Sabtu, 29 Ogos 2009

Polis mohon maaf, janji bertindak pantas

Polis mohon maaf, janji bertindak pantas
Ogos 29, 09 2:09pm
Pihak polis telah memohon maaf kerana tidak mengambil tindakan pantas sewaktu berlakunya protes dan perarakan kepala lembu sebagai membantah cadangan pindahan kuil Hindu di Shah Alam semalam, kata exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jeyakumar.

Katanya, Ketua Polis Daerah Shah Alam Noor Azam Jamaluddin menyuarakan perkara itu kepada beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dalam satu pertemuan pagi ini.

Menurutnya, Noor Azam menjelaskan bahawa pegawai yang ditugaskan di tempat kejadian adalah seorang pegawai junior.

"Jadi Noor Azam telah memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil segera terhadap mereka yang bertanggungjawab (menganjurkan protes dan perarakan tersebut)," kata Jeyakumar yang bertanggungjawab menjaga halewhal bukan Islam di Selangor.

Menurut Dr Xavier, banyak laporan polis telah dibuat berhubung kejadian semalam.

"Banyak (laporan) dibuat oleh NGO, ahli majlis, Pemuda PAS, Pemuda PKR dan beberapa individu," katanya.

Pertemuan selama setengah jam itu diadakan di ibupejabat polis Shah Alam dan dihadiri oleh ahli parlimen DAP, Charles Santiago dan juga exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu.

Semalam, kira-kira 50 penduduk yang membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 Shah Alam, telah berarak membawa kepala lembu ke bangunan pejabat kerajaan Selangor petang semalam./Malaysiakini

ERA NAJIB, MENTERI BANTU MENTERI ?

Pelik, Najib lantik menteri bantu menteri-Mahfuz
Nazri Abdullah
Fri | Aug 28, 09

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak melantik Dato' Seri Idris Jala sebagai menteri bagi membantu Koh Tsu Koon, yang juga seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dilihat pelik dan mengelirukan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar berpendapat bukan satu keperluan untuk melantik seorang pembantu bertaraf menteri kepada seorang menteri yang lain. Ini kerana tindakan seorang menteri melapor kepada bosnya yang juga menteri adalah sesuatu yang agak pelik.

"Saya tak faham kenapa Najib lantik menteri untuk 'report' kepada menteri. Kalau lantik sebagai CEO saya tak hairan la. Seorang menteri saya rasa dah cukup. saya tak faham dan tak nampak apa keperluan Koh Tsu Koon lagi disitu," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Perdana Menteri semalam mengumumkan pelantikan Idris Jala sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Idris juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) iaitu organisasi yang mengawal pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI).

Dengan jawatan menteri yang baru disandang itu, Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi.

Dia juga akan menjadi timbalan kepada Koh dalam lembaga pemandu dan akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI) dan menasihat di KRA peringkat menteri (M-KRAs) dan M-KPI.

Mengulas perkara itu juga, Mahfuz berkata ianya seolah-olah menunjukkan kecelaruan dalam pentadbiran Najib. Pada awal Najib menjadi Perdana Menteri, dia dilihat berusaha mengecilkan kabinet barunya namun pelantikan Idris dilihat sebaliknya.

"Ini kecelaruan dalam kabinet Najib, bagaimana nak capai KPI kalau yang ini pun bercelaru. Dulu kata nak kecilkan kabinet, tapi sekarang tambah lagi seorang menteri," ujar Naib Presiden PAS itu lagi.

Idris adalah Pengarah Urusan dan CEO, Malaysia Airlines yang dilantik pada Disember 2005, selepas syarikat itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.

Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah Pengarah Urusan, Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden, Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).

Mahfuz yang mengakui kredibiliti Idris khususnya kepakaran dalam bidang sumber manusia sewaktu di Shell bagaimanapun mempertikai kemampuan Idris khususnya sewaktu memulihkan keadaan ekonomi MAS.

"Sewaktu dia ambil alih MAS, dia hanya menjual bangunan MAS sahaja, tapi pada tahun 2008, 2009 MAS juga masih mengalami kerugian akibat kenaikan harga bahan bakar," ujarnya. - mks. _/Harakahdaily

Jumaat, 28 Ogos 2009

PANTAI TIMUR - STESYEN RADIO MANIS FM SEMAKIN DIMINATI


Kelantan perluas tazkirah guna stesen radio
Oleh Mohd Nor Yahya
Fri | Aug 28, 09
KOTA BHARU, 28 Ogos: Kerajaan negeri Kelantan dengan jalinan kerjasama sebuah stesen radio swasta, Manis FM telah mengadakan program tazkirah yang disiarkan melalui setesen radio tersebut bermula awal Ramadhan lalu hingga ke hujung bulan puasa ini.

Ianya sebgai usaha kerajaan negeri menyebar luaskan dakwah kepada masyarakat khasnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dapat mengikuti siaran itu.

Menurut Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan negeri Kelantan Abdul Rahman Yunus, tazkirah akan disampaikan oleh pimpinan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Ustaz Nasruddin Daud, Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan negeri dan juga Ketua Polis Negeri.

Siaran tazkirah tersebut dapat diikuti setiap hari sepanjang Ramadhan pada jam 7.30 pagi, 2.00 petang, 4.00 petang dan 7.05 petang pada frekuensi 90.6 MHz di Kelantan, 102.00 MHz di Terengganu dan 95.1 MHz di Pahang.

Abdul Rahman juga berkata sebelum ini siaran tazkirah tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya melibatkan Menteri Besar Kelantan sendiri apabila pihak Urusetia kerajaan negeri menerima panggilan talipon dari seluruh negeri.

"Saya berharap penduduk di negeri ini mengambil kesempatan untuk mendengar program tazkirah yang disampaikan oleh pimpinan kerajaan negeri sempena bulan Ramadhan ini," ujar beliau. Image

Dalam perkembangan lain, seramai 60 warga miskin Kota Bharu telah dipilih oleh Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kota Darulnaim untuk menerima sumbangan RM100 setiap orang bagi meringankan beban sempena bulan Ramadhan.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut Ir.Mohd Ariff Fahmi Abdul Rahman ketika ditemui di majlis Perasmian Sambutan Ihya Ramadhan peringkat Kompleks Kerajaan negeri Kelantan berkata, seperti di tahun-tahun lepas, masjid yang terletak dipinggir pagar komplek kerajaan negeri tersebut akan menyediakan program tazkirah pada setiap hari bermula jam 12 tengahari dan berharap kakitangan kerajaan dapat mengambil menafaat tersebut.

Perasmian Ihya Ramadhan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat,turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri,Dato'Aiseri Ilias,Pegawai Kewangan Negeri Mohd Faudzi Mat Jusoh, Exco negeri,Wakil-Wakil Rakyat, Ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri dan swata.

Dato'Aiseri Ilias ketika berucap berkata kakitangan kerajaan dari peringkat tinggi hingga bawah seharusnya memainkan peranan penting dalam masyarakat setempat iaitu seperti melibatkan diri dengan aktiviti masjid maupun masyarakat tempatan.

"Saya yakin kakitangan kerajaan negeri Kelantan dapat melakukan aktiviti harian yang baik kerana mereka ini juga sedikit sebanyak mempunyai pengaruh dalam masyarakat," katanya. Image

Sementara itu Tuan Guru semasa menyampaikan tazkirah pertamanya berharap pada tahun ini rakyat negeri ini dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan meraikan Al-Quran kerana Al-Quran telah diturunkan pada bulan yang mulia ini.

"Kita sering menyambut puja umur (hari lahir) manusia seperti isteri,anak-anak kita, Pemimpin Negara kita juga sambut hari kelahiran Nabi Muhammad saw, oleh itu bulan Ramadhan ini kita pakat-pakat (ramai-ramai)sambut kedatangan Al-Quran iaitu dengan membacanya seberapa banyak yang boleh,bertaddarus maupun mentafsirkannya," kata beliau.

Beliau juga berharap perubahan perlu diadakan di setiap masjid negeri ini iaitu dengan menyediakan imam-imam atau penceramah agama dari pelbagai kaum seperti kaum Tionghua dan India.

"Kalaulah kaum ini juga diterima sebagai penceramah di masjid-masjid,nescaya kita akan lebih memahami masalah kaum mereka dan ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama kaum di negeri ini," katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata tanggapan orang ramai yang mengatakan bulan Ramadhan hanya untuk berpuasa sahaja perlu dikikis kerana Ramadhan meliputi pelbagai program yang sudah diatur oleh Allah swt seperti setiap amalan dilipat gandakan ganjarannya, perbanyakkan sedekah,melakukan amalan solat sunat,membaca Al-Quran dan pelbagai lagi perkara yang berfaedah.

Bagi memperkemaskan lagi institusi masjid, beliau berkata jawatankuasa Masjid perlu menjemput rakan-rakan dari kaum lain yang belum Islam seperti di majlis sambutan Maulidurrasul,Israk Mikraj,Sambutan Awal Muharram yang sering diadakan di masjid.

"Mereka ini memerlukan pendedahan yang sebenarnya terhadap kemurnian agama Islam yang tidak mengamalkan sebarang keganasan, bila mereka ada bersama,mereka akan dapat melihat dengan jelas keadaan yang sebenar berlaku di masjid,Masjid bukan hanya tempat bersembahyang semata-mata,"katanya lagi. Image

Majlis berkenaan dihadiri lebih 300 orang termasuk dari masyarakat India dan Tioghua._mna _/harakahdaily

DEMONTRASI SURUH ADUN LUNAS LETAK JAWATAN?

oleh MonierMatdin


rupanya si radzhi nie Rakyat LUNAS dah tak suka dari dulu lagi
di mana waktu nak jadi calon pon rakyat dah tolak dah.....
eishh..!! mintak2 pimpinan tolong tengok sat la noo...

Entah kenapa, dua tiga hari ini rasa tak puas hati sungguh dengan kerenah politik semasa kat area tempat tinggal saya ini. Dua tiga malam lepas, waktu