Selasa, 14 Julai 2009

PENYAMAR PEGAWAI SPR KANTOI

Polis halau penyamar pegawai SPR
Jul 14, 09 9:03am
kemaskini 12.22am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 12 tengah hari sudah mencecah 68.4 peratus atau 8,415 pemilih menunaikan tanggungjawab - empat jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.

kemaskini 11.35am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 11 pagi ini sudah mencecah 57.6 peratus atau 7,085 pemilih menunaikan tanggungjawab - tiga jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.

kemaskini 11.20am Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin parti itu akan mengekalkan kerusi DUN Manek Urai, tetapi dengan majoriti yang berkurangan.

Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau juga menjangka jumlah pemilih yang keluar mengundi hari ini ialah di sekitar 84 peratus.

"Saya tidak menjangka ramai akan pulang (untuk mengundi) kerana hari ini Selasa (hari bekerja di luar Kelantan).

"Namun begitu, dari maklum balas yang diterima, ada yang telah pulang (untuk mengundi).

"Kerana itu kita menjangka menang tetapi jumlah majoriti kurang," katanya.

kemaskini 10.50am Penyokong PAS mengepung sebuah kereta yang dinaik mereka disyaki menyamar sebagai pegawai SPR yang mengguna pelekat dan masuk ke pusat pengundian di Manjor.

Penyokong PAS meminta identiti mereka. Polis kemudiannya campur tangan dan mengesahkan mereka bukan pegawai SPR dan mengarahkan mereka beredar dari situ.

Penyokong PAS itu turut mengoyak pelekat yang ditampal di kereta tersebut sambil melaungkan "penyamar".

kemaskini 10.39am Di SK Manek Urai Lama, kira-kira 250 penyokong PAS balas-membalas sorakan dengan lebih kurang 200 penyokong BN.

Penyokong PAS menjerit "rasuah" dan "Altantuya" (Shaariibuu) kepada lawannya, dan kedengaran ungkapan lucah berkonotasi liwat dari arah kumpulan BN yang berada di seberang sebatang jalan kampung.

kemaskini 10.23am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi ini sudah mencecah 38.3 peratus atau 4,706 pemilih menunaikan tanggungjawab - dua jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.

kemaskini 10.05am Di Manek Urai Baru pula, seorang wanita dipercayai penyokong Umno "naik angin" kerana tidak tahan mendengar bacaan salawat dan takbir yang kuat dan tidak henti-henti oleh penyokong PAS.

Insiden dekat SK Manek Urai Baru bermula lebih kurang 9.10 pagi, tidak lama selepas MB Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan kawasan tersebut.

Laungan takbir yang diselang-seli dengan selawat kira-kira 150 penyokong PAS, kebanyakan lelaki - yang berada di sebelah sekumpulan 50 penyokong BN, rata-ratanya wanita - menimbulkan rasa gelisah wanita terbabit.

Beliau kelihatan berbincang dengan beberapa petugas PAS dan dengan muka berangnya bersuara dengan nada sedikit tinggi. Bagaimanapun suaranya ditenggelami laungan penyokong PAS. Beberapa anggota polis kemudian kelihatan cuba memisahkan kumpulan parti-parti politik bertanding itu. Kira-kira 30 anggota polis ditempatkan di situ.
kemaskini 9.29am Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai bermula sejak lebih sejam lalu, dengan kedua-dua calon, Tuan Aziz Tuan Man dari BN dan Mohd Fauzi Abdullah dari PAS meninjau pusat pengundian.

Kedua-duanya bukan pengundi dalam DUN tersebut.

Manek Urai mempunyai 12,293 pengundi, dengan 99.2 peratus Melayu manakala bakinya pemilih Cina dan India.

Keputusan pilihanraya kecil hari ini akan menandakan sama ada PAS dan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat mampu mengekalkan pengaruhnya di Kelantan yang telah ditadbir selama 19 tahun.

Manakala BN, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pula mengharapkan kemenangan di Manek Urai bagi menamatkan kekalahan berterusan BN dalam semua pilihanraya kecil - kecuali DUN Batang Ai di Sarawak - selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Nik Aziz yang tiba di pusat mengundi di SK Perai 10 minit awal, terpaksa menunggu ketibaan Mohd Fauzi.

Calon PAS itu tiba jam 8.10 pagi dan mencium tangan menteri besar tersebut sebagai tanda hormat, manakala para penyokong pula melaungkan "Allahu Akbar".

Manakala kumpulan Wanita Umno di bersebelahannya pula menempik "Hidup Melayu". Calon BN kemudiannya beredar ke Manek Urai Lama.

Nik Aziz dan Fauzi yakin PAS akan mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dalam pilihanraya kecil hari ini.

Manakala Tuan Aziz pula berkata pula yakin sekurang-kurangnya 51 peratus pemilih akan mengundi BN.

"Setakat semalam, sokongan makin meningkat," katanya.

Sebelum ini, para pengundi mula menyemak nama masing-masing dalam senarai pemilih di pondok yang disediakan oleh SPR.

Keadaan di sekitar Manek Urai Lama bergerak perlahan. Cuaca baik dan anggota polis mengawal di setiap simpang. Banyak kawasan dijadikan jalan sehala.


kemaskini 9.05am Sembilan pusat pengundian dibuka mulai 8 pagi yang melibatkan 27 saluran dan diselia kumpulan pegawai lantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diketuai pegawai pengurus Adnan Hussin, yang juga ketua jajahan Kuala Krai.

Pusat pembuangan undi dan jumlah pemilih yang layak seperti berikut:

1. SK Temalir (983 orang)
2. SK Peria (2,019)
3. SK Manek Urai (1,890)
4. SK Manek Urai Baru (1,093)
5. SK Sungai Sok (980)
6. SK Chuchoh Puteri (1,517)
7. SK Lata Rek (1,094)
8. SK Kampung Karangan (1,049)
9. SMK Laloh (1,643)

Jumlah keseluruhan pemilih, termasuk 25 orang melalui pos, 12,293 orang.

SPR mensasarkan kira-kira 85 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi ada pilihan raya kecil ini.

Selepas pengundian ditutup pukul 5 petang ini, dan kemudian pengiraan undi di semua sembilan pusat berkenaan, penjumlahan undi akan dilakukan di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Keputusannya dijangka seawal-awalnya pukul 8 malam ini./Malaysiakini

1 ulasan:

  1. sampai bila nak menipu, inikah jenis motivasi yang diterapkan oleh BN kepada pengikutnya!! amat menyedihkan kerana mengaku Melayu dan Islam.

    BalasPadam