Rabu, 3 Jun 2009

SELAMAT BERMUKTAMAR - MENGAPA BLOGGER DILIHAT SEPERTI MENYOKONG HUSAM?

Mana satu pilihan PAS?


Oleh: WFAUZDIN NS


ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana diberi peluang sekali lagi untuk PAS meneruskan agenda perjuangannya bagi mencapai hasrat yang dituntut oleh Allah S.W.T. Selamat bermuktamar saya ucapkan kepada semua perwakilan dan ahli-ahli PAS seluruh negara. Saya penuh yakin, muktamar kali ini lebih baik, tersusun serta penuh etika dan bersih sepertimana muktamar-muktamar sebelum ini. Secara peribadi, saya ucapkan tahniah kepada Al Fadhil Tuan Guru Hj Hadi Awang yang telah mengekalkan jawatan Presiden PAS tanpa pertandingan. Sesungguhnya era kepimpinan Ulamak masih terus dipertahankan dan masih releven di kalangan ahli-ahli PAS dan ini membuktikan bahawa Ulamak mampu memimpin negara bahkan dunia ini.

Sejak kebelakangan ini sememangnya kita melihat aktiviti kempen di dalam PAS bagi merebut jawatan yang dipertandingkan agak berbeza dari muktamar-muktamar yang sudah. Hakikat ini terpaksa diterima oleh PAS kerana zaman telah mula berubah dan PAS kini semakin dilihat sebagai sebuah parti alternatif bagi menggantikan Umno yang semakin karat itu. Bezanya, kempen yang berlaku di dalam PAS sekarang terutamanya kempen oleh calon-calon itu sendiri terlalu jauh bezanya dengan cara kempen dalam pemilihan Umno. Sehingga kini, tiada satu pun aduan atau dakwaan berlakunya rasuah dalam apa bentuk punsepanjang kempen oleh calon-calon PAS yang bertanding. Inilah kelebihan yang ada pada PAS.

Oleh kerana PAS sudah menjadi parti yang mulai diterima oleh semua golongan dan etnik di negara ini, maka tidak hairanlah PAS juga menjadi perhatian kepada media-media perdana di bawah kawalan kerajaan Umno/Bn dan juga media alternatif lain seperti laman-laman web dan blog di internet. Kewujudan blogger yang bercambah dari masa ke semasa semenjak PR berjaya menjinakkan Umno/Bn, membawa maksud rakyat kini berminat untuk mendekati dunia politik yang serba mungkin ini. Apa yang lebih menggembirakan, kebanyakan blog-blog yang baru wujud adalah sebagai pendukung kepada PR dan juga peminat kepada PAS.

Mungkin terdapat satu dua blog yang dilihat seperti pro kepada PAS atau PR, tetapi mereka berfungsi umpama `api di dalam sekam' yang ingin melihat perpecahan akan berlaku di dalam hubungan antara PAS dengan rakan-rakan lain di dalam PR. PAS tidak perlu bimbang kepada blog-blog seperti ini kerana masih ramai blogger yang tetap akan memantau blog-blog pengkhianat tersebut dan kami bersedia menghadapinya bagi menentukan cita-cita mereka akan gagal. Sebagai contoh, mengapa seminggu dua ini terlalu banyak blog yang dilihat seolah-olah berkempen untuk YB Paduka Husam Musa? Saya akui di dalam blog saya ini juga banyak saya menulis tentang calon Timbalan Presiden PAS itu. Ini bukan bererti kami menyokong seseorang calon yang lain dan menolak calon yang lain. Kami banyak menumpukan kepada mempertahankan Husam adalah kerana beliau terlalu banyak dijadikan sasaran oleh pengkhianat-pengkhianat ini. Siapakah yang memulakan `peperangan cyber' seperti ini? Kami sedia menghadapinya semata-mata ingin melihat PAS terus hidup berganding tangan dengan rakan-rakan PR yang lain. Kami juga tidak mahu melihat PAS meninggalkan prinsip perjuangannya.

Kami pernah menegur dan mengkritik apabila terdapatnya pihak di dalam PAS menjalankan usaha `sulit' dengan pihak musuh di dalam keadaan PR mula mendapat kuasa di Selangor. Apakah kami anti kepada pemimpin tersebut? Sebenarnya kami tidak mahu pemimpin PAS terleka dan lalai dengan kemenangan yang baru diperolehi sehinggakan melupakan rakan-rakan sewaktu di dalam kesusahan. Sehingga kini pun masih terdapat beberapa pihak yang terlalu berselera dengan kerjasama bersama Umno. Lebih malang lagi, pemimpin ini sering mendapat kerjasama dari penulis blog seperti kami untuk mendewa-dewakan pemimpin berkenaan dan lantang mengkritik pemimpin yang menentang kelakuan biadap mereka itu. Di antara pemimpin yang menjadi sasaran mereka adalah Husam Musa, kerana Husam dilihat adalah seorang peimpin yang kritikal dan radikal menentang usaha bekerjasama dengan Umno. Sasaran dan matlamat mereka adalah Husam perlu `dibunuh' di dalam kerjaya politiknya.

Apakah apabila kami mempertahankan Husam tidak membantu memperkuatkan PAS? Atau mungkinkah apabila kami menyokong pemimpin yang telah keluar dari `kelambu' PR secara sembunyi-sembunyi dan merangkak memasuki `kelambu' Umno di tengah malam akan memperkuatkan PAS juga? Inilah persoalannya dan inilah juga jawapannya mengapa kami begitu simpati dengan Husam dan begitu kritis dengan pemimpin yang merangkak malam tersebut. Mengapa pula kami tidak banyak memaparkah tulisan berkaitan Mat Sabu? Mungkin kerana Mat Sabu tidak diserang sehebat Husam. Saya hanya memaparkan petikan temubual bersama Mat Sabu kerana inginkan pengunjung blog saya yang sedikit ini tahu arah perjuangan Mat Sabu (Sila lihat ).

Mat Sabu pada saya layak dijadikan pemimpin nombor dua di dalam PAS walaupun beliau bukan Ulamak. Ulamak bagi saya adalah yang komited terhadap perjuangan Islamnya dan tidak akan mengkhianati rakan-rakannya apatah lagi merangkak secara sembunyi diwaktu malam. Bagi saya Ulamak jenis yang merangkak dan merayap ini bukan Ulamak, tetapi `Ular dalam semak'.

Sekali lagi diucapkan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan, mudah-mudahan Allah memberi pertunjuk kepada semua untuk memilih kepimpinan yang terbaik di dalam PAS. Saya secara peribadi memohon kemaafan sekiranya di dalam beberapa tulisan saya menyinggung perasaan mana-mana pihak kerana saya terlalu menyayangi PAS. Walau sesiapa pun yang terpilih selepas ini, saya percaya semua pihak kena akur dengan kehendak perwakilan yang membawa suara hati ahli-ahli PAS di akar umbi. Mudah-mudahan PAS akan terus kuat dengan kepimpinan yang baru nanti, InsyaAllah.

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan