Khamis, 21 Mei 2009

KHIR TOYO, MENGAPA GELABAH DAN MEROYAN ?

Kenyataan demi kenyataan oleh mantan MB Selangor Khir Toyo yang seperti kerasukan apabila beliau dijatuhkan hukuman 1 tahun digantung dari menghadiri persidangan Dun Selangor. Bagi beliau hukuman tersebut mungkin terlalu berat baginya melebihi dari tahanan-tahanan Akta ISA yang lain. Begitulah keadaannya apabila seseorang tidak pernah merasa susah dan selama ini merasakan beliau sahaja yang boleh menghukum orang lain. Sepanjang beliau menjadi MB selangor dahulu, mungkin beliau tidak pernah menghukum sesiapa dan beliaulah MB yang terbaik, adil serta telus. Sebab itulah rakyat Selangor menolak beliau, hatta Umno sendiri pun menolak beliau sebagai pemimpin Umno di Selangor, begitu juga di kalangan Pemuda Umno.

Khir Toyo mempertikaikan mengapa siasatan Selcet selangor itu dibuat secara terbuka. Maksudnya, jika dibuat secara tertutup atau berbisik-bisik mungkin beliau berani untuk hadir. Oleh kerana siasatan itu dibuat secara terbuka untuk disaksikan umum, maka ramai yang tahu kisah hadiah jam tangan ratusan ribu ringgit, kisah lawatan ke tempat Mickey Mouse dan juga kisah mak-mak datin bershopping sakan di luar negeri. Seandainya siasatan dijalankan secara tertutup, agak-agaknya ada atau tidak rakyat Selangor yang tahu kisah-kisah menarik bekas pemimpin mereka itu? Mungkin juga kerana siasatan yang terlalu terbuka oleh Selcet itu, menyebabkan faktor besar mengapa Khir Toyo tewas di dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno. Ini bermakna, ahli-ahli Umno yang cerdik pandai itu sedikit sebanyak percaya juga akan kisah-kisah yang terdedah di dalam siasatan Selcet. Jadi, tidak hairanlah mengapa Khir Toyo meroyan sehari dua ini.

Mungkin agak sukar bagi Khir Toyo mempercayai atau menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah hampir ke penghujung umpama bekas Ketua Penerangan Umno iaitu Muhammad Taib yang juga mantan MB Selangor dahulu. Bayangkan bagaimana perasaannya bila Umno di Selangor yang beliau pernah pimpin sebagai MB serta Pengerusi Perhubungan Umno bertahun-tahun, tiba-tiba beralih ke tangan anak jati Pahang. Mungkin Najib sudah membaca awal-awal denyut nadi ahli-ahli Umno Selangor yang sudah menolak Khir Toyo, maka Najib pun cuba untuk memulihkan semangat ahli Umno di Selangor. Saya rasa usaha Najib sudah terlewat kerana rakyat di Selangor mungkin ramai yang sudah lupa bagaimana rupa lambang Umno dan mungkin juga ramai yang sudah tidak menghafal lagu Umno.

Walau apa pun, saya tetap menghormati Khir Toyo kerana janji beliau untuk terus berkhidmat kepada pengundi-pengundi di kawasannya meski pun beliau telah digantung selama 1 tahun. Sebagai Adun, itu sememangnya kewajipan beliau meskipun buat kali terakhir sebelum pilihanraya umum akan datang. Kadangkala terasa ada `badi' atau `saka' bagi kerusi MB Selangor ini. Mantan MB Abu Hassan, Muhammad Taib dan Khir toyo kesemuanya meninggalkan kerusi dalam keadaan berbagai kontroversi dan kisah-kisah pelik. Mungkinkah MB Selangor di bawah PR sekarang mewarisi `saka' tersebut? Hanya rakyat Selangor yang dapat memberikan jawapannya.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

1 ulasan: