Isnin, 1 Jun 2009

KEPUTUSAN PRK DUN PENANTI - LEMAHKAN SEMANGAT UMNO DI MANEK URAI

Oleh: WFAUZDIN NS

TERNYATA, jangkaan yang merisaukan saya tidak menjadi kenyataan. Saya pernah menyuarakan kebimbangan saya bahawa kemungkinan ramai penyokong-penyokong PAS akan memboikot PRK Dun Penanti kerana PAS tidak diletakkan sebagai calon di situ. Nampaknya saya perlu banyak belajar lagi semangat dan iltizam ahli-ahli PAS. Syukur, dan tahniah diucapkan kepada semua penyokong PAS serta DAP yang telah membuktikan bahawa tiada sesiapa pun dapat menembusi tembok pertahanan yang dibina bersama di dalam PR. Sesungguhnya, kemenangan calon PKR di Dun Penanti memang sudah dijangka tetapi jumlah undi yang diterima oleh Dr Mansor Othman samasekali tidak diduga dalam keadaan Umno/Bn memboikot PRK tersebut.

Dr Mansor Othman memperolehi undi sebanyak 6,052 undi dengan mendapat majoriti besar iaitu sebanyak 5,558 undi. Di dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu, calon PKR Fairus telah memenangi kerusi tersebut dengan mendapat undi sebanyak 7,346 undi. Adakah ini bermakna undi untuk calon PKR telah merosot sebanyak 1,294 undi? Jawapannya ya, tetapi mengapa ianya merosot sudah tentu ada faktor-faktor tertentu yang pastinya akan diterangkan oleh pucuk pimpinan PKR selepas ini. Saya berani beri jaminan bahawa kehilangan undi sebanyak 1,294 itu bukan kerana mereka tidak menyokong PKR tetapi jumlah yang lebih ramai daripada itu sebenarnya tidak datang mengundi. Kebanyakan pengundi dari luar terutamanya yang jauh tidak pulang mengundi kerana mereka sebenarnya yakin PKR mampu memenangi kerusi tersebut apatah lagi dengan Umno sendiri yakin PKR juga boleh menang. Faktor lain juga mungkin kerana hilangnya `semangat' penyokong-penyokong PR untuk mengundi memandangkan lawan yang akan dihadapi oleh PKR hanyalah dari calon bebas.

Saya juga tersilap di dalam perkiraan saya apabila sudah tentu calon PKR akan mendapat tentangan dari seorang calon bebas, Kak Min yang menuduh PKR cuba merasuah beliau dengan wang ringgit dan jawatan KM 1 P.Pinang. Kak Min atau `Minah Ronggeng' nama yang digelar oleh YB Azmin dan Kak Min sendiri tidak kisah dengan gelaran tersebut, hanya mampu mendapat undi sebanyak 392 undi serta hilang wang pertaruhan. Bagaimana seorang yang bertanding sehingga hilang wang pertaruhan tergamak PKR untuk menawarkan jawatan KM 1 P.Pinang ? Paling saya tidak sangka kehebatan Kak Min yang sering muncul di kaca TV walaupun tergagap-gagap telah kalah dengan undi yang diperolehi oleh seorang lagi calon bebas iaitu Khan Ari yang telah mendapat undi sebanyak 494. Mungkin Khan Ari mendapat lebih banyak undi simpati melebihi Kak Min kerana Khan Ari telah menyertai pilihanraya ini dengan cara yang bersih dan jujur. Tentulah lojik jika PKR menawarkan jawatan KM 1 P.Pinang ini kepada Khan Ari daripada Kak Min. Saya cadangkan agar pimpinan PKR P.Pinang dapat memujuk agar Khan Ari ini menyertai PKR kerana beliau lebih dipercayai dan tentunya lebih jujur. Kesemua calon bebas telah hilang deposit mereka sebanyak RM5 ribu seorang dan tentunya jika ada calon yang ditaja oleh sesiapa dan sanggup menjadi `kuda tunggangan' mungkin tidak rugi apa-apa.

Keputusan PRK Dun Penanti ini telah menunjukkan satu lagi isyarat bahawa Umno khususnya akan berterusan akan ditolak oleh rakyat. Nasib menyebelahi Umno kerana tidak terlajak untuk turut serta di dalam PRK Dun Penanti ini. Jika tidak, kita tidak tahu di mana lagi Umno ingin menyorokkan logo keris pejuang Melayunya itu. Ternyata bumi Permatang Pauh terlalu `keramat' dan bagaikan sumpahan buat Umno. Mungkin `badi' dua kejadian `sumpah' sewaktu PRK Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi oleh DS Anwar sebelum ini telah memakan tuan. Najib pernah bersumpah di dalam masjid sewaktu pilihanraya tersebut yang sebelum itu dimulai dengan sumpah laknat Saiful sehari sebelum hari penamaan calon. Sumpah oleh Raja Sesumpah tidak terkira oleh saya.

Selepas ini di hadapan kita adalah PRK Dun Manek Urai dan tiba pula giliran PAS untuk berpencak silat di sana. Umno telah memberi jaminan akan turut serta bagi mempamerkan `kejantanan' nya yang telah sekian lama terpendam. Tetapi saya tertanya-tanya apakah `kejantanan' yang ada pada Umno setelah saya mendengar kenyataan dari Ketua Penerangannya bahawa Umno akan menggunakan sistem 4M di dalam pilihanraya tersebut. Sistem 4M tersebut terasuklah juga media elektronik dan cetak. Mungkinkah TV/Radio kerajaan dan akhbar perdana akan digunakan oleh Umno sepanjang kempen itu nanti? Jika benar, ini bermakna Umno yang bakal turun di Manek Urai belum cukup `kejantanan' nya.

WFAUZDIN. BLOGSPOT.COM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan