Sabtu, 9 Mei 2009

PEMBEBASAN TAHANAN ISA - PERLUKAH BERTERIMA KASIH?


Benarkah janji kerajaan untuk membebaskan 13 orang lagi tahanan Akta ISA membuktikan kerajaan kini telah berlaku adil? Sebagai manusia yang mementingkan budi bahasa,seharusnya kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah membuat janji tersebut. Lebih-lebih lagi berbanyak terima kasih kepada Adun Kota Alam Shah YB Manoharan yang telah `batuk' sedikit sahaja, maka besar kesannya dan teman-teman beliau seramai 12 orang pun bakal bebas tidak lama lagi.

PM berkata tiada kena mengena pembebasan tahanan Akta ISA itu dengan `gertakan' YB Manoharan untuk meletakkan jawatan sebagai Adun Kota Alam Shah. Kita hormatilah pandangan PM baru kita itu dan kita juga mungkin mempunyai pandangan yang lain bahawa YB Manoharan telah pun melakukan sesuatu yang bijak. Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Dato' Hishamudin dengan egonya berkata beliau bukan orangnya yang akan menurut atau takut kepada ugutan YB Manoharan untuk meletakkan jawatan selaku Adun bagi membolehkan Pilihanraya Kecil di Dun Kota Alam Shah. Kita juga kena hormati kata-kata beliau, tetapi bukan semua rakyat dungu belaka. Jika kita berada di tempat PM atau Menteri Dalam Negeri, mungkin kita akan buat begitu juga kerana tiada pilihan lain. Atas apa jua alasan pembebasan terhadap 13 orang tahanan Akta ISA ini, hakikatnya adalah ini adalah kesan daripada tekanan yang diberikan oleh PR terhadap kerajaan Bn sekarang. Termasuk juga kempen yang berterusan oleh GMI dan beberapa NGO's yang lain. Ini merupakan satu hadiah istimewa PR buat rakyat keseluruhannya. Usaha ini tidak terhenti setakat ini, PR harus lebih berusaha agar tiada lagi makhluk yang bernama manusia di`pelihara' dalam penjara tanpa dapat membela diri.

Perlukah berterima kasih kepada kerajaan? Jawapannya perlu kerana kita ada budi bahasa. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu telah mencuri motosikal kita kemudiannya dia memulangkan kembali tetapi hanya tayar sahaja, kita wajar berterima kasih kerana berbudi bahasa tetapi kita tuntut agar motosikal kita dikembalikan bukan tayar semata-mata. Meskipun motosikal kita masih di dalam miliknya, kita berterima kasih kerana memulangkan sebahagian daripada milik kita. Namun, Jika kita tidak berterima kasih pun tidak menjadi salah kerana sememangnya itu motosikal kita yang dicurinya. Dia hanya memulangkan barang yang dicuri bukannya meminjam. Dia yang sepatutnya berterima kasih kepada kita kerana kita tidak membuat laporan atau mendakwanya atas kesalahan yang dia lakukan.

Akta ISA sememangnya satu akta yang kita anggap salah dalam aspek hak asasi manusia, lebih-lebih lagi dalam perundangan Islam. Sehubungan itu, kerja yang dilakukan terhadap benda yang salah selagi tidak dihapuskan kesemuanya, perlukah kita berterima kasih lebih-lebih lagi menyanjung tinggi melangit? Usaha GMI untuk berdebat dengan PEWARIS memang wajar kerana GMI merasakan perjuangannya selama ini betul. PEWARIS pula seperti `malu-malu kucing' untuk menyahut cabaran GMI. Mengapa perlu demikian jika PEWARIS merasakan Akta ISA itu bertepatan dengan Islam atau pun berjuang mempertahankannya adalah `Jihad' dalam Islam ?

Sekali lagi terima kasih buat PM yang `memulangkan' sedikit tahanan yang `diambil'nya dan kita menyeru agar pulangkan semuanya ke pangkuan rakyat dan keluarga mereka. Terima kasih juga buat menteri-menteri yang kuat `anggukan' kepalanya bila PM buat keputusan bebaskan tahanan tersebut meskipun sebelum ini bertegang urat mempertahankannya. Alasannya, sudah sampai masanya mereka dibebaskan dan menteri-menteri ini pun angguk ligat tanpa sepatah bantahan seperti sebelum ini. Kita tidak tahu bila pula sampai masa tahanan-tahanan yang lain untuk dibebaskan. Saya percaya suatu hari nanti, bila kerajaan buat keputusan untuk menghapuskan mata pelajaran sains dan metamatik dalam bahasa Inggeris, maka menteri-menteri ini akan angguk lagi dan akan berkata memang sudah sampai masanya.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan