Khamis, 21 Mei 2009

PILIHANRAYA LEBIH PENTING DARI NIZAR dan ZAMBRY

Hari ini mahkamah akan menjadi tumpuan kepada seluruh masyarakat terutamanya di Negeri Perak. Rakyat Perak telah lama menderita akibat permainan politik kotor yang dirancang oleh konspirator politik yang bangsat. Samada mahkamah boleh dipercayai atau tidak, samada Nizar masih diakui sebagai MB Perak atau tidak, ianya tidak lagi penting buat rakyat Perak kini. Rakyat Perak kini hanya mahukan satu perkara sahaja iaitu pilihanraya mesti diadakan semula di Negeri Perak. Lupakan mahkamah, lupakan Nizar dan persetankan makhluk-makhluk perosak demokrasi di Perak selama ini. Negeri Perak harus diselamatkan, rakyat harus diutamakan (meminjam kata-kata PMR - Perdana Menteri Rakyat).

Kita tidak tahu sampai bila rakyat di Negeri Perak sanggup bertahan lagi sekiranya Dun Perak tidak dibubarkan. Samada Nizar atau Zambry diiktiraf oleh mahkamah sebagai MB Perak yang sah, hakikatnya sistem demokrasi di Perak telah lumpuh dan rosak samasekali. Dewan Undangan Negeri yang merupakan lambang demokrasi serta tempat yang begitu mulia menjunjung demokrasi di Perak kini sudah musnah dan dewan tersebut kini ibarat kedai kopi di kampong-kampong sahaja. Kemuliaannya tercemar oleh `Musang Berjanggut' yang tamak dan rakus kuasa. Alangkah besarnya dosa mereka kepada rakyat jelata di Perak kerana perbuatan tangan-tangan kotor mereka sehinggakan dewan yang mulia tersebut tercemar sedemikian rupa. Betapa tergamaknya mereka mencemar nama baik institusi raja demi untuk menghalalkan perbuatan mereka. Perbuatan khianat mereka umpama `batu api' untuk memisahkan ketaatan rakyat kepada raja tidak boleh dimaafkan semudah itu.

Rakyat Perak sudah bosan dengan teori perundangan dari pelbagai pakar undang-undang dan beribu-ribu peguam bagi menghuraikan konflik politik yang melanda Perak ketika ini. Telinga Rakyat Perak sudah kebas untuk mendengar berbagai hujah dan ulasan oleh beribu-ribu penganalisa politik tentang keadaan di Perak. Bukan rakyat Perak sudah tidak percayakan lagi kepada sistem perundangan dan kehakiman, tetapi rakyat Perak telah melihat sendiri betapa undang-undang dipermainkan dan diputarbelitkan serta diolah mengikut selera mereka yang rakus dan durjana itu. Rakyat menjadi pertaruhan mereka untuk duduk di kerusi kuasa yang mungkin pada mereka kuasa yang mereka idamkan itu akan kekal sehingga ke liang lahad.

Ingin saya menyelami hati nurani rakyat Perak seperti kata PMR (Perdana Menteri Rakyat) bahawa beliau mahu agar denyut nadi rakyat didengar. Kini, bukan denyut nadi rakyat yang telah kita dengar, bahkan degupan jantung mereka telah didengari di seintero dunia. Mereka mahu segala kerosakan demokrasi dipulihkan. Mereka bukan memuja Nizar, pasti juga tidak mahukan Zambry, tetapi mereka mahukan pilihanraya diadakan dan biarkan majoriti bakal menentukan pemimpin mereka. Hanya keberanian dan keikhlasan sahaja yang boleh memulihkan semula kestabilan di Perak. Persoalannya, adakah yang berani berkorban untuk rakyat?

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan