Isnin, 17 Ogos 2009

FOTO - Ramai pakai topeng pagi penamaan calon, dijangka 3 penjuru

17 Aug 2009 8:28AM

Oleh G.Manimaran

BUKIT MERTAJAM: Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir - yang diadakan dalam tempoh singkat sejak wujudnya kekosongan - berlangsung pagi ini dengan saingan dijangka melibatkan tiga penjuru.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil yang kelapan sejak Mac 2008 ini bermula 9 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap sedia untuk melangsungkan proses penamaan calon dengan kawalan keselamatan ketat pihak polis.

"Semuanya berjalan dengan lancar, kami menunggu waktu penamaan calon," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online pukul 8 pagi tadi.

Kata beliau, perarakan penyokong parti-parti yang bertanding belum kelihatan tetapi cuaca adalah cerah.

"Cuaca sejak pagi nampak cerah dan berdasarkan perkembangan setakat ini, saya yakin proses penamaan calon akan berjalan dengan lancar," katanya.

Proses penamaan calon berlangsung di sebalik beberapa pendekatan baru diperkenalkan dan keseriusan jangkitan wabak influenza A(H1N1).

Tinjauan mStar Online mendapati anggota pasukan keselamatan, pekerja pilihan raya dan pengamal media juga mengenakan topeng perlindungan pernafasan sebagai langkah berjaga-jaga.

Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof meminta semua parti yang bertanding agak mengawal penyokong iringan bagi mengawal ketenteraman awal dan mengelak jangkitan.

Seperti lazimnya parti-parti utama sudah mengumumkan calon masing-masing. Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh Rohaizat Othman, 38, yang juga penasihat undang-undang syarie adalah calon BN.

Calon PAS pula ialah Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52.

Calon Bebas yang mungkin bertanding ialah Kamarul Ramizu Idris, yang pernah bertanding di Bukit Gantang dan Penanti.

Kerusi Permatang Pasir itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai akibat sakit jantung

Dalam pada itu, beberapa jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan mulai pukul 6 pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang, DSP Wari Kiew sebelum ini berkata, langkah itu bagi melancarkan proses penamaan calon yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Jalan yang ditutup adalah Jalan Berapit di hadapan perkuburan cina Berapit dan simpang tiga Jalan Berapit/Jalan Mengkuang.

Kenderaan yang datang dari arah pekan Bukit Mertajam atau Bandar Perda dilencong ke Jalan Abdul Kadir atau Jalan Tok Elong ke Jalan Tanah Liat, Kubang Semang dan Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE).

"Kenderaan dari arah Kulim atau BKE pula akan dilencongkan di simpang tiga Jalan Mengkuang/Jalan Berapit ke Jalan Mengkuang arah ke Kulim bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan IKBN itu," kata beliau.

Tiga kawasan khas disediakan berhampiran IKBN untuk meletak kenderaan yang jaraknya antara 600 meter dan 1.4 kilometer dari pusat penamaan calon. / Mstar, Foto ihsan rakan Facebook.

*Foto PAS ihsan Irsyad Sidi yang menggunakan Facebook Mobile.

*Foto BN ihsan Lokman Noor Bin Adam yang menggunakan Facebook Mobile.


Sebahagian penyokong BN. Lagi foto-foto kumpulan BN dan PAS didalam

















Sumber: KLpost

Justify Full

Tiada ulasan:

Catat Ulasan