kpd soalan no.7 kalau tak silap tentang Institusi kewangan asing (wakil Bintulu),

Maka MP Temerloh pun bangun mencelah untuk menunjukkan dia tak tidur dalam Parlimen. MP Temerloh timbulkan masalah dengan isu pekerja2 asing dan sumbernya beliau petik dari Bernama.

Speaker pun jawab, " YB...soalan tu tiada kaitan dengan Menteri...sekarang tajuk dia "Istitusi kewangan Asing". Ada beza "kewangan asing" dengan "pekerja asing".

MP Temerloh tiba2 bertukar hijau wajahnya tok tengok. Pastu pandang kiri kanan sambil sengeh2....

Tok rasa nak berguling ketawa...tapi bila terbayangkan siku dan lutut temerloh, tok tahan je la ketawa sampai terkentut2 tok dibuatnya. Patut le natang mamat selalu sebut dia tak percaya parti tok boleh mentadbir negara...usahkan nak jawab soalan, tanya soalan pun dah tak tau...

Bagi tok, takpe.....asalkan jgn angkat plakad.
 
Sumber:  FB Tok Usin UG Ceroi

Khamis, 29 Oktober 2015

PAKATAN HARAPAN MESTI WUJUD DI SEMUA NEGERI

TUBUHKAN segera Pakatan Harapan (PH) di setiap negeri samada negeri yang diperintah oleh Pembangkang atau tidak, kecuali Kelantan yang diperintah oleh Pas.  P.Pinang yang KM nya adalah dari Dap manakala Selangor yang MB nya adalah dari KEADILAN memang patut menjadi kerajaan Pakatan Harapan sekarang ini.

P.Pinang telah pun istihar negeri itu adalah Negeri PH.  KM P.Pinang tahu hasrat PH itu sendiri yang serius dengan objektif penubuhan PH.  Selangor masih bermain tarik tali dengan Pas, sedangkan di Kelantan kita pun tidak kisah atas nama apa kerajaan Kelantan kerana Kelantan di kuasai majoritinya oleh Pas.  Selangor memiliki 15 Adun Dap dan 13 Adun KEADILAN serta 2 Adun dari Amanah yang mewakili PH.  Pas memiliki 13 Adun sahaja. 1 Adun lagi adalah Bebas.  Ertinya, majoriti Adun Pembangkang PH di Selangor sudah cukup untuk menggambarkan Selangor dikuasai oleh PH.  Lojiknya, Selangor mesti diistiharkan sebagai Negeri PH.

Dikhabarkan telah pun keluar surat arahan dari KEADILAN Pusat kepada semua negeri termasuk Selangor mengarahkan Pengerusi MPN setiap negeri segera merealisasikan PH di negeri masing-masing.  Sehubungan itu, adalah menjadi kewajipan Pengerusi-Pengerusi MPN melaksanakan arahan tersebut yang mana telah diputuskan di dalam mesyuarat tertinggi KEADILAN Pusat.  KEADILAN mesti menunjukkan disiplin yang tinggi di dalam hal ini sekiranya mereka mahu ahli-ahli mereka juga berdisiplin terhadap parti.

Mewujudkan PH bukan bererti memusuhi Pas kerana PH masih berpegang kepada kenyataannya sebelum ini bahawa pintu sentiasa terbuka kepada Pas dan PSM samada ingin turut serta bersama PH atau tidak.  Terbaru, Pas telah nyatakan bersedia untuk bekerjasama dengan Umno/Bn.  Atas apa jua alasan sekalipun, ertinya Pas lebih awal buat keputusan untuk partinya.  Mengapa PH masih lagi terhegeh-hegeh untuk menentukan pendirian di setiap negeri?

Melihat kepada perkembangan mutakhir ini, amat penting sekali semua negeri mewujudkan PH secara resmi.  Tiada guna kita mengharapkan kepada parti lain untuk bersama kita sedangkan mereka tegas dan pantas telah membuat keputusan dengan siapa mereka lebih berselera.

Rabu, 21 Oktober 2015

ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH, SERIUSKAH?

MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak usul yang difailkan oleh Gerakan untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan tetapi telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Mac lalu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zaharah Ibrahim menolak permohonan itu atas alasan bahawa ketiga-tiga pemohon gagal untuk mendedahkan bagaimana undang-undang itu memberi kesan kepada mereka dan membuktikan sama ada mereka memang adalah beragama Islam.  "Saya sudah meneliti afidavit para pemohon dan tidak mendapati dalam afidavit, satu kenyataan bahawa hak mereka secara spesifik terjejas atau akan terjejas oleh undang-undang yang dicabar.  "Oleh itu, usul itu ditolak dengan tiada perintah tentang kos," katanya.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana hukum Islam ini tidak dipermainkan hatta di mahkamah sekalipun.  RUU berkenaan pastinya akan dibawa oleh Hj Hadi, Presiden Pas di dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang kerana tiada lagi halangan seperti yang beliau perkatakan sebelum ini.  Samada Speaker menerimanya untuk memasukkan RUU tersebut sebagai perkara utama atau tidak, itulah risiko yang terpaksa dihadapi apabila kita mengharapkan pihak yang tidak pernah berhajat kepada undang-undang Islam.
Seandainya dibahaskan juga, tidak mudah pula untuk melaksanakannya kerana kita tahu pendirian Umno, MCA, Gerakan atau Bn keseluruhannya terhadap hukum ini.  Bagi PH tentunya kita tetap berpegang kepada pendirian asal iaitu perjuangan kita melangkau dari yang ingin diperjuangkan oleh Pas.  Bagi PH, Islam itu syumul dan kebajikan serta keadilan Islam itu mestilah dipraktikkan agar menampakkan bahawa Islam bukan hanya sekadar ugama menghukum.
Tiada jalan lain untuk melaksanakan perintah Allah di dalam konsep bernegara selain dari menjatuhkan rejim terlebih dahulu.  Tidak masuk akal langsung jika kita mengharapkan rejim zalim untuk membantu kita melaksanakan hukum Allah sedangkan rejim berkenaan berterusan melanggar hukum Allah.  Tidak sedikit pun menampakkan rejim yang ada ini menunjukkan sikap ingin berubah. 
Tumpuan sekarang mestilah kepada usaha untuk menjatuhkan rejim melalui sistem yang sah di negara ini.  Rakyat sedang menderita untuk hidup di negara ini dengan berbagai masalah yang dihadapi.  Ekonomi semakin hancur, rakyat semakin susah dengan kos sara hidup yang tinggi.  Wajib kita ambil-alih kerajaan yang menyusahkan seperti ini.  Menang di Putrajaya dengan nawaitu untuk melakukan kebaikan serta melaksanakan kebajikan kepada rakyat, itulah kemenangan yang Allah redhai.  Kita mahu menang dengan redha Allah. 

Isnin, 19 Oktober 2015

JELAJAH PAKATAN HARAPAN MENERUSKAN HARAPAN RAKYAT


TERUS mara.  Itulah Pakatan Harapan (PH) terdiri dari KEADILAN, Dap dan Amanah, satu gabungan Pembangkang yang tidak pernah undur dari perjuangan menentang rejim.  Bersama Amanah, satu parti yang baru diwujudkan bagi mengambil tempat Pas yang masih belum bersedia untuk bersama gerakan ini.

Meskipun PH akan meneruskan kemaraan, namun Pas dan mana-mana parti yang ingin bersama merasai pahit maung perjuangan ini akan tetap dinantikan.  Hidup mesti diteruskan.  Jelajah PH telah pun bermula di Johor baru-baru ini.  Sambutannya amat menggalakkan.  PH bukan mensasarkan satu-satu golongan kaum atau agama sahaja.  PH adalah parti yang didokong oleh semua rakyat Malaysia yang mahu menamatkan rejim yang memerintah sekarang.  Amat malang sekali jika ada mana-mana pihak yang tidak mahu melibatkan diri bersama gerakan ini atau memilih jalan mudah, selesa atau memikirkan kepentingan masing-masing semata.

Awal November ini, Jelajah PH akan sampai ke bumi Tok Gajah, Pahang.  Lokasi pilihan PH di Pahang adalah di Temerloh.  Tarikh dan lokasi sebenar akan dimaklumkan kemudian.  Di dalam sejarah Jelajah Merdeka Rakyat sebelum PRU13 yang lalu, sambutan rakyat di Pahang kepada Pakatan Rakyat (PR) waktu itu tidak mengecewakan.  Apakah kali ini PH akan terus diyakini oleh rakyat Pahang bagi meneruskan perjuangan mereka?

WAKIL AMANAH PATUT DIBERI TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB DI NEGERI

APABILA tertubuhnya Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat hasil perbincangan Meja Bulat yang lalu, maka mahu tidak mahu ianya mestilah direalisasikan di semua peringkat.  Merealisasikan PH bukan membawa maksud 'membuang' Pas kerana keputusan PH setakat hari ini adalah PH masih terbuka untuk menerima Pas dan PSM atau mana-mana pihak yang ingin bersama PH.


Merealisasikan PH adalah membawa kesemua yang berada di dalam PH berganding bahu di setiap negeri.  Langkah pertama telah pun bermula di mana program Jelajah PH kini sedang bergerak dari satu negeri ke satu negeri.  Tentunya belum mencukupi, PH haruslah direalisasikan melalui pentadbiran di negeri-negeri yang kita kuasai seperti di Selangor dan P.Pinang.

Seperti yang disebutkan awal tadi, bukan bererti PH membuang kesemua penglibatan Pas di semua negeri berkenaan.  Wakil Pas boleh terus berada bersama selagi PH masih membuka pintu atau Pas masih belum berani buat keputusan untuk keluar dari bekerjasama.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah melibatkan wakil Amanah, salah satu parti utama yang berada di dalam PH untuk berganding bahu di bawah kerajaan negeri yang kita kuasai.  Tentulah tidak adil jika Amanah tidak diberi tanggungjawab bersama mengurus dan mentadbir negeri.  Di Selangor, terdapat dua Adun dari Amanah yang boleh diambil untuk diberi tugas dan tanggungjawab bersama.  Wakil dari parti tersebut juga haruslah diserap ke dalam mana-mana syarikat GLC di Selangor dan juga dilantik di dalam Ahli Majlis.  Begitu juga hendaknya di P.Pinang yang dikatakan telah mula mengorak langkah tersebut.

Menyerapkan wakil Amanah tanpa menolak wakil Pas adalah salah satu kaedah terbaik bagi menunjukkan keadilan di dalam PH.  Semoga cara ini dapat direalisasikan secepat mungkin.

Rabu, 14 Oktober 2015

KEADILAN PERLU JAUHKAN DIRI DARI PERKASA, ELAKKAN DIRI DARI MENJADI BODOH

PERKASA hakikatnya telah lama ditolak oleh rakyat, bukan sahaja dari kaum Melayu tetapi ditolak secara total oleh bukan Melayu.  Bila sebut Perkasa, terbayang kepada mereka 'rasis' yang terlampau.  Ini yang dirasai oleh kaum bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.

Bagi kaum Melayu pula, jika mereka rasa mereka sayang sangat kepada Melayu, Perkasa bukan tempatnya.  Mereka ada Umno. Sejarah Umno dulunya tidak menjadi musuh kepada mana-mana kaum.  Sekarang ini kaum bukan Melayu tidak lagi yakin dengan Umno bukan kerana kaum Melayu tetapi Umno mentadbir negara selaku tunjang Kerajaan Bn sekarang mentadbir dengan secara amat tidak telus.  Sikap Umno yang memelihara kroni itu menjadi puncanya.

KEADILAN sudah lama menjauhkan diri dari Perkasa.  Kita melihat Perkasa hanya sebagai ejen Umno untuk menjatuhkan KEADILAN terutamanya kerana Umno paling takut dengan KEADILAN berbanding parti Pembangkang yang lain.  Sebab itu tidak mustahil apa jua program KEADILAN terutamanya program ceramah yang dihadiri oleh DS Anwar Ibrahim malahan oleh anaknya Nurul Izzah pun sering cuba diganggu oleh Perkasa.  Begitu juga program Pas, contohnya program Mat Sabu di Rembau dulu cuba digempur oleh puak-puak ini.  

Usah bicara tentang perangai Presiden Perkasa, Ibrahim Ali.  Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah bersangka baik kepada raja katak ini dengan meletakkan beliau sebagai calon Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan logo Pas.  Apabila beliau menang saja, Ibrahim Ali lupa segala-galanya.  Beliau rasa beliau dipilih oleh pengundi di Pasir Mas atas kehebatan dirinya.  Ibrahim Ali dicop pengkhianat oleh Almarhum Tok Guru.  Bahkan, sehingga Almarhum Tok Guru baru saja disemadikan, Ibrahim Ali terus merendah-rendahkan keperibadian Almarhum.  Statusnya di dalam FB yang menghina Almarhum Tok Guru selepas kematiannya mendapat cemuhan dari orang ramai sehingga memaksa beliau membuang status tersebut.  Sehingga kini Ibrahim tidak pernah memohon maaf kepada waris Almarhum Tok Guru.  Itulah Ibrahim Ali.

Sehubungan itu, KEADILAN seharusnya menjauhkan diri dari Perkasa.  Kata-kata fitnah jijik Ibrahim Ali terhadap DS Anwar Ibrahim masih kita ingat.  Beliau mengeji DS Anwar Ibrahim bahkan beliau orang paling kuat berdoa dan bersyukur apabila DS Anwar dipenjarakan semula.  Seandainya KEADILAN lupa akan semua ini dan cuba untuk berpeluk mesra dengan Perkasa, itulah sejarah KEADILAN yang paling bodoh. 


Isnin, 12 Oktober 2015

PAS DAN PSM DITAWAR UNTUK SERTAI RAKYAT MARHAEN MELAWAN REJIM

MPP KEADILAN telah pun bermesyuarat petang semalam dengan mengekalkan 'Status Quo' yang diputuskan oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan PH terdiri dari KEADILAN, Dap dan Amanah di samping masih terbuka untuk Pas dan PSM menyertai gabungan ini.

Bezanya, di dalam rundingan Meja Bulat baru-baru ini nama PSM seolah-olah tidak disebut secara khusus, tetapi MPP petang semalam menyebutnya secara khusus iaitu mempelawa Pas dan PSM bersama.  Itu keputusan MPP petang semalam.  Sebelum ini, PH pun tidak menyekat Pas dan mana-mana parti politik untuk menyertai PH asalkan sanggup terima terma yang dipersetujui bersama di dalam PH.  

Parti yang dikatakan paling 'bermusuh' dengan Pas iaitu Dap dan kemudiannya Amanah yang dianggap pengkhianat oleh Pas, masing-masing berfikiran terbuka untuk menerima kehadiran Pas di dalam PH.  Malangnya, sehingga kini Pas belum menunjukkan minat untuk bersama PH.  Pas lebih berminat untuk bekerjasama dengan KEADILAN, itu pun di dalam konteks Selangor yang nampaknya lebih jelas.  Kita sedia maklum, Selangor di bawah Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang mempunyai hak untuk membentuk kabinet Kerajaan Negeri Selangor sudah tentulah banyak memberi keuntungan kepada Pas sekiranya Pas kekal bekerjasama dengan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Keputusan MPP petang semalam menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dibawa oleh Kak Wan selaku Presiden KEADILAN dan disokong kuat oleh Rafizi selaku SUA KEADILAN dan Saifuddin Nasution untuk mengekalkan PH sebagai pengganti Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya.  Khabar-khabar angin yang menyebut PH akan dibantutkan perjalanannya melalui mesyuarat MPP petang semalam ternyata tidak benar.  Jika ada pun sekelumit idea untuk berbuat demikian, pastinya akan ditolak majoriti di dalam MPP kerana masing-masing faham betapa pentingnya PH itu wujud sekarang ini.

