HUSAM Musa akhirnya mengumumkan hanya bertanding untuk mengekalkan jawatan Naib Presiden PAS sahaja. Satu keputusan yang bijak walaupun beliau mendapat pencalonan tertinggi selepas Presiden PAS sekarang, Haji Hadi. Ini membuka ruang dan peluang kepada Us Ahmad Awang, bekas YDP Persatuan Ulamak Malaysia dan Ketua Ulamak Sedunia Cawangan Malaysia.
Aku berpendapat Hj Hadi akan terus dikekalkan oleh perwakilan sebagai Presiden di dalam Muktamar PAS yang akan diadakan pada Jun ini. Walaupun saingan memang sengit dari Us Ahmad Awang tetapi atas faktor 'status quo" amat janggal jika Presiden ditentang. Tetapi sejarah PAS pernah menunjukkan atas beberapa faktor Presiden akan ditentang mahupun ditekan untuk meninggalkan jawatan itu.
Apakah sudah cukup faktor untuk menukarkan Hj Hadi? Perwakilan PAS bakal menentukan dan kempen di saat-saat akhir oleh Us Ahmad Awang nampaknya memungkinkan beliau tipis untuk menang. Ramai perwakilan yang tidak mengerti mengapa perlu Us Ahmad Awang bertanding. Mereka lebih banyak tahu mengapa Hj Hadi perlu dikekalkan.
Mungkin jika ada yang menyokong Us Ahmad Awang pun mereka adalah terdiri dari golongan yang banyak membaca maklumat dari berbagai sumber dan yang peka terhadap situasi politik semasa terutamanya tentang perkembangan PAS. Mereka ini mungkin telah membuat analisa kenapa PAS menjadi separah ini. Apakah kerana Presiden itu Ulamak? Dahulu pun golongan Ulamak memimpin PAS, tetapi PAS mantap. Dahulu pun Hj Hadi Presiden PAS tetapi tidak berlaku masalah seperti sekarang. Mengapa? Mengapa selepas pemergian Almarhum Tok Guru Nik Aziz PAS sudah berbeza? Adakah perbezaan itu memperkuatkan parti islam ini atau sebaliknya? Ini yang difikirkan oleh perwakilan yang mungkin boleh mengubah posisi Presiden sekarang.
Manakala bagi yang mengundi untuk mengekalkan Hj Hadi, mereka tentunya berpendapat tiada sebab untuk turunkan Ahli Parlimen Marang ini dari Kerusi Presiden PAS. Apa silap Hj Hadi? Apakah pemimpin ini telah melakukan rasuah, penyelewengan mahu pun salah laku sehingga patut diturunkan? Ini sama seperti Hj Hadi pernah katakan mengapa TSKI perlu diturunkan sebagai MB Selangor. TSKI tidak rasuah. TSKI tidak melakukan perkara-perkara yang menyalahi syarak. Tidak Syarie untuk menurunkan TSKI. Atas faktor ini juga menyebabkan perwakilan mungkin akan mengekalkan Hj Hadi.
Aku masih tetap dengan keyakinan aku Hj Hadi akan mengekalkan jawatannya sebagai Presiden. Apatah lagi media kawalan Umno nampaknya bermurah hati membantu kempen untuk beliau. Umno tentunya berminat agar Hj Hadi kekal sebagai Presiden, mungkin untuk memudahkan kerjasama di antara Umno dan PAS di dalam merealisasikan Hudud di negara ini. Satu perkembangan yang menarik.





