RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 16 Ogos 2014

TSKI UMPAMA "SEMBELIH AYAM CURI"

SAHKAH TSKI ini menjadi MB Selangor walaupun tak pernah dapat dia buktikan dia mempunyai cukup jumlah majoriti di dalam Dewan?  Ikut law, dia telah berjumpa Istana dan Istana percaya dan yakin TSKI punyai cukup majoriti berdasarkan mulut TSKI sendiri, maka sah lah.  

Memang tidak boleh dipertikaikan TSKI masih MB kerana dapat perkenan Istana.  Jika pertikai kita derhaka pula.  Cuma aku nak ingatkan TSKI bahawa kamu sedar kamu sebenarnya tidak layak jadi MB kerana tiada sokongan yang cukup.  Benar, untuk buat Mesyuarat Kerajaan Negeri memadai 4 orang Exco PAS yang ikut kamu sudah memadai.  Itu cerita buat mesyuarat, yang rakyat bertanya sekarang adalah kerajaan.  Apakah nama kerajaan kamu sekarang?  Mahu disebut kerajaan Bebas, hanya kamu seorang yang Bebas ibarat 'hantu tidak bertuan'.  Mahu dikatakan Umno, tiada wakil Umno di dalam Exco cuma 4 wakil PAS yang Wala' sahaja.  Wakil Umno cuma ada 12 orang.  

Hakikatnya yang majoriti adalah PR yang menjunjung demokrasi yang terdiri dari wakil PKR seramai 13 orang, DAP seramai 15 orang dan wakil PAS ada 2 orang (4 wakil PAS sokong Bebas dan 9 orang lagi wakil PAS masih menjadi 'orang atas pagar').  Majoriti yang terang-terang menolak kamu sejumlah 30 orang.  Jelas, faktanya kamu patut undur kerana tidak disokong.

Menjadi Imam perlu redho dari makmum.  Memang kamu bergelar Imam jika kamu dilantik oleh Majlis Ugama Islam, tetapi bila kamu menjadi Imam tanpa redho makmum tentu kamu tahu hukumnya.  Pelik bin ajaib nya, yang tahu hukum pun ada yang 'merestui' Imam kamu.  Sebab apa mereka restu?  Mungkin kamu lantik dia jadi Bilal atau Siak.

Persoalan yang aku mahu tanya, kamu tidak ragukah gaji dan elaun yang kamu terima itu termasuk segala kemudahan kerajaan yang kamu guna pakai itu 'halal' hasil dari 'pencurian' seperti ini?  Adakah berkat gaji dan elaun kamu?  Aku tidak tahu samada yang turut menyokong kamu itu halal atau tidak gaji dan elaun mereka sebab boleh dikatakan kesemua mereka lebih alim dari aku.  Masakan tidak tahu hukum.

Umpama kamu menyembelih seekor ayam yang kamu curi.  Ayam tetap sembelih tetapi itu ayam curi.  Seronokkah untuk memakannya?  Fikirkanlah!!

Jumaat, 15 Ogos 2014

AZIZAH ATAU AZMIN, SESIAPA SAJA LEBIH BAIK DARI KEKALKAN KHALID

MELEGAKAN.  Itu yang aku rasa apabila Presiden PKR,  DS Wan Azizah mengumumkan Pakatan Rakyat kembali mempunyai majoriti di DUN Selangor apabila dua orang ADUN PAS menyatakan sokongan kepadanya bagi menggantikan Menteri Besar, TS Khalid Ibrahim.



Dua Adun PAS tersebut, YB Hasnul Baharuddin (Morib) dan YB Saari Sungib (Hulu Kelang) menyatakan sokongan kepada DS Wan Azizah bersama-sama 15 Adun DAP dan 13 Adun PKR termasuk Pengerusi PKR Selangor, YB Azmin Ali.
 
Malang sedikit dan pelik banyak, apabila dua Adun Pas tersebut mungkin dikenakan tindakan kerana menyokong calon PKR, DS Wan Azizah walaupun PAS masih anggap PKR adalah rakan sekutunya.  Ini berbeza dengan empat lagi Adun PAS yang lebih awal menyokong TS Khalid walaupun TS Khalid tidak berparti (Bebas).  Di sinilah banyak kredibiliti PAS tercalar kerana memungkiri persefahaman di dalam PR .  Ramai yang melihat politik DAP lebih diyakini apabila PR di dalam suasana genting.

Malan tadi Lajnah Politik PAS bermesyuarat di mana keputusannya bahawa PAS tidak akan menuntut Kerusi MB Selangor kerana itu telah disepakat sebagai Kerusi PKR.  Cuma, SUA PAS, Sdr Mustafa Ali menyebut PAS tidak setuju dengan calon yang dicadangkan oleh PKR dan disokong juga oleh DAP beserta 30 Adun PR semalam iaitu DS Wan Azizah.  Alasannya, bukan sebab calon itu Wanita tetapi sebab lain yang dikatakan telah dimaklumkan kepada PKR sebelum ini.

Isu wanita atau lelaki, pada aku malas aku nak fikir lagi.  Cita-cita aku hanya satu, iaitu tidak mahu melihat TS Khalid terus jadi MB Selangor.  PAS mahu pertahankan TS Khalid walaupun sudah tidak bertuan, itu hak PAS.  Apa yang pasti, sekarang ini cita-cita aku semakin berjaya apabila terbukti TS Khalid tidak mempunyai majoriti di dalam Dun yang menyokongnya.  TS Khalid kata dia minta dibuktikan di dalam Dewan.  Adakah beliau tidak baca kenyataan media DS Wan Azizah yang secara jelas menyebut bahawa di antara permohonannya kepada Sultan adalah agar diadakan sidang Dun bagi membuat undi tidak percaya.  Jika TS Khalid ikhlas mahu melihat bukti dan tidak lagi bergayut bawah ketiak orang lain, sila bantu percepatkan Sidang Dun tersebut.

Waktu dia mengaku ada majoriti di hadapan Sultan baru-baru ini, ada dia sebut soal buktikan dalam Dewan?  Hanya bermodal air liur saja beliau mengaku terdapat majoriti, sedangkan sehingga kini beliau hanya ada 4 Exco yang terus 'wala' kepada beliau.  

Alhamdulillah, berkat "Solat Hajat Selamatkan Selangor" yang telah diadakan dirumahnya beberapa hari yang lalu, Allah telah makbulkan dan Selangor akan kehilangan MB yang mendapat sokongan kuat dan padu dari Amno dan TV3 suku.  Kita tidak akan bersekongkol dengan MB seperti ini, tidak tahulah atas apa dalil 4 Exco masih bergayut di sisi TS Khalid. 

Selepas ini, samada DS Wan Azizah atau Azmin atau sesiapa sahaja dari PKR yang bakal menjadi MB tidak lagi aku hiraukan.  Biarlah pimpinan PKR dan PR yang tentukan, asalkan TS Khalid gugur dan sedar bahawa jawatan MB Selangor itu bukan jawatan CEO atau kepunyaannya.  Ada hikmahnya, mungkin dapat memberi keinsafan kepada beliau bahawa sifat ego dan bongkak itu pasti tidak membawa ke mana-mana.  Pemimpin naik atas parti, turun pun atas kehendak parti dan parti berjuang juga atas kehendak rakyat.


Khamis, 14 Ogos 2014

KEPUTUSAN MESYUARAT AJK PAS PUSAT SUDAH 'BOCOR' SEBENARNYA?

SEPAKAT pertama, Kerusi MB Selangor diserahkan kepada PKR.  Itu yang diketahui sewaktu Mesyuarat Majlis Presiden PR yang telah diadakan kali pertama sejurus isu penukaran MB Selangor.  Waktu itu, Pas diwakili oleh Timbalan Presiden, Tuan Hj Mat Sabu beserta 5 orang lagi dari PAS jika tidak silap termasuk SUA Tn Hj Mustafa Ali, Naib Presiden Us Tn Ibrahim, AJK Pas Pusat dan juga Sdr Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda Pas Pusat.

Betul atau tidak PR sepakat dan memberi persetujuan bahawa Kerusi MB adalah untuk PKR?.  Cuma, calon yang dicadangkan oleh PKR iaitu Presidennya DS Wan Azizah itu saja yang masih belum dimuktamadkan oleh Pas dan DAP kerana masing-masing ingin membawa ke mesyuarat parti masing-masing terlebih dahulu.

Mungkin dalam perjalanan Mat Sabu pulang dari perjalanan, Tok Guru Presiden yang tidak hadir mesyuarat itu bersuara sebelum AJK Pas Pusat dan Majlis Syura bersidang dengan menyatakan Pas tetap akan menyokong TS Khalid sebagai MB Selangor atas alasan beliau tidak terlibat atau disabitkan dengan sebarang salah laku.  Ok, itu hak Pas dan kita wajib hormatinya.

Pas mengadakan Mesyuarat Majlis Syura iaitu badan tertinggi PAS serta merta agak ganjil kerana lazimnya Mesyuarat AJK Pas pusat dulu yang bermesyuarat kemudian akan dibawa ke badan tertinggi iaitu Majlis Syura untuk diputuskan.  Kali ini aku rasa agak pelik tetapi tidak usah dipertikaikan kerana Pas yang lebih arif tentang prosedur parti mereka.

Mesyuarat Majlis Syura membuat keputusan selari dengan Tok Guru Presiden.  Ertinya, menyokong TS Khalid dikekalkan sebagai MB atas alasan yang sama.  Manakala Mesyuarat AJK Pas Pusat pula asalnya mahu diadakan pada 10 ogos, kemudian ditunda pada 13 Ogos dan ditunda lagi ke 17 Ogos ini.  Aku sudah tidak fokus sangat lagi bila Mesyuarat AJK Pas Pusat akan bermesyuarat kerana keputusannya telah diketahui umum iaitu keputusan dari Majlis Syura yang telah bersidang awal.  Umpama pengadil telah meletakkan keputusan, maka para pemain masuk padang sekadar untuk panaskan badan.  Itu pun jika betul perumpamaan aku.  Jika tidak betul, ertinya keputusan Mesyuarat AJK Pas Pusat mungkin boleh mengubah keputusan Majlis Syura.  Boleh kah begitu?

Itu kita tidak perlu pertikai kerana itu juga urusan Pas.  Kita tidak tahu apakah di dalam mesyuarat pada 17 Ogos (jika tidak tangguh lagi) nanti semua AJK Pas Pusat hanya diberikan salinan keputusan Majlis Syura kemudian angguk dan balik.  Itu tidak pasti.  Itu semua urusan Pas yang sudah lebih 50 tahun pengalaman di dalam berpolitik dan tentunya bertambah baik perjalanan parti itu.

Apa yang mahu disebut, PKR dan DAP yang telah sepakat menyokong DS Wan Azizah sebagai MB Selangor tidak perlu mendesak jauh sekali memaksa PAS untuk membuat keputusan yang telah 'bocor' itu.  Apa yang patut dibuat, jangan ganggu proses yang akan Pas lakukan sebaliknya mesti bersedia dengan langkah seterusnya.  

Buat ahli-ahli PKR pula khasnya, kita mesti bersedia menerima apa saja keputusan dan arahan parti selagi tidak memaksa kita melakukan perkara-perkara yang menyalahi hukum agama.  Menukar pemimpin atas sebab-sebab tertentu atau disiplin bukan satu perkara keji atau maksiat.  Itu proses biasa, dan parti hanya perlu berunding dengan rakan-rakan PR sepertimana yang telah pun dilakukan itu.  Hak memecat ahli, itu hak parti dan ini semua mesti dihormati sesama PR.  Semua parti pernah pecat ahli masing-masing dan kita tak perlu soal jawab dengan banyak.  Parti tidak semudah dan sebodoh itu untuk pecat ahli apatah lagi ahli yang berjawatan tinggi seperti MB.  Tentu ada sebab musababnya. 

Kini, TS Khalid telah dipecat.  Beliau kini Bebas.   Bebas bukan dari PR.  Muafakat PR selama ini adalah menyokong sesama kita.  Apakah ianya berlaku sekarang?  Tidak.  Mengapa tidak?  Adakah kita sanggup khianat rakan?  Belum tentu khianat.  Habis tu, bagaimana kedudukan sekarang?  MB kini orang Bebas.  PR mahu sokong Bebas atau tidak?  PKR tidak sokong dan DAP tegas tidak sokong Bebas.  Bagaimana dengan PAS?  Tunggu 17 ogos....itu jawapannya.  Apa ada pada 17 Ogos?  Jawapannya ada pada keputusan Majlis Syura yang lalu sekiranya Pas tidak melakukan "U-Turn".  

Aku tetap yakin, sebagai sebuah parti Islam, mustahil Pas tergamak memungkiri persefahaman yang terjalin.  Sedangkan Nabi pun taat kepada perjanjian bila berurusan dengan puak kafir. 

Rabu, 13 Ogos 2014

INSAFLAH TSKI, JANGAN TINGGALKAN NAMA BURUK DI AKHIR POLITIK KAMU

JIKA ada lagi perasaan saling menghormati sesama rakan, sewajarnya 4 Exco Pas itu tidak bersama TSKI sebaik sahaja PKR pecat beliau dari parti.  Usah bicaralah apa pun alasannya, tetapi prinsip yang lebih utama adalah adakah wajar rakan di dalam Pakatan menyokong Bebas di dalam situasi ini?

Aku tidak percaya Pas sebagai Parti Islam akan bersetuju dengan kaedah melanggar persefahaman yang dimenterai bersama.  Memang benar, perkara yang menyalahi hukum tidak wajar Pas sokong.  Tetapi Pas kena buktikan dulu adakah tindakan PKR memecat TSKI atas sebab-sebab disiplin dan enggan mematuhi arahan parti itu menyalahi hukum?  

Apabila PKR diamkan saja alasan untuk memecat TSKI, ramai yang tertanya-tanya dan mencabar PKR agar dedahkan kenapa perlu pecat TSKI.  Apabila didedahkan, mereka salahkan PKR kerana aibkan TSKI.  

Bagi aku mudah.  Aku tidak melihat apa hujah Rafizi mahupun Saifuddin yang memberi fakta tentang mengapa TSKI ini dipecat.  Pada aku, biarlah mereka yang ada pengetahuan dan bukti selesaikan perkara itu samada benar atau tidak.  TSKI boleh saja jawab bila-bila masa walaupun diketahui beliau kerap kali diberi ruang untuk menjawabnya sebelum ini, tetapi beliau tidak gunakan ruang itu.  Beliau dikatakan tidak pernah berminat untuk hadir mesyuarat parti samada di peringkat MPN mahupun di Pusat.  Bagaimana parti boleh selesaikan masalah beliau jika beliau sendiri enggan menyelesaikannya?  Bagi aku, meskipun TSKI ini sebersih dan seputih salju, tetapi beliau harus hormat dan patuh kehendak parti jika parti merasakan beliau patut berundur.  Susahkah ingin berbuat demikian?

Jika anda boleh duduk di Kerusi MB, apakah tiada orang lain boleh diberi peluang untuk berada di tempat yang sama?  Apakah kerana Kak Wan menjadi masalah besar?  Apakah jika diletak Azmin maka TSKI sanggup berundur?  Aku rasa tidak.  Sesiapa pun yang dinamakan oleh parti untuk menggantikannya, beliau tetap akan berkeras juga.  Mengapa jadi begitu?  Kemudian dituduhnya orang lain yang gila kuasa.

Gila kuasakah Kak Wan yang pernah menjadi isteri seorang TPM selama bertahun-tahun?  Suaminya 7 tahun pegang kunci perbendaharaan negara selaku Menteri Kewangan, apa yang Kak Wan dapat?  Berapa banyak harta keluarga ini?  Lojikkah Kak Wan tamak wang Selangor sebanyak 2-3 bilion itu?

Insaflah TSKI.  Sampai bila mahu bergantung bawah ketiak beberapa kerat Adun Pas dan juga Istana?  Sayangilah Selangor.  Dulu parti beri kamu peluang dan sokong kamu, apakah ini balasan kamu?  Sepatutnya beliau letak jawatan dan mengukir nama sebagai pemimpin yang terbaik.  Malangnya, belum berakhir kerjaya politik beliau namanya sudah sebusuk bangkai angkara sifat ego dan bongkaknya.


Isnin, 11 Ogos 2014

LAGI SEBAB KENAPA TS KHALID WAJAR DIGANTI

KENAPA MB SELANGOR PERLU DIGANTI SEGERA

Saya terima nota ini melalui whatsapp. Saya dimaklum penulis ialah YDP PAS Kelana Jaya. Selepas membacanya, saya yakin bacaan dan aturan kronologi peristiwa yang saya fikir berdasarkan pengalaman bekerja sebagai Pegawai kepada Dato' Menteri Besar Selangor (2010-2012) adalah cocok dengan keterangan ini. Mungkin ramai tidak tahu beberapa langkah dalaman yang telah diambil oleh Keadilan sendiri berdasarkan aduan wakil-wakil rakyat dan aktivis setiap parti (bukan semua, tapi banyak). Tapi perkongsian tulisan ini saya percaya dapat membantu mendudukkan perkara sebenar di sebalik keinginan menukar TSKI.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) Tidak Menghormati PKR dan PR

Keputusan PKR untuk menggantikan TSKI bukanlah baru. Ketika PR menang dalam PRU-13, PKR telah meminta PAS dan DAP untuk memberi pertimbangan calon baru sebagai MB baru Selangor. PAS dan DAP Selangor telah berbincang dan bersetuju supaya TSKI disambung semula sebagai MB Selangor atas beberapa sebab:

Di bawah kepimpinan TSKI, PR Selangor telah berjaya mencapai kejayaan sangat cemerlang dalam PRU-13 dan kelihatan amat buruk di mata rakyat jika beliau ditamatkan serta merta walaupun PAS dan DAP Selangor memandang serius beberapa tindak tanduknya yang tidak selari dengan kehendak PR. Ketika itu PAS dan DAP Selangor berkeyakinan TSKI masih boleh diperbetulkan.

Tidak begitu selesa dengan calon pengganti MB iaitu Azmin Ali kerana walaupun Azmin adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, beliau jarang berinteraksi dengan PAS dan DAP Selangor. PR Selangor boleh dilihat seolah-olah ‘berpengerusikan’ TSKI kerana saban minggu bermesyuarat bersama beliau terutama setahun menjelang PRU-13.

Masih yakin bahawa TSKI boleh diperbaiki sikapnya. PAS dan DAP bersetuju walaupun TSKI disambung, prestasi beliau akan dikaji semula setahun selepas khidmatnya disambung.

PKR yang agak keberatan pada mulanya untuk menyambung khidmat TSKI sebagai MB Selangor akhirnya bersetuju dengan desakan PAS dan DAP dengan syarat akan dikaji semula prestasi beliau selepas 1 tahun. PAS Selangor juga telah mengingatkan TSKI berkali-kali supaya mesyuarat mingguan PR Selangor dijadikan forum untuk memperkukuhkan PR Selangor dan mencapai kata sepakat dalam merangka dasar-dasar kerajaan negeri. Kita juga telah mengingatkan beliau berkali-kali bahawa sokongan kepadanya adalah bersyarat dan jika tiada perubahan drastik kepada sikapnya yang suka m embelakangi arahan parti, PKR dan PR, maka sokongan terhadapnya akan ditarik balik.

Sikap TSKI yang membelakangi parti, PKR dan PR, bukanlah baru dan banyak berlaku ketika beliau menjadi MB di penggal pertama lagi. Sememangnya hal ini dimaklumi semua parti komponen PR. Beliau boleh dikatakan langsung tidak menghadiri mesyuarat MPN Selangor sejak Azmin Ali dilantik menjadi pengerusinya menggantikan beliau. Kadang-kadang dihantar Faekah (SETPOL MB) sebagai wakil ke mesyuarat. Arahan daripada MPN PKR Selangor tidak langsung diendahkannya. Malah arahan daripada PKR Pusat pun bukan semua dituruti. Antaranya berhubung status SETPOLnya, Faekah yang diarahkan supaya diberhentikan perkhidmatannya kerana membawa banyak masalah kepada parti telah tidak dipedulikannya untuk sekian lama. Faekah ini seolah-olah diberi pula lampu hijau oleh MB untuk terus membuat kenyataan-kenyataan terbuka menghentam kepimpinan tertinggi PKR hingga menyebabkan tercalar kredibiliti PKR termasuk Datuk Seri Anwar (DSAI) sendiri. Akhirnya Faekah bukan diberhentikan daripada jawatan SETPOL MB, malah ia dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Eksekuti Menteri Besar Incorporated (MBI), satu jawatan yang jauh lebih penting daripada SETPOL MB. Tindakan sebegini tentu amat memalukan PKR kerana Faekah ini telah dikenakan tindakan tatatertib oleh PKR.

Arahan supaya Saifuddin Nasution dilantik sebagai ‘Ketua Staf’ pejabat MB yang bertujuan untuk menasihati MB atas perkara-perkara melibatkan parti dan politik juga telah tidak dipatuhi dan sebaliknya beliau diberikan jawatan sebagai Pegawai Liason pejabat MB sahaja dan kemudiannya dituruntaraf ke Pegawai Pembangunan Desa. Itu pun terbengkalai begitu saja kerana tiada peruntukan dan kerangka kerja yang bersesuaian.

Beberapa arahan penting PR juga tidak patuhi oleh TSKI. Antaranya isu jawatankuasa yang dibentuk untuk menasihati beliau dalam menanggani aspek penstrukturan industri air Selangor. Majlis tertinggi PR telah mengarahkan TSKI supaya memastikan JK berkaitan yang terdiri daripada Rafizi, Dr Dzulkefly dan Tony Pua dilibatkan dalam sebarang urusan berkaitan penstrukturan industri air Selangor. TSKI tidak mempedulikan perkara ini walaupun dia berjanji di hadapan pemimpin tertinggi PR untuk mematuhinya menyebabkan urusan berkaitan penstrukturan industri air Selangor berlaku dalam keadaan kelam kabut dan penuh tanda tanya di kalangan pemimpin PR.

Satu lagi contoh ialah berhubung status JK tender PBT Selangor. Selama ini beberapa orang ahli majlis merupakan ajk tetap JK Tender dan Sebutharga di semua PBT Selangor dan merupakan langkah wajar sebagai ‘check and balance’ kepada sebarang keputusan pegawai-pegawai kerajaan. Apabila keluar arahan daripada MB bahawa status ahli majlis telah dituruntaraf kepada pemerhati sahaja dalam JK berkenaan maka ia telah dibantah oleh semua parti kerana alasan yang beliau berikan ialah tidak mahu membebankan ahli-ahli majlis. Beberapa siri perbincangan panas berlaku dalam mesyuarat PR negeri. Malah PAS Selangor telah menghantar surat rasmi kepada MB Selangor meminta beliau supaya mengembalikan status asal ahli majlis dalam JK berkaitan tetapi telah tidak dipedulikannya.

Banyak lagi isu-isu lain yang diarahkan oleh parti, samada PKR dan PR, yang membawa kesan besar dalam pentadbiran negeri telah dibelakangi oleh TSKI. Antaranya isu pertukaran Datuk Bandar Shah Alam, penyusunan semula GLC Selangor yang masih ramai dijawat oleh suku-sakat UMNO, masalah besar ahli-ahli majlis MPKj dan YDP mereka, dan sebagainya.

Apa yang hendak ditekankan di sini bahawa TSKI telah seringkali membakulsampahkan arahan parti (PKR dan PR) dan ini amat tidak wajar sebagai seorang yang diberi mandat oleh parti. Sebenarnya ketaatan ahli (lebih-lebih lagi pemimpin) ke atas keputusan parti adalah syarat penting kepada keutuhan dan integriti parti dan keenganan mematuhi arahan parti dalam perkara yang jelas disepakati adalah merupakan satu kesalahan berat. Sokongan PAS ke atas seorang pemimpin parti rakan yang jelas bukan saja sentiasa membelakangi arahan partinya tetapi juga parti rakan komponen adalah tidak wajar dan akan menjadi ‘precedent’ kepada pemimpin akan datang. Budaya tidak sihat ini akan menular membarah jika tiada tindakan segera dibuat.

Persetujuan Asas Pakatan Rakyat

Persetujuan di peringkat tertinggi PR bahawa jawatan MB untuk Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah hak PAS, Pulau Pinang hak DAP dan Selangor hak PKR. Perkara ini dipertegaskan lagi oleh Setiausaha Agung PAS dan DAP baru-baru ini bahawa mereka tidak akan menuntut kerusi MB Selangor dan PKR berhak menamakan MB daripada PKR. TSKI, asalnya adalah calon PKR untuk MB, maka sewajarnya mereka berhak memberi pandangan berhubung prestasi dan kedudukan MB dari masa ke semasa. Dalam masa yang sama kita tidak menolak peranan PAS dan DAP dalam hal ini. Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, TSKI telah berulangkali membelakangkan keputusan parti berhubung aspek pentadbiran negeri dan telah berterusan buat sekian lama. Ini menjadi hujah kukuh PKR untuk menggantikan MB. DAP dan PAS, sebagai rakan dalam PR, perlu beri perhatian serius kepada permintaan PKR mengikut kerangka kerjasama PR yang dipersetujui.

Apabila PKR memohon digantikan TSKI sebagai MB, sewajarnya DAP dan PAS memberi perhatian atas alasan dan sebab. Dan jika didapati munasabah maka perlu bersama mengambil tindakan perlu. Ini semangat setiakawan yang perlu ada jika kita ingin melihat PR makin kukuh dan kuat. Kesepaduan dalam PR ini juga akan menghalang daripada berlaku natijah yang tidak elok jika TSKI enggan melepaskan jawatan MB secara sukarela.

Keadaan menjadi lebih mendesak apabila DAP turut memberi sokongan penuh kepada PKR supaya MB ditukar. PAS ketiadaan hujah untuk menolak permintaan 2 rakan kita dalam PR jika kita mahu PR terus bersatu. Apa hujah yang kita ada untuk mengekalkan TSKI sedangkan calon ini adalah calon daripada PKR? Malah PAS Selangor sendiri dalam Mesyuarat Khas BPPNS ketika menjelang PRK Kajang telah menggundi atas 3 pilihan;

i.  Anwar sebagai MB Selangor (ketika itu belum diputuskan bersalah oleh mahkamah)

ii.  TSKI kekal sebagai MB

iii.  Menggantikan TSKI dengan calon PAS sebagai MB

BPPNS telah memilih (iii.) sebulat suara mewakili semua 22 kawasan di Selangor. Walaupun kita nak calon PAS sebagai MB tetapi yang pentingnya semua mahukan TSKI digantikan. Isu di sini ialah TSKI digantikan kerana beliau membawa masalah kepada PR. Samada calon PAS dapat jadi MB atau tidak itu soal kedua.

Kita cuba bayangkan jika perkara yang sama berlaku kepada PAS yakni MB daripada PAS kemudian menghadapi masalah dengan parti seperti TSKI sekarang, kemudian dalam masa yang sama MB berkenaan disokong pula oleh PKR. Tentu kita rasa terluka dengan tindakan rakan kita itu. Ini sebenarnya apa yang sedang dirasai oleh PKR.

Sebagaimana yang telah diterangkan di atas, PAS Selangor bersetuju dengan DAP selepas menang PRU-13 bahawa kita ada ‘reservation’ tentang sikap TSKI. Tetapi memandangkan PR telah menang besar di bawah pimpinannya serta ada prospek untuk kita desak beliau supaya berubah kepada stail pengurusan yang lebih ‘sesuai’, dan kebimbangan PAS dan DAP kemungkinan Azmin Ali pula jadi MB, maka kita bersetuju untuk menyokong lanjutan khidmat TSKI sebagai MB Selangor DENGAN SYARAT KITA ‘REVIEW’ PRESTASINYA SELEPAS SETAHUN. Kini sudah.

Banyak isu hanya dibincang dalam mesyuarat EXCO disebabkan ketiadaan lagi mesyuarat PR negeri. Masalahnya hubungan MB dengan EXCO-EXCO adalah hubungan umpama majikan dan kakitangan menyebabkan keputusan perlu cocok dengan citarasa MB. Kebanyakkan EXCO hanya menjadi pak turut kepada kehendak MB. Malah diakui oleh EXCO-EXCO bahawa MB seringkali memberi kataputus dalam mesyuarat jika perbincangan tidak selari dengan kehendaknya. Tanpa mesyuarat PR sukar untuk kita mempengaruhi keputusan MB.

Keputusan meluluskan projek lebuhraya KIDEX (dan 5 lagi konsessi lebuhraya di Selangor) walaupun secara prinsip, tanpa merujuk kepada pimpinan PR, juga merupakan pelanggaran kepada janji PR kepada rakyat untuk mengkaji semula sebarang permohonan lebuhraya bertol. Walaupun ditegur berkali-kali oleh pimpinan PR, TSKI tetap berdegil dengan keputusannya untuk terus membenarkan projek be rkenaan dilaksanakan tanpa sebarang kajian semula. Malah beliau pada awalnya tidak sudi untuk bertemu rakyat yang membantah pelaksanaan projek berkenaan.

Pengurusan tapak pasar malam yang selama ini diuruskan dengan baik oleh JKKK atau Persatuan Penduduk di mana hasil kutipan digunakan untuk pelaksanaan projek kemasyarakatan setempat telah diserahkan kepada PBT semata-mata kerana satu atau dua JKKK atau Persatuan Penduduk yang bermasalah menyebabkan kemarahan ramai. Ini kerana selain daripada hasil kepada penduduk untuk program kemasyarakatan, ia juga membantu mengurangkan beban PBT dalam mengendalikan pasar-pasar malam ini. Keputusan TSKI ini amat merugikan dari semua aspek termasuk politik dan belaiu tetap berdegil dengan keputusannya walaupun protes daripada semua pihak.

Tiada Perancangan Strategik

Antara ciri utama seorang pemimpin korporat yang baik ialah keupayaan membuat perancangan strategik yang berkesan. Sehingga kini Selangor tidak mempunyai perancangan strategik yang lengkap untuk dijadikan panduan. Pengurusan kewangan yang baik hanyalah sebahagian daripada pentadbiran yang baik dan tidak memadai untuk menjadikan Selangor hebat.

Masalah besar yang timbul hari ini berpunca daripada kegagalan merancang dengan baik terutama perancangan jangka panjang (strategik) termasuk isu air, pelupusan sampah, menara telekomunikasi haram, dsbnya. Isu ditanggani secara ad-hoc, ‘memadamkan api apabila berlaku kebakaran’. Kebanyakan daripada program strategik negeri (terutama yang melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam) memerlukan masa yang panjang untuk merancang dan melaksanakannya. Kegagalan dalam perancangan ini dapat dilihat apabila langkah-langkah sementara terpaksa dibuat. Ini dapat dilihat dalam krisis bekalan air Selangor dan masalah pelupusan sampah yang berlaku baru-baru ini.

Tidak Percayakan Orang-Orang Politik

Pemerhatian selama ini mendapati bahawa TSKI tidak percayakan orang-orang politik atau aktivis parti. Setiap orang politik yang menemui beliau untuk mengadu masalah rakyat dianggap ‘ada ke pentingan peribadi’. Ini diakui oleh SETPOLnya yang baru, Azman. Banyak kes yang diadukan kepada beliau seperti isu premium tanah, pampasan yang tidak dibayar oleh kerajaan negeri, dsbnya tidak dilayan sehingga hari ini. Ini juga antara sebab kenapa ramai nama-nama ahli atau penyokong parti ditolak daripada menjadi ahli-ahli lembaga pengarah GLC Selangor walaupun mereka layak.

Ketidakpercayaan beliau kepada orang-orang politik bermakna beliau meletakkan lebih kepercayaan kepada pegawai-pegawai kerajaan. Itu sebabnya pegawai-pegawai kerajaan sangat berkuasa dan mereka hanya ‘takut’ kepada MB sahaja. EXCO dan wakil rakyat boleh dipermain-mainkan oleh mereka. Sebagai contoh isu bajet Pembangunan Desa yang dikawal oleh UPEN dan EXCO tak ada kuasa langsung. Ini diakui oleh EXCO berkaitan, Ustaz Sallehin Mokyi.

Malah di peringkat PBT pun keadaan agak teruk dengan Datuk Bandar dan YDP berkuasa penuh. Bukan setakat memperkotak-katikkan ahli-ahli majlis seperti di Majlis Perbandaran Kajang, malah ahli parlimen dan adun di Shah Alam tidak dilayan sewajarnya oleh Datuk Bandar Shah Alam.

Fenomena ini amat merbahaya dan jika tak dibendung akan menghakis keyakinan pegawai kerajaan dan rakyat ke atas kemampuan pimpinan parti bekerja sebagai satu kumpulan.

Mungkin ada lagi perkara-parkara yang boleh diperincikan lagi berhubung kegagalan TSKI dalam menguruskan pentadbiran Selangor dengan baik. Dengan pendedahan ini pun sudah memadai untuk Majlis Pimpinan PR mengambil langkah-langkah untuk menamatkan khidmat beliau sebagai MB Selangor jika kita masih mahu mempertahankan Selangor dan memburu juga Putrajaya.


Izham Hashim

2 Ogos 2014

Nota: Saya difahamkan penulis merupakan YDP Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Bahagian Kelana Jaya. Rujuk pautan ini untuk pengesahan http://www.pas.org.my/v2/index.php/direktori-kawasan/1297-direktori-kawasan-selangor.

Ahad, 10 Ogos 2014

PECAT TS KHALID, WAJAR ATAU TIDAK?

AKHIRNYA TS Khalid Ibrahim, MB Selangor dipecat dari PKR.  Tiada yang melompat gembira dengan pemecatan itu, tiada juga yang sampai meraung meratap dengan tragedi malang ini.  Tidak dinafikan ramai yang kecewa dengan keputusan ini termasuk aku yang memangkahnya untuk jawatan Timbalan Presiden PKR di dalam pemilihan yang lalu.

Aku menentang sikapnya hanya atas satu sebab iaitu kedegilannya untuk mematuhi arahan parti.  Bukan baru kita dengar sikap ini ada pada beliau, dan aku mula merasakan kebenaran bahawa TS Khalid mempunyai kelemahan yang paling ketara iaitu tiada sifat orang politik iaitu patuh kepada pemimpin parti dan parti itu sendiri.  Namun aku masih memilihnya untuk jawatan Timbalan Presiden kerana mempercayai janji-janjinya sewaktu berkempen iaitu beliau akan jadikan PKR parti reformasi yang mantap jauh dari unsur-unsur ketidakadilan.


Aku jangkakan dengan janji-janjinya itu beliau terlebih dahulu menunjukkan contoh teladan menjadi seorang yang komited dan taat setia kepada parti.  Malangnya, aku tidak nampak beliau melakukannya terutama apabila bermulanya krisis MB Selangor.  Ujian pertama kesetiaan beliau kepada parti adalah apabila beliau diminta untuk mengosongkan Kerusi MB Selangor.  Usah bicara atas sebab apa, tetapi jika parti sendiri mahu beliau kosongkan Kerusi MB, seharusnya beliau patuhi tanpa banyak bicara.  Mana mungkin beliau merasa selesa menjadi MB tanpa direstui partinya sendiri?

Benar, MB adalah hak rakyat.  Kerusi MB Selangor adalah hak bersama PR.  TS Khalid adalah hak PKR kerana beliau naik atas pilihan PKR dan diterima oleh PR.  PKR yang calonkan beliau bertanding di dalam pilihanraya, beliau menang, dipilih oleh PKR untuk duduk sebagai MB Selangor.  Jika tidak, beliau mustahil boleh menjadi MB seperti sekarang.  Seharusnya bila parti ingin melantik orang lain, beliau wajar memberi peluang kepada orang lain untuk memikul amanah itu.  Namun, TS Khalid tidak sanggup berbuat demikian.

Parti bertindak wajar.  Entah beberapa kali sebelum ini DS Anwar menasihati beliau samada secara tertutup mahupun secara terbuka.  Entah beberapa kali TS Khalid gagal hadir menemui pemimpin parti untuk menyelesaikan beberapa persoalan yang parti sering persoalkan.  Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.  Dalam isu perjanjian (MOu) berkaitan air dan Langat 2, jelas sekali TS Khalid tidak menghormati Ketua Umum, DS Anwar Ibrahim.  Benar, itu hak MB atau kerajaan Selangor tetapi rugikah jika DS Anwar dibawa berunding terlebih dahulu sebelum menemui bos 'musuh' PR iaitu Najib?  DS Anwar tidak diumpamakan langsung.

DS Anwar masih setia dan bersabar dengan karenah TS Khalid.  Cara lain dilakukan oleh DS Anwar demi mahu menjaga nama baik TS Khalid.  DS Anwar bersama pimpinan PR bersetuju melantik Jawatankuasa yang dianggotai ketiga-tiga parti dari PR untuk membantu TS Khalid memantau perjanjian berkaitan air agar PR tidak terpedaya dengan tipu helah musuh, malangnya mengikut kenyataan wakil-wakil yang dilantik, TS Khalid tidak pernah menghiraukan mereka.  Kewujudan mereka dipandang sebelah mata oleh MB Selangor ini.

Parti tentunya merasa tersinggung dengan kerenah dan keegoan TS Khalid.  Banyak lagi kerenah TS Khalid yang menyucuk mata kepimpinan parti.  DS Anwar sudah dapat terbau 'penyakit' yang ada pada MB Selangor ini.  Beliau tidak mahu membiarkan penyakit ini semakin kronik.  Mencegah lebih baik dari mengubati.  PKR telah cuba mencegahnya, dan sudah sampai ke tahap mengubatinya.  

TS Khalid memang tidak rasuah.  TS Khalid memang belum disabitkan dengan sebarang kes salah laku.  Ini juga sifat yang ada pada Almarhum Ustaz Azizan, MB Kedah dulu.  Almarhum orang alim, tidak rasuah.  Tetapi sifat itu walaupun amat penting untuk seorang MB atau pemimpin, tetapi ianya tidak cukup tanpa adanya disiplin diri, komitmen ke atas parti dan juga bijak strategi politik.  Pemimpin mesti jauh dari sifat ego dan sombong lebih-lebih lagi terhadap pemimpinnya sendiri.  Bak kata Mursyidul Am PAS, sebagai ahli kita wajib taat dan patuh kepada Nakhoda, walaupun nakhoda kita ada sedikit kelemahan.  Patut selagi tidak menyalahi syarak.  Menukar pemimpin untuk memantapkan lagi kekuatan organisasi bukan satu kesalahan dari segi syarak.  

Benarkah beliau tidak diadili dengan sewajarnya?  Beliau telah diberi masa yang mencukupi untuk menyatakan sebab-sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan oleh parti.  Beliau mendakwa surat tunjuk sebab itu 'cacat'.  Beliau diminta untuk hadir beri keterangan, beliau memberi alasan sibuk untuk bertemu menteri Bn.  Sibuk-sibuk beliau, yang peliknya masa 24 jam yang diberi oleh Najib untuk beliau hadir menandatangani MOu, beliau sanggup bergegas tanpa sempat memaklumkan kepada bosnya.  Tetapi bila arahan parti, beliau beri alasan tidak diberi masa mencukupi.  Parti masih beri peluang untuknya hadir sehari selepas itu, beliau tetap tidak hadir, sebaliknya masih sibuk berhari raya.  Paling mengejutkan, beliau pula yang mahu tetapkan tarikh lain untuk beliau hadir.  Ahli parti apakah seperti ini?

Apakah wajar parti terus dibuli sedemikian rupa?  Apakah keistimewaan beliau sehingga sering parti beralah dengannya?  Pemecatan beliau rasanya lojik dan munasabah.  Namun, aku berpendirian parti wajib memberinya peluang untuk merayu.  Samada dia mahu merayu atau tidak, itu lain cerita.  Haknya mesti diberikan di dalam tempoh 14 hari untuk beliau merayu.  

Apakah pemecatan ini memberi kesan kepada rakan-rakan di dalam PR, terutamanya PAS yang konsisten mempertahankan beliau selaku MB?  Jawapannya, terpulanglah kepada tafsiran kita sendiri.  Mungkin kata-kata Mursyidul Am PAS di bawah ini boleh memberi tahu kita jawapannya;

"   Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR tidak ada kaitan dengan Pas, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.  "Itu dia (PKR) punya pasal, saya tidak boleh ganggu," katanya ketika diminta mengulas pemecatan Abdul Khalid daripada parti itu hari ini.  "PKR boleh buang orangnya, kita tidak campur," katanya lagi kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini, malam ini.

Jumaat, 8 Ogos 2014

DEMI TSKI, SANGGUP PECAT KHALID SAMAD DAN HANIPA?

ANGKARA nak pertahankan TSKI, sampai nak pecat pemimpin PAS?  Suara dari terengganu memang selalu pelik-pelik.  

Mereka minta PAS pecat YB Khalid Samad dan YB Hanipa Maidin dan beberapa orang lagi atas alasan menyanggahi pendirian presiden.  Kalau menyanggahi keputusan Majlis Syura tu aku fahamlah sebab majlis syura adalah badan tertinggi di dalam PAS. Majlis Syura lebih tinggi dari Presiden sendiri.  Tapi, kedua-dua pemimpin ini hanya dikatakan tidak sependapat dengan Presiden, maka dicadangkan oleh mereka untuk dipecat saja.

TSKI belum dipecat oleh PKR.  Beliau telah diberi surat tunjuk sebab, diminta jawab bahkan diminta hadir untuk menjawab beberapa isu yang ada kaitan dengannya.  Tapi untuk kedua-dua pemimpin PAS ini belum pun ada surat apa-apa, sudah ada yang gopoh mahu pecat?  Siapa lebih "Syarie" sekarang?

Apapun aku optimis PAS tidak akan bertindak sejauh itu.  Itu hanya sikap golongan di Terengganu, bukan mewakili wajah PAS.  

Khamis, 7 Ogos 2014

TS KHALID PERLU BELAJAR DARIPADA DR RANI DAN HUSAM MUSA

MAHU pertahankan TS Khalid boleh, kerana kita ada hak untuk menyokong sesiapa saja yang kita yakini.  Sebagai ahli parti, kita kena tahu beza mana satu kehendak peribadi atau puak dengan keputusan atau kehendak parti secara jemaah.  Jika kita gagal memahami asas ini, kita adalah salah satu punca krisis di dalam parti.

Aku terus terang.  Di dalam pemilihan PKR aku memberikan undi dan berkempen untuk TS Khalid sebagai merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.  Bukan bermakna aku memusuhi Azmin, tetapi aku merasakan TS Khalid mampu menjadi Timbalan Presiden yang lebih baik dari Azmin.  Asalnya aku lebih suka kepada Saifuddin Nasution tetapi melihat kepada keadaan Saifuddin yang hampir pasti tidak berpeluang, aku ada pilihan kedua iaitu TS Khalid.

Mustahil aku suka TS Khalid sebagai Timbalan Presiden PKR tetapi tidak suka beliau sebagai MB.  Tentunya hasrat hati mahu beliau terus jadi MB.  Namun aku cuba untuk berdisiplin dengan parti bukan individu.  PKR melalu jemaah MPP memutuskan sudah sampai masanya TS Khalid ditukar dari jawatan MB, atas apa jua alasan sekalipun maka selaku ahli parti mahu tidak mahu aku harus terima keputusan parti.  Apakah wajar aku memaksa parti terima kehendak aku?  

Di dalam situasi begini pun, aku masih menaruh harapan TS Khalid untuk menang di dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.  Adakah kuat bencinya aku pada Azmin?  Jawapannya tidak.  Bahkan, aku tetap menerima keputusan parti sekiranya parti kemudiannya berubah keputusan memilih Azmin sebagai MB Selangor.  Aku akan terima kerana itu keputusan parti.

Sekarang ini yang menjadi masalah adalah orang seperti aku yang berada di akar umbi menyokong TS Khalid tetapi cuba untuk berdisiplin kepada parti, tetapi TS Khalid sendiri pula tidak menunjukkan disiplinnya.  TS Khalid mula menunjukkan egonya.  Beliau tetap kata beliau layak menjadi MB Selangor sedangkan parti menyatakan sudah cukup untuk beliau diberikan amanah.  Susah sangatkah untuk mematuhi arahan parti yang telah menaikkan beliau dulu?  

Apakah TS Khalid merasa dia hebat hanya kerana mendapat sokongan kuat dari PAS?  Tahukah beliau PAS juga menjalani proses yang sama jika PAS merasakan seseorang tokoh itu wajar ditukar atau tidak.  Contohnya di Selangor sendiri.  Sebelum PRU13, Pesuruhjaya PAS Selangor adalah Dr Rani.  Beliau memimpin PAS Selangor amat cemerlang sehingga berjaya meningkatkan Kerusi untuk PAS di Selangor.  Lojiknya tentulah beliau akan dinaikkan pangkat atau sekurang-kurangnya kekal pada jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS.  Beliau berjaya buktikan kecemerlangannya dan beliau tidak melakukan rasuah pun.  Namun, PAS mengambil keputusan mengantikan Dr Rani dengan Iskandar Samad.

Apakah PAS sememangnya suka-suka untuk menukar Dr Rani dengan Iskandar sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor?  Tentu tidak.  Tentu PAS ada perancangannya sendiri bukannya atas sebab Dr Rani berbuat sesuatu penyelewengan.  Di dalam PAS, jawatan tidak boleh diminta tetapi sekiranya diamanahkan maka wajib dipikul.  Maka, Dr Rani digugurkan walaupun sememangnya Dr Rani amat gembira dengan pengguguran tersebut.  Ertinya, PAS juga lakukan perkara yang sama di dalam kaedah peralihan jawatan.  Adakah PAS berbuat salah atau tindakannya itu tidak "syarie"?  Tentu tidak.  Itu proses biasa parti kepada anggota partinya sendiri.

Mengapa TS Khalid tidak belajar semua ini?  Mengapa dia merasakan dia wajar jadi MB Selangor yang tidak direstui oleh partinya sendiri?  Mengapa tidak belajar dengan kisah Dr Rani ataupun Husam Musa?  Husam Musa lucut jawatan Exco sedangkan beliau orang kanan kepada MB Kelantan di era Tok Guru Nik Aziz.  Tetapi tidak salah MB Kelantan sekarang tidak meneruskan Husam sebagai Exco, dan Husam pun tidak keras kepala mendakwa dia seorang yang hebat.  Bukan sedikit yang menyokong Husam di Kelantan.  Namun, Husam seorang yang berdisiplin terhadap jemaah.  Tidak kepada TS Khalid.

Aku mulai merasa sangsi atas keperibadian dan disiplin TS Khalid.  Apakah selama ini aku silap menyokongnya? 


Selasa, 5 Ogos 2014

KEMELUT MB SELANGOR - KHALID WAJIB DIBERI KEADILAN, ADAKAH AZMIN CALON ALTERNATIF?

SEJAK dua tiga menjak ini aku lihat banyak betul rakan-rakan yang kongsi artikel dan laporan palsu kononnya PKR telah memecat TS Khalid Ibrahim, MB Selangor yang isunya hangat diperbahaskan sekarang ini.  

Walaupun terbukti berita itu tidak benar, namun secara peribadi aku amat tidak setuju jika PKR memecat TS Khalid tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam parti.  Pecat seseorang mestilah bersebab dan serius salah lakunya.  Orang itu juga mesti terlebih dahulu diberi surat tunjuk sebab atau dipanggil membela diri agar beliau dapat mempertahankan dirinya.  Kita tidak mahu PKR dilihat rakus dan zalim.

Secara peribadi aku menyokong usaha parti untuk menyelesaikan kemelut MB Selangor sekarang ini tetapi bukan dengan cara memecat beliau.  Parti punyai hak untuk menaikkan seseorang menjadi calon pilihanraya, begitu juga untuk memberi amanah untuk menjadi MB.  Bila parti rasa perlu melakukan pertukaran atas sebab-sebab tertentu, maka itu juga hak parti.  Selaku rakan di dalam Pakatan, tentunya hak memilih atau mengganti seseorang MB itu mestilah dikongsikan bersama rakan-rakan untuk dipersetujui bersama jika boleh.

Di dalam isu MB Selangor, PKR merasakan sudah sampai masanya TS Khalid berundur.  Memandangkan TS Khalid itu ahli PKR dan Kerusi MB itu telah diamanahkan sebelum ini kepada PKR, maka tentulah PKR terpaksa memilih siapa penggantinya.  Soal calon yang dipilih oleh PKR itu layak atau tidak menjadi MB Selangor, itu semua bergantung kepada persetujuan rakan-rakan dari DAP dan PAS. Jadi, tidak timbul soal menamakan calon dari PKR itu mesti dirujuk terlebih dahulu kepada DAP dan PAS.  Di peringkat mencalonkan atau menamakan calon itu, itu adalah hak PKR.  Tetapi harus ingat, layak atau tidak, diterima atau tidak, itu pula adalah hak DAP dan PAS.  Kerusi MB Selangor bukan hak PKR, tetapi Kerusi itu adalah hak Pakatan yang akan membuat keputusan.

Adakah PAS juga boleh menamakan calon dari partinya?  Jawapannya tentulah boleh.  Tetapi jangan lupa, pada Mesyuarat Majlis Presiden PR yang pertama, kesemuanya sepakat secara dasarnya bersetuju bahawa Kerusi MB Selangor adalah untuk PKR.  Cuma, PAS dan DAP mahu rujuk dahulu kepada parti masing-masing tentang nama calon yang dicadangkan oleh PKR.  Seandainya PAS meletakkan nama calon dari parti berkenaan pada mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos nanti, ini menunjukkan PAS gagal mematuhi persefahaman yang dicapai pada Mesyuarat Majlis Presiden PR yang pertama.  Tidak mungkin PAS akan berbuat demikian.

PAS dan DAP boleh tolak nama calon yang dicadangkan oleh PKR iaitu DS Wan Azizah, tetapi Kerusi MB Selangor tetap untuk PKR seperti yang dipersetujui.  Ertinya, ada calon lain dari PKR sebagai alternatif untuk menggantikan Azizah.  Siapa orang itu?  Jika Azmin, aku rasa kemelut tidak akan selesai juga.  Siapa tokoh lain di Selangor selain dari Azizah, Azmin dan Khalid?  Pada aku tiada. 

Ahad, 3 Ogos 2014

SIMPAN MAKI HAMUN ITU UNTUK SYAITAN YANG DIKENALI

OK, stop perang saudara.  PKR dan PAS banyak buang masa berbalah soal MB Selangor.  Pemimpin kedua-dua parti bertenang sambil terus merayakan Aidil Fitri, kita penyokong bawahan pula bertegang urat soal yang belum diputuskan.  Tapi aku rasa ada hikmahnya kerana bila kita hangatkan alam siber, baru pimpinan sedar bahawa kita sedang memerhatikan tindakan mereka.  Baru kita tahu siapa yang bersungguh-sungguh mahu PR kekal seperti sedia ada, dan ada yang mahu PAS bersendirian dan kita juga tahu ada yang mencadangkan UG "Kerajaan Perpaduan" bersama Amno dikejutkan dari tidur lena mereka.

Tertarik dengan saranan Dr Zul bahawa perbalahan sesama kita harus dihentikan.  Ini soal pendekatan atau 'uslub' untuk perkuatkan PR.  Tentu banyak pandangan berbeza dan masing-masing ada hujah masing-masing.  Bila sudah ada berbagai pandangan, kita patut menggunapakai nasihat Tok Guru Nik Aziz yang menyebut pentingnya patuh kepada 'nakhoda'.  Walaupun nasihat Tok Guru itu untuk jemaah PAS, tetapi nasihat yang baik elok diikuti oleh PKR.  Patuh kepada nakhoda dan parti.  

Jika kita rasa kita tidak perlu kepada nasihat dan kehendak jemaah di dalam parti, elok kita kelyar dari parti memasuki parti lain atau tubuhkan parti baru yang kita boleh jadi pemimpin.

Mudah selesai jika semua patuh kepada kehendak parti walaupun kita rasa kita betul.  PKR telah lakukan segalanya yang telah disarankan oleh Tok Guru Nik Aziz bagi menyelesaikan kemelut di Selangor ini.  Sejak penggal pertama lagi PKR cuba selesaikan dan nasihat kepada pemimpin-pemimpin terlibat di dalam krisis ini, dan akhirnya parti merasakan tiada jalan lain untuk kurangkan masalah ini selain dari melakukan 'islah' di dalam pentadbiran Selangor.

Tentunya Kerusi MB Selangor bukan hak PKR mahupun PAS atau DAP.  Sehingga kini ia milik PR.  Oleh kerana ia milik PR maka perlunya PKR membawa cadangan itu ke Majlis Presiden PR untuk dibincangkan.  Perkara ini telah dilakukan, cuma sekarang kita menanti apakah rakan-rakan dari PAS dan DAP bersetuju dengan cadangan PKR.  Selepas itu, wajarlah kita menghormati keputusan bersama.  

Sehubungan itu, marilah kita cuba mengendurkan perang saudara ini dan kita tunggu keputusan pimpinan.  Jika rasa perlu nyatakan pandangan dan hujah, cuba elakkan dari kita memaki hamun ulamak dan pimpinan mana-mana parti.  Simpan maki hamun itu untuk syaitan yang dikenali.

Jumaat, 25 Julai 2014

PRESIDEN PAS TOLAK USAHA GUGURKAN KHALID?

KHABARNYA Presiden PAS telah keluarkan kenyataaan bahawa PAS tetap menyokong TS Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor atas beberapa sebab, di antaranya beliau telus dan amanah, tidak rasuah.  Rujuk sini  -->  http://www.astroawani.com/news/show/abdul-hadi-sokong-abdul-khalid-kekal-mb-selangor-40450?cp

Aku tidak pasti bila PAS Pusat bermesyuarat dan adakah ini kenyataan peribadi Tok Guru Hj Hadi atau pun memang itulah keputusan sebenar PAS Pusat.  Apa pun, sebagai penyokong PR kita harus terima pandangan rakan-rakan dari PR yang lain.  Di dalam isu ini kita harus hormati kenyataan Tok Guru Presiden, satu kenyataan yang sama sewaktu ada ura-ura untuk menukar MB Kedah, Almarhum Us Azizan dahulu.  Us Azizan sememangnya telus dan amanah, serta tidak rasuah.  Itu pandangan Presiden.

Di dalam PR, sikap hormat menghormati amat penting.  PAS mungkin telah buat mesyuarat dan ketetapan telah diambil seperti yang telah dinyatakan oleh Tok Guru.  PAS mahu TS Khalid kekal sebagai MB Selangor.  PKR Pula tidak restu TS Khalid sebagai MB Selangor atas beberapa sebab juga, bukan sebab beliau rasuah atau tidak cekap.  Ada sebab lain kerana bagi PKR, mahu lawan Umno/Bn tidak cukup anda hanya telus dan tidak rasuah.  Anda juga mesti tahu strategi dan bijak menghadapi musuh iaitu Umno/Bn.  PKR mahu TS Khalid ditukar kerana teguran dari parti sepenggal yang lalu dilihat tidak mengubah apa-apa.  Itu mungkin di antara faktornya.  Tetapi bukan juga sedikit ahli-ahli PKR yang mahu kekalkan TS Khalid.  Pandangan mereka juga harus dihormati, namun akhirnya kita terpaksa merujuk kepada parti juga.  Keputusan parti mahu TS Khalid gugur.

Kini, PKR mahu TS Khalid gugur, PAS pula mahu TS Khalid kekal.  Apa pula keputusan DAP?  Apa pula keputusan semua Adun-Adun PR di Dun Selangor?  Dan, akhirnya apa kata Tuanku?