Aku telah menulis sebelum ini tentang kekhuatiran terhentinya PH sekiranya ada yang mahu korbankan PH hanya kerana Pas.  Ternyata kekhuatiran aku tersasar.  Apakah kita boleh berpuashati dengan keputusan MPP semalam?  Jika tanya aku, aku merasa lega kerana PH terus dipertahankan, Kak Wan terus dapat sokongan dan tiada yang 'terkorban' hanya kerana pertahankan PH.  Itu yang utama yang pada aku amat berjaya.  Jika puak-puak yang ingin melihat PH gagal, ternyata mereka kecewa semalam.

KEADILAN telah 'upgrade' semula pelawaan kepada Pas dan PSM.  Ertinya, tiada lagi tuduhan yang boleh menyatakan mengapa Pas dan PSM tidak dijemput.  Sekarang, bola di kaki Pas dan PSM.  Aku rasa PH tetap berlapang dada jika akhirnya Pas menyedari bahawa terlalu banyak masa terbuang untuk bersengketa sesama sendiri berbanding dengan melawan rejim.  Pas harus terima hakikat bahawa ada agenda yang lebih aula berbanding agenda lain, iaitu jatuhkan rejim dan bina satu kerajaan yang lebih baik dari yang ada.  



Ahad, 11 Oktober 2015

MESYUARAT MPP MALAM INI - USAH BICARA SOAL PERJUANGAN JIKA TAKUT HADAPI RISIKO!!

BENARKAH Parti KEADILAN kini telah mula dipermainkan oleh Pas?  Apakah mesyuarat khas MPP malam ini adalah salah satu dari tanda bahawa KEADILAN sanggup berbuat apa saja demi mengikut kehendak Pas?  Oleh kerana Pas tiada di dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), maka KEADILAN terpaksa membuat petisyen untuk menentukan KEADILAN menanti Pas?

Jika benar, aku tidak faham mengapa petisyen perlu dibuat hanya kerana PH tidak menyenaraikan Pas sedangkan semua tahu KEADILAN, Dap dan Amanah bersedia untuk menerima Pas bersama di dalam satu gabungan, namun Pas memilih untuk mencipta berbagai alasan agar parti itu tidak dikotori dengan 'najis' Dap dan Amanah.  Bagi Pas, hanya KEADILAN sahaja yang 'suci bersih' yang boleh mereka buat kawan walaupun sebelum ini bermacam-macam mereka perkatakan tentang Keadian.  Kita tahu layanan Presiden Pas terhadap Anwar.  Kita juga tahu apa Presiden Pas katakan terhadap Kak Wan selaku Presiden KEADILAN.  Semua tahu kisah fitnah edar pil kuda yang dilakukan oleh Presiden Pas terhadap calon-calon KEADILAN, cuma nama tidak disebut kerana takut disaman dan juga kerana tiada bukti atau saksi.  

Apa pun yang Presiden Pas atau beberapa pimpinan wala perkatakan kepada KEADILAN, Dap dan Amanah, namun demi rakyat dan negara ini kita masih bersedia untuk terima Pas.  Maka, tawaran menyertai PH dibuat juga kepada Pas.  Oleh kerana Pas merasakan partinya kuat bersendirian sepertimana yang sering pimpinan mereka laungkan, maka Pas tidak mahu terlibat di dalam PH.   Tetapi, mengapa Pas di Selangor membisu?  

Adakah Pas di Selangor sudah hilang 'wala'nya terhadap kata-kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Mahfodz yang ada menyebut Pas akan tarik diri dari bekerjasama dengan KEADILAN termasuk di Selangor?  Apakah kita lupa amaran dari Pas sebelum ini bahawa jika KEADILAN berkawan dengan Amanah, maka Pas akan putuskan hubungan dengan KEADILAN di Selangor?  Mengapa Pas masih lagi buat selamba di Selangor?  Sewajarnya sebuah parti Islam sikap istiqomah mesti ada dengan sebarang tindakan dan kata-kata.  Apakah kerana KEADILAN menjadi MB Selangor maka menyebabkan beberapa pimpinan Pas di Selangor yang duduk di kerusi empuk Exco dan memegang jawatan di dalam GLC Selangor hilang 'Wala'nya?   Bayangkan jika bukan dari KEADILAN kerusi MB Selangor, adakah anda yakin Pas akan menunggu seperti sekarang?

Kepada KEADILAN, kita telah cari jalan sebaiknya iaitu menjadikan semua sebagai kawan atas asas melawan rejim itu lebih utama.  Tetapi di dalam berkawan, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk bersama kita.  Kita patut boleh membaca kawan-kawan yang mana ikhlas berkawan dengan kita kerana hanya "tentera-tentera" yang ikhlas, jujur dan istiqomah melawan rejim sahaja yang boleh menjatuhkan rejim ini.  Kita tidak perlu bergaduh sesama kita hanya kerana ingin membela orang yang tidak pernah suka kepada kita sebenarnya.

Keputusan Mesyuarat MPP malam ini aku yakin, KEADILAN sudah matang membuat keputusan.  KEADILAN mesti berani buat keputusan demi rakyat.  USAH BICARA SOAL PERJUANGAN JIKA TAKUT HADAPI RISIKO.




Jumaat, 9 Oktober 2015

DEMI RAKYAT, KEMBALIKAN SEMULA SEMANGAT BARU PAKATAN DENGAN MENERIMA ADIK BONGSU BARU "AMANAH"

SERING kita mendengar persoalan dari beberapa pimpinan Pas bahawa sekiranya Amanah bertanding di dalam PRU 14 akan datang, parti yang dibidani oleh Mat Sabu itu mahu bertanding di kawasan mana?

Pas sudah beri amaran awal-awal bahawa parti itu tidak akan memberikan Kerusi kepada Amanah, bahkan parti itu bersedia pula untuk bertanding di Kerusi Dap.  Ertinya, Pas mahu cari Kerusi sebanyak mungkin maka mana lojik Pas mahu "sedekah" Kerusi kepada musuhnya, Amanah?  Baru-baru ini pun, Ketua Dewan Ulamak Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mahfodz berkata bahawa Pas bersedia untuk bertanding di semua Kerusi di Johor.  Adakah Kerusi KEADILAN juga akan dilibatkan?  Terpulang.

Kita semua tahu, Presiden Amanah, Mat Sabu berulangkali menyebut bahawa Amanah tidak fokus Kerusi bertanding buat masa ini.  Amanah kini sedang mempersiapkan jentera dan bala tenteranya untuk menyerang rejim bersama Pakatan Harapan.  Menyerang rejim tidak semestinya masuk bertanding di dalam Pilihanraya.  Sekiranya Amanah merasakan jenteranya sudah lengkap dengan bala tenteranya, waktu itu pastilah Amanah akan memikirkan strategi seterusnya termasuk kawasan-kawasan yang ingin ditandinginya.  Manakah kawasannya?  Itu pertanyaan Pas.

Itulah sebabnya Pakatan Harapan diwujudkan untuk menggabungkan semua parti Pembangkang yang merasakan rejim Umno/Bn wajib ditamatkan di dalam PRU 14 akan datang.  Malangnya, hanya KEADILAN, Dap dan Amanah sahaja yang sudi menawarkan diri di dalam gabungan pembangkang ini.  Melalui gabungan ini, tentulah ada cara dan kaedah dilakukan untuk menyusun pembahagian Kerusi sesama rakan sekutu.  Tapi, Pas tidak mahu dilibatkan dan hanya mengiktiraf KEADILAN sahaja sebagai rakannya, itu pun masih belum pasti jika kita melihat beberapa kenyataan beberapa pimpinan Pas sendiri.  Mursyidul Am Pas juga sering membayangkan Pas mungkin menarik diri dari bekerjasama dengan KEADILAN kerana parti yang diasaskan oleh DS Anwar ini berkawan dengan Dap dan Amanah.  Ketua Dewan Ulamak juga berfikiran sedemikian.  Ertinya, hubungan Pas dengan KEADILAN amat longgar.

Pas menyatakan jika Amanah bertanding di Kerusi Pas, ini bermakna Amanah sengaja memecahkan undi dan Amanah akan berikan kemenangan mudah kepada Umno/Bn.  Amanah ejen Umno/Bn, kata pimpinan Pas.  Amanah pula bertanya, Pas akan bertanding di Kerusi Dap dan Pas juga akan memecahkan undi para penyokong pembangkang, akhirnya tidakkah itu menguntungkan Bn?  Salahkah jika Amanah turut mendakwa Pas sebagai ejen Bn?   Nampaknya Pas selalu lupa apa yang parti itu buat tetapi selalu nampak bila orang lain buat.

Hakikatnya, ramai yang setuju Pakatan Harapan atau apa jua nama Pakatan itu sewajibnya dibarisi oleh KEADILAN, Pas, Dap dan Amanah bahkan jika perlu libatkan PSM sekali asalkan semuanya bertolak ansur atas beberapa perkara selagi ianya tidak menyalahi syarak.  Tidak bersetuju dengan pendekatan atau cara-cara melaksanakan Hudud itu tidak menyalahi Syarak.  Menolak secara total hukum tersebut itu jelas salah dan merosakkan akidah umat Islam.  Selagi ada jalan terbaik, sebaiknya eloklah berbincang dan berpakat.  

"Teknik bijak menjawab soalan peperiksaan, buatlah soalan yang mudah dahulu tetapi jangan tinggalkan semua soalan kerana semua soalan itu penting", pesan Guru Sekolah yang masih aku ingat.


Khamis, 8 Oktober 2015

NEGARA MENANTI PENGGANTI NAJIB , ANWAR 'COME BACK"

NAJIB tidak perlu lagi bertahan dengan kuasa.  Apabila sampai ke tahap institusi Raja pun sudah mula bersuara, tokoh-tokoh profesional, ahli-ahli perniagaan, apatah lagi tokoh-tokoh politik, dan paling jelas rakyat mahu Najib berundur, beliau tiada pilihan.  Samada Najib takut untuk bersara, beliau mesti turun dari pejabatnya di Putrajaya.

Rakyat tidak mempersoalkan sangat siapa akan menggantikannya, yang penting Najib kena turun.  Peluang telah diberikan kepadanya untuk menjadi PM yang paling tidak pun lebih baik sedikit dari Pak Lah.  Malangnya, Najib lebih teruk dari Pak Lah.  Negara merasa malu ada PM seperti Najib yang merupakan satu-satunya PM yang suka tabur wang tunai kepada rakyat melalui BRIM untuk mengatasi masalah rakyat.

Nama negara begitu tercemar di luar negara.  Tiada negara di luar sana yang tidak tahu isu 1 MDB atau wang RM 2.6 Bilion di dalam akaunnya.  Kisah pembunuhan Altantuya juga begitu hangat diperkatakan di dalam media-media asing.  Sehingga kini tiada siapa boleh menjawab bagaimana Sirul, salah seorang yang didapati bersalah terlibat di dalam pembunuhan Altantuya boleh berada di luar negara.  Siapa tahu, siapa yang arahkan Altantuya dibunuh dengan begitu kejam?  Tiada siapa yang tahu bahkan mahkamah juga tidak pernah diberitahu tentang itu.

Terlalu banyak yang boleh kita sebut sebagai bukti untuk menyatakan betapa pentingnya Najib turun dari takhta.  Jika kita benar-benar sayang kepada negara tercinta ini melebihi kasih sayang kita kepada Najib atau Rosmah, kita mesti bersedia untuk mendesak Najib dan Rosmah balik ke Pekan dan bersara.  Negara ini bukan ditentukan oleh rakyat atau ahli-ahli Umno di Pekan sahaja.  Jika Tun Mahathir yang terkenal dengan kezalimannya di penghujung pemerintahannya pun menyebut Najib zalim, adakah kita mahu katakan Najib adalah PM terbaik?

Siapa patut ganti Najib?  Jika ditanya kepada penyokong-penyokong Umno sekarang, sudah pasti masih ramai yang mahu Najib atas sebab-sebab ada kepentingan atau kejahilannya tentang berbagai isu di dalam negara ini.  Tidak kurang juga ada di antara mereka yang mahu Muhyiddin, mantan Timbalan Presiden Umno yang juga mantan TPM diangkat sebagai PM.  Bagi kami di dalam Pakatan Harapan, pilihan terbaik kami adalah DS Anwar Ibrahim dan kami yakin Anwar akan membuat 'come back'  secepat mungkin.