Isnin, 3 Ogos 2009

KECAMAN HEBAT BUAT PDRM

Tindakan terhadap peserta demo anti-ISA undang kecaman
Ogos 2, 09 2:00pm
Kerajaan berdepan dengan kecaman hebat kerana menangkap beratus-ratus orang dan menggunakan gas pemedih mata dan merima air untuk menyuraikan perhimpunan menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara, semalam.

Lebih 60 daripada 589 orang yang ditahan dalam perhimpunan semalam - yang disertai lebih 15,000 orang di pusat bandar Kuala Lumpur - masih ditahan, demikian menurut laporan media dan para peguam.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang turut menyertai perhimpunan anti-ISA semalam berkata beliau melihat sendiri polis yang didakwanya bertindak sewenang-sewenangnya melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas orang ramai.

Lim menuduh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bertindak 'membalas dendam' terhadapnya dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain kerana mereka mengadakan perbincangan meja bulat Parlimen minggu lalu, yang mendesak supaya KPN baru dilantik bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang selamat.

'Kecam Najib'

Beliau juga mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tindakan ganas kira-kira 5,000 anggota polis ke atas peserta perhimpunan anti-ISA semalam.

"Adakah ini satu petunjuk yang pentadbiran Najib akan menjadi lebih kejam daripada kerajaan semua perdana menteri sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957?" soalnya.

Najib sebelum ini menegaskan bahawa perhimpunan bantahan semalam tidak memberi sebarang makna kerana beliau telahpun berjanji untuk menyemak semula undang-undang tersebut selepas mengambil alih pentadbiran negara April lalu.

Manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bertanggungjawab terhadap Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pula dilaporkan berkata, ISA boleh dipinda secepat sesi parlimen yang akan datang.

Tetapi pihak pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia mendesak supaya akta ISA yang diwarisi dari zaman penjajah itu - yang digunakan untuk menahan penentang kerajaan serta suspek pengganas - dimansuhkan terus.

Latifah Koya, seorang peguam yang mewakili mereka ditahan semalam, berkata polis masih menahan peguam yang juga naib presiden PKR, R Sivarasa, serta isteri dan anak seorang tahanan ISA. Dua lagi kanak-kanak masih ditahan.

"Kami mengutuk keras tindakan polis itu. Mereka yang hanya memakai baju-T dengan logo anti-ISA, ditangkap. Kami mendedsak supaya mereka dibebaskan segera," katanya kepada AFP.

'Rakyat mahu perubahan'

pemimpin badan hak asai manusia juga turut mengecam tindakan polis semalam.

Presiden Aliran, P Ramakrisnan mengutuk tindakan keras polis ketika menyuraikan perarakan aman anti-ISA semalam.

Tegasnya, ribuan rakyat Malaysia yang prihatin menyertai perhimpunan semalam atas tanggungjawab patriotik mereka yang menolak ISA kerana disalahgunakan oleh BN.

Penganalisa politik, Khoo Kay Peng berkata, keputusan pilihanraya umum 2008 yang menyaksikan ramai rakyat menolak kerajaan BN, menunjukkan mereka mahu kebebasan yang lebih luas.

"Rakyat mahukan perubahan. Jika BN mahu kekal berkuasa, maka ia mesti mendengar hasrat rakyat yang mahukan kebebasan dan supaya hak individu dihormati," tambahnya.

"Mereka turun ke jalanan kerana kerajaan tidak menyediakan ruang alternatif untuk mendengar kehendak rakyat," katanya.

Khoo berkata, BN yang sedang berusaha memulihkan sokongan rakyat selepas pilihanraya umum 2008, berdepan dengan kemungkinan kalah dalam pilihanraya umum akan datang jika ia masih gagal melaksanakan pembaharuan demokrasi di negara ini. Berita asal

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan