Sabtu, 19 Disember 2009

KONVENSYEN PERTAMA PAKATAN RAKYAT

Harakahdaily

SHAH ALAM, 18 Dis: Esok, semua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP akan berhimpun dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Turut menyertai mereka adalah 1,500 perwakilan iaitu 500 bagi setiap parti-parti yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat itu.

Perhimpunan sehari suntuk bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang ini dijangka akan turut disertai oleh lebih 100 wakil pelbagai jenis media dari suluruh dunia.

Majlis ini akan dipenuhi dengan ucapan dan pelancaran beberapa perkara penting yang mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu.

(Gambar: Logo konvensyen pertama Pakatan Rakyat)

Kali ini, PKR menjadi sekretariat konvensyen ini di mana Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin menjadi pengarah konvensyen ini.

Sehubungan itu, beliau berikrar mahu menjadikan majlis ini seumpama kenduri Pakatan Rakyat yang akan dibuat dengan cara terbaik dan penuh warna warni.

Dipercayai, satu penyataan bersama Pakatan Rakyat akan dibentangkan dalam konvensyen ini untuk dijadikan panduan dan asas ikatan antara ketiga-tiga parti ini.

Antara kandungannya adalah:

1) Hentikan politik perkauman dan diskriminasi dalam semua dasar kerajaan dan perundangan.

2) Kembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

3) Bangunkan sistem ekonomi yang benar-benar untuk rakyat

4) Kembalikan makna persekutuan dalam mempertahankan hak-hak negeri.

5) Hapuskan ISA dan undang-undang yang menekan rakyat.

6) Hentikan tahun-tahun tanpa pelaburan dan perancangan yang buruk dalam pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.

7) Bangunkan agenda keselamatan sosial

8) Perkasakan hak demokratik dalam budaya dan kepelbagaian budaya dan sastera.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijadualkan berucap. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng di samping para pemimpin muda Pakatan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga dijangka akan berucap menjelang konvensyen ini berakhir pada sebelah petangnya.

Yang menariknya, pada sebelah malamnya, ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusof Qardawy akan memberikan Syarahan Perdana di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga./Harakahdaily


Tiada ulasan:

Catat Ulasan