Ahad, 2 Ogos 2009

Polis Diperkuda Pertahan Kebejatan UMNO/BN - ANWAR


02 Ogos 09

Semalam, puluhan ribu rakyat berpecah di lima kawasan sekitar Kuala Lumpur berhimpun secara aman dengan hanya satu tujuan, iaitu untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Puluhan ribu rakyat yang berani ini sekadar berhimpun dan berarak. Sangat mendukacitakan apabila saya dimaklumkan lebih 500 orang ditahan, dan di saat catitan ini dinukilkan, YB Sivarasa Rasiah antara mereka yang masih belum dibebaskan.

Tidak kelihatan pada mereka yang menyertai perhimpunan tersebut senapang gas pemedih mata, tidak juga penyembur air kimia, apatah lagi untuk sewenang-wenangnya menangkap orang awam yang sedang melaksanakan hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka hanya ada suara serta hanya mampu mengacung tangan menumbuk ke langit luas, tanda protes terhadap kezaliman puluhan dekad lamanya dengan harapan untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang adil untuk semua.

Jelas, tiada apa yang berubah di negara ini; tiap kali ada perhimpunan aman, pihak polis masih terus dijadikan tunggangan olih elit kuasa UMNO-BN dengan menggunakan pendekatan sama sebagaimana lalu untuk menghalang rakyat dari menyatakan pandangan.

Mereka yang tidak sehaluan dengan pemerintah dianggap musuh durjana, ancaman keselamatan dan harus dihukum sekeras-kerasnya. Hari ini, rakyat menyaksikan sekali lagi keangkuhan penguasa UMNO-BN memperalat pihak keselamatan demi mengekalkan kuasa dan mempertahankan kebejatan mereka.

ANWAR IBRAHIM

Sumber: Anwaribrahim.blog

Tiada ulasan:

Catat Ulasan