Selasa, 19 Mei 2009

PRK DUN PENANTI - AWAS! CALON `HALIMUNAN' MUNCUL

Gelanggang pertarungan hampir dibuka di Dun Penanti. Sehingga kini kelihatan calon PKR yang mewakili PR sedang melakukan warm-up bagi mengharungi pertarungan yang pastinya hebat nanti. Bukan calang-calang pertaruhan di Dun penanti, tetapi pertaruhan di sana adalah maruah parti. Pihak lawan yang ditunggu-tunggu dan dijangkakan akan memberi tentangan hebat kepada PR adalah Umno, malangnya belum pun gendang pertarungan dibunyikan, pendekar Umno menarik diri. Walhal sebelum ini, guru kepada segala pendekar Umno ini begitu lantang bersuara seolah-olah mereka lah yang paling kuat dan gagah.

Gelanggang sudah disediakan dan pertarungan wajib diadakan juga. Pedulikan samada Umno berani atau tidak, pedulikan juga ribuan alasan yang diberikan oleh Umno untuk tidak menunjukkan `jantan' mereka di Dun Penanti. Apa yang penting, jika tiada calon sekalipun yang sanggup berdepan dengan PR di Dun Penanti, pendekar kita mesti juga mempersembahkan `lenggok tari pendekar'nya. Itulah pahlawan sebenarnya, tiada musuh kita ubah rentak kepada `tarian dan lenggok silat pulut' sahaja. Namun saya yakin, MUSTAHIL mereka ingin melihat pendekar kita bersilat pulut. Mereka pasti ingin melihat pendekar kita ditentang, jika tidak dapat ditewaskan pun mereka berasa puas sekiranya pendekar kita dapat dicederakan.

Siapakah calon yang bakal mendapat tajaan bertuah nanti? tidak mustahil ada calon yang ditaja dan mungkin juga yang beroleh pendapatan lumayan dengan hanya sanggup menarik diri agar tidak terlalu ramai berada di dalam gelanggang itu nanti. Strategi mereka di Dun bukit Selambau terbukti memakan diri apabila terlalu ramai pendekar berada di dalam gelanggang untuk berdepan dengan pendekar dari PR. Mereka telah belajar dari peristiwa di Bukit selambau dan amat bodoh sekiranya mereka masih berharap strategi yang serupa.

Pakatan Rakyat dipercayai tidak akan leka dan alpa dengan situasi sekarang. Biarpun Umno tidak meletakkan calon mereka, PR mestilah sentiasa menganggap dan mengandaikan sesiapa jua yang berdepan dengan mereka di Dun Penanti nanti adalah `jelmaan Umno'. Anggaplah Umno seperti `halimunan' atau makhluk yang boleh merupa-rupa dan kadangkala ghaib serta menyerap ke dalam jasad orang lain. Apa yang penting, kuatkan iltizam dan perpaduan di kalangan PR agar rakyat akan terus dapat dibela meskipun Umno tidak lagi sanggup menjadi pembela atau wakil mereka di Dun Penanti.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan