Rabu, 16 Disember 2009

Nik Aziz sudi dilantik 'pemimpin rohani' Pakatan


Jimadie Shah Othman & Andrew Ong


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

"Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.

Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

"Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam.

"Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya".

"Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan