BERTIUP kencang kononnya Iskandar Samad dari PAS bakal diangkat sebagai MB Selangor. Aku sebenarnya tidak percaya kerana mana mungkin MB Selangor diangkat dari calon yang tidak ada sokongan majoriti di dalam dewan, kecuali beliau perolehi sokongan majoriti disaat-saat akhir.
Orang kata Tuanku ada kuasa melantik jika Tuanku mahu. Jika mahu berhujah "jika Tuanku mahu" , aku patut menyerah saja kerana bak kata Tok Guru Nik aziz, "Raja is Raja". Dalam maksud Tok Guru tu, orang yang mengaji mantik boleh faham.
Namun aku masih yakin Tuanku tentu lebih memahami konsep Raja Berpelembagaan. Tentu Tuanku lebih arif mengapa negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan kaitan konsep ini dengan sistem Pilihanraya yang kita amalkan.
Yang diturunkan itu TSKI seorang Melayu Islam. Yang mahu dinaikkan itu juga Melayu Islam, bezanya Wanita sahaja. Bab Wanita pula tiada hujah untuk menafikan kelayakan memimpin kecuali hujah dari Hj Hadi yang terlalu mudah untuk kita bahaskan. Hujahnya terlalu nipis lebih nipis dari kulit bawang. Jadi, soalnya bukan kelayakan Azizah.
Baiklah, jika Tuanku tidak berkenan dengan Azizah kerana Tuanku mahu seorang lelaki menjadi MB maka kita tidak boleh bantah kerana kita masih ada Azmin, seorang Melayu Islam dan berkelayakan juga. Jika dikatakan nama Azmin tidak disenaraikan oleh PKR dan DAP juga mungkin tiada dalam senarai PAS, tiada masalah kerana Istana telah maklumkan Tuanku boleh memilih sesiapa juga Adun yang Tuanku rasa layak dan yakin mendapat sokongan majoriti. Siapa lagi jika bukan Azmin?
PAS pula telah awal-awal beritahu bahawa PAS tidak berminat untuk Kerusi MB walaupun hantar nama calon. Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS secara tegas menyebut jika Istana calonkan MB dari PAS, PAS akan tolak. Maka, tidak mustahil calon MB nanti hanya berkisar di antara Azizah atau Azmin.
Semoga kemelut ini cepat selesai dan jalan penyelesaiannya sudah terbentang awal sebenarnya. Cuma mahu kepada kejujuran dan keadilan saja untuk menamatkan krisis ini.




