Sabtu, 12 Disember 2009

TAHNIAH BOLA SEPAK KEBANGSAAN, TERUSKAN BERJUANG!!

11 Disember, 2009 23:40 PM

Bola Sepak Curi Tumpuan Pada Hari Ketiga Temasya Di Vientiane

VIENTIANE, 11 Dis (Bernama) -- Walaupun acara akuatik pada hari Jumaat menyumbangkan lima pingat emas buat Malaysia termasuk mencatat tiga rekod baru temasya serta memperbaharui empat rekod kebangsaan, tumpuan tentunya pada acara bola sepak selepas skuad K. Rajagobal layak ke saingan separuh akhir.

Lebih manis lagi pada perlawanan yang berkesudahan Malaysia menang 2-1 ke atas Thailand, kejayaan ini juga mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana skuad Gajah Putih itu, di bawah bimbingan Steve Darby, tersingkir awal selepas 36 tahun berturut-turut menjadi semifinalis acara itu.

Kali terakhir skuad Malaysia meraih pingat emas pada temasya dwitahunan ini ialah 20 tahun lepas (1989) di Kuala Lumpur di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Malaysia hari ini meraih enam emas menerusi renang yang menyumbang tiga, karate (dua) dan terjun (satu).

Kontinjen negara turut mendapat tiga perak (karate, menembak, snuker & biliards) serta lapan gangsa dalam acara renang (dua), menembak (dua), taekwondo (dua), terjun (satu), karate (satu), berbasikal (satu).

Perenang kebangsaan, Daniel Bego memecahkan rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan dalam acara 200m gaya bebas lelaki selepas mencatat masa 50.16 saat.

Rekod Sukan SEA sebelum ini dipegang oleh Richard Sam Bera dari Indonesia (50.80s) dan rekod kebangsaan milik Daniel dipecahkan menerusi catatan 50.94s yang dicipta di Kejohanan Renang Dunia di Rome.

Siow Yi Ting juga memecahkan rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan dalam acara 100m kuak dada wanita dengan catatan masa 1:09.82s.

Yi Ting memadam rekod 1:10.55s milik Nicoletta Teo dari Singapura di Korat, Thailand dua tahun lepas, manakala rekod kebangsaan miliknya yang dicatatnya 1:11.29s semasa beraksi di Sukan Asia Doha pada 2006.

Khoo Cai Lin yang beraksi dalam acara 400m gaya bebas wanita mencipta sejarah tersendiri selepas mencatat masa 4:10.75s, kira-kira enam saat lebih pantas daripada catatan masa rekod kebangsaan miliknya iaitu 4:16.96s.

Catatan masa itu turut memperbaharui rekod Sukan SEA miliknya iaitu 4:18.20s yang dilakukan dua tahun lepas di Korat, Thailand.

Malaysia turut mencipta rekod baru kebangsaan melalui kuartet 4x100m gaya bebas wanita dengan catatan masa 3:51.40s, mengatasi rekod lama iaitu 3:54.91s.

Karate menyumbang dua emas menerusi Mohd Hatta Mahmud dari acara kumite lelaki bawah 84kg sementara Jamalliah Jamaludin meraih emas dari acara kumite wanita lebih 60kg.

Harapan skuad menembak untuk menyumbang emas hari ini berkecai selepas Bibiana Ng sekadar meraih perak dalam acara Air Pistol Individu Wanita 10m.

Bibiana Ng dan rakannya Joseline Cheah dan Siti Nur Masitah Mohd Badrin kemudian menyumbangkan satu gangsa dalam acara Air Pistol Berpasukan 10m sementara satu lagi pingat gangsa diperoleh menerusi acara Prone Rifle Berpasukan Wanita 50m selepas Muslifah Zulkifli, Nur Suryani Mohamed Taibi dan Nor Ain Ibrahim gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Korat.

Tamat semua acara pada hari ketiga temasya ke-25 ini, Malaysia menduduki tangga kelima dengan kutipan lapan emas, sembilan perak dan 18 gangsa.

Vietnam kini menduduki tangga teratas pungutan pingat keseluruhan pada hari ketiga temasya dwitahunan ini selepas mengutip 14 emas, 10 perak dan 10 gangsa diikuti Singapura (14, 6, 12) dan Thailand (13, 22, 17).

Indonesia berada satu tangga di atas Malaysia dengan kutipan 11 emas, 7 perak, 14 gangsa.

Esok hari keempat Sukan SEA ke-25 yang bermula secara rasmi pada 9 Dis dan berakhir pada 18 Dis depan, tumpuan kembali terarah pada acara akuatik.

Leong Mun Yee, Pandalela Rinong dan Yeoh Ken Nee akan kembali beraksi dalam acara terjun sementara Daniel Bego dalam acara renang.

Sementara acara lain seperti badminton dan golf masih berlangsung dalam pusingan awal.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan