Rabu, 6 Mei 2009

MENGAPA KAWAN DAN LAWAN MULA MENYERANG DS ANWAR?


Bukan niat dan tujuan saya untuk menulis di dalam blog ini semata-mata untuk mengangkat imej DS Anwar seolah-olah beliau terlalu maksum dan bersih umpama `Nabi'. Saya tiada kepentingan apa-apa, malahan DS Anwar tidak pernah mengenali saya hatta bersentuh tangan sekalipun. Tetapi, saya merasa amat janggal jika tidak menulis atau mengulas tentang tokoh reformasi tersebut kerana sejak kebelakangan ini nama beliau sering diburukkan serta dikaitkan dengan isu yang sama sekali di luar peranan beliau selaku Ketua Pembangkang atau Ketua PR. Amat malang sekali, sejak akhir-akhir ini yang kerap memburukkan imej DS Anwar adalah rakan-rakan di dalam PR sendiri yang mereka itu hanya sekadar pimpinan kawasan atau bahagian yang kononnya bersuara untuk akar umbi.

Kesangsian mula timbul, mengapa ketika disaat PR sedang mempersiapkan peralatan `perang' untuk bertempur dengan musuh di Dun Penanti dan ketika PAS kini sedang rancak di dalam kempen pemilihan pucuk pimpinan di semua peringkat, isu berkaitan DS Anwar rancak dipermainkan? Namun begitu, saya bersyukur kerana agenda memburukkan nama DS Anwar di dalam PR tidak dipedulikan oleh kepimpinan utama PR yang lain terutamanya PAS. Betapa pemimpin-pemimpin utama PR ini begitu bijak memikirkan rentak politik jangka panjang yang bakal mereka lalui bersama. Apakah agenda memburukkan DS Anwar sejak kebelakangan ini ada kemungkinannya dengan agenda pihak luar yang ingin memecah belahkan PR atau sengaja diada-adakan untuk mendapatkan nama pada segelintir yang bercakap tentang isu ini?

Saya terkilan dengan satu suara yang dikatakan dari pemimpin yang mengaku mewakili ahli PAS sepertimana yang dipetik oleh Malaysiakini. Jika benar seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini (06 Mei 2009) itu, suara tersebut benar-benar sumbang dan membawa kepada keyakinan saya bahawa mereka telah diresapi oleh `badi' Umno atau mungkin masih terdapat pada diri mereka `saka' Umno. Di dalam kenyataannya, DS Anwar dianggap berlagak seperti berkuasa penuh ke atas PR sehinggakan DS Anwar akan berbuat sesuka hatinya tanpa berunding dengan pimpinan PR yang lain. Contoh yang diberikan oleh mereka adalah berkenaan perletakan jawatan Adun Penanti baru-baru ini. DS Anwar dikatakan tidak berunding tentang perkara tersebut bersama pimpinan PR yang lain. Maka, hujahnya DS Anwar berlagak seperti berkuasa penuh ke atas PR.

Isu Adun Penanti, Fairus sebenarnya telah lama diketahui masyarakat di Dun Penanti. Malahan YAB KM Menteri P.Pinang pun turut mengetahui masalah yang dihadapi oleh bekas TKM 1 P.Pinang ketika itu. Memandangkan Fairus adalah ahli PKR, maka wajar bagi pimpinan PKR menangani masalah tersebut secara dalaman. Pimpinan PKR sudah tentu tidak terlalu gopoh untuk mengistiharkan perletakan jawatan Fairus selagi permasalahan dan kata sepakat dapat dicapai di dalam pimpinan PKR. Akhirnya, keputusan yang diambil oleh pimpinan PR adalah wajar kerusi Dun Penanti dikosongkan agar tiada lagi isu atau permasalahan yang berbangkit selepas ini. Sebenarnya, Fairus sejak awal lagi telah menyuarakan untuk meletakkan jawatan tetapi pimpinan PKR memberi ruang kepada beliau berbincang terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad diambil.

Saya tidak faham mengapa dikatakan DS Anwar bersikap sendirian di dalam menangani masalah Fairus ini. Apakah langkah DS Anwar ini bakal menggugat PR di P.Pinang khususnya atau bakal menguatkan lagi PR di P.Pinang? Lupakah kita suatu kisah di Selangor selepas beberapa hari PR menguasai Dun Selangor di dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu? Apakah kejadian `perjumpaan sulit' beberapa pimpinan PAS dengan PM dan bekas MB ketika itu dimaklumkan terlebih dahulu dengan pimpinan PR yang lain? Seingat saya, DS Anwar tidak mengulas sedikit pun tentang isu perjumpaan sulit tersebut. Apakah kejadian ini boleh dipandang ringan daripada isu perletakan Fairus selaku Adun di P.Pinang? Bukan tujuan saya untuk membuat perbandingan sebegini, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh berfikir yang mana satukah yang boleh menghancurkan kerjasama sesama PR. Sikap mencari kesalahan pihak lain demi untuk menunjukkan kita semua betul patut dihapuskan sama sekali. Apa yang penting segala tindakan yang dibuat, akhirnya mendapat manafaat bersama.

Sekali lagi saya menyeru agar jangan kita mencari sesuatu isu yang boleh dijadikan peluru oleh musuh kita untuk menembak kita. Saya percaya dan berharap agar ianya benar, bahawa segala tuduhan yang menyatakan DS Anwar berlagak seperti berkuasa penuh seperti yang dilaporkan itu bukan datang dari pimpinan PAS atau DAP tetapi ianya datang dari `hantu-hantu' yang kini mula berkeliaran di Dun Penanti. Apakah itu sebagai pertanda awal bahawa Umno bakal menghulurkan `keris'nya di Dun Penanti?


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan