Ahad, 31 Mei 2009

AWAS !! HELAH TERAKHIR MEREKA HARI INI,

Hanya beberapa jam lagi rakyat di Dun Penanti akan keluar mengundi. Pertarungan yang dijangka hebat pasti juga berlaku meskipun Umno `segan' untuk meletakkan calon mereka, tetapi Umno mempunyai `kuda harapannya' untuk diletakkan bagi menentang musuh ketat Umno iaitu PKR. Seluruh media utama yang dikuasai oleh Umno selaku tunggak kerajaan secara terang-terangan banyak membantu `kuda peliharaan' mereka. Di dalam suasana sedemikian, PKR akan terus istiqomah di dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Pada awal permulaan kempen, kelihatan PKR yang dibantu oleh rakan-rakan di dalam PR kelihatan agak lega kerana tiada perkara yang menimbulkan kontroversi di dalam melaksanakan kempen di sana. Isu yang sedikit mencabar PKR hanyalah isu rasuah berupa tawaran wang ringgit dan jawatan KM 1 P.Pinang yang didedahkan oleh Kak Min. Hangat seketika apabila isu ini dimainkan oleh media-media, tetapi di atas kebijaksanaan pimpinan PKR terutamanya di bahagian penerangan dan stretegi, isu ini hanya sekadar menjadi bahan lawak jenaka di Dun Penanti. Kehangatan mulai terasa apabila beberapa penceramah PR ditangkap dan disiasat atas beberapa kesalahan, kononnya. Kemuncaknya, sehari dua ini PKR mendakwa berbagai peraturan dan arahan baru telah dikeluarkan oleh SPR.

Beberapa jam lagi, tibalah saat mengundi. PKR tidak harus melupakan pengajaran lampau khususnya berkaitan pengundi hantu. Memang benar, Umno tidak bertanding tetapi Umno tidak mahu melihat PKR memenangi kerusi tersebut. Kemenangan buat Umno adalah apabila PKR mendapat jumlah undi yang berkurangan. Kepada petugas-petugas PKR, jangan terlalu fokus kepada taktik mereka yang ingin membawa keluar pengundi agar tidak mengundi. Pengundi yang keluar dan tidak mengundi TIDAK BERBAHAYA jika dibandingkan dengan membawa masuk pengundi yang tidak layak mengundi. Ini adalah kerana mereka yang dibawa keluar untuk tidak mengundi itu sudah tentu adalah penyokong-penyokong mereka dan sekiranya mereka keluar mengundi sekali pun, harapan agak tipis untuk mereka mengundi calon PKR. Seharusnya jika berlaku seperti yang dikatakan bahawa ahli-ahli Umno akan dibawa keluar agar tidak mengundi, sudah tentu yang paling susah hati dan kecewa adalah calon bebas terutamanya Kak Min. Tersilap langkah ada calon bebas yang mungkin akan hilang depositnya.

Jentera PKR harus fokus kepada penyokong-penyokong PR dan juga mereka yang di atas pagar termasuk pengundi-pengundi baru. Tentukan kesemua mereka datang untuk mengundi. Di samping itu, jangan alpa dan cuai kepada pemantauan terhadap kemunculan pengundi hantu. Mungkin mereka menganggap PKR semestinya fokus kepada ahli-ahli Umno yang dikatakan akan dibawa keluar, oleh yang demikian mereka menjalankan helah dan perancangan yang lain. Kita berharap agar seluruh jentera tidak memandang ringan perkara ini kerana bagi saya `roh' Umno tetap ada di sini. Jika kita selamat dan selesa di hari penamaan calon tanpa Umno, belum tentu kita akan selamat hari ini kerana musuh yang tidak dapat dilihat lebih berbahaya kerana itu adalah `halimunan'.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com





Tiada ulasan:

Catat Ulasan