Rabu, 20 Mei 2009

RAKYAT TENTUKAN KERAJAAN - BEKAS PEGUAM NEGARA


BANDARAYA MELAKA – “Mungkin sudah tiba masanya rakyat Perak diberi peluang menggunakan hak mereka bagi menentukan kerajaan pilihan mereka,” kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman.

Perkara itu adalah selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan hanya kerajaan yang stabil akan dapat memastikan hak kepada keamanan dan pembangunan.

Beliau berkata demikian semalam dalam satu kenyataan akhbar terhadap insiden di Perak yang dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan Suhakam 11 Mei lalu.

Katanya, insiden yang berlaku semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei lalu, polis dan kakitangan awam bertindak bersama kerajaan yang memperoleh kuasa dengan keadaan yang kontroversi.

“Ia sekali gus membelakangkan prinsip hak asasi manusia walaupun kerajaan boleh berubah, namun mereka yang bertugas dalam polis dan pentadbiran mesti tetap setia kepada kepentingan awam dan menghormati hak asasi manusia.

“Usul memecat Speaker Dewan yang sah dan pengusiran beliau dari dewan serta tindakan polis menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ahli masyarakat keseluruhannya.

“Seterusnya menimbulkan persoalan sama ada kepentingan politik mengatasi kepentingan awam,” katanya semalam.

Menurutnya, Malaysia adalah negara demokratik yang berpegang kepada hak asasi manusia dan sistem perundangan adil.

Namun, kecelaruan yang berlaku pasti meninggalkan titik hitam dalam usaha kita mempromosi prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, katanya kerajaan diharap akan dapat bertolak ansur dan menghargai demonstrasi awam secara aman berbanding polisi dan tindakan yang dianggap kurang popular.
~~Sumber Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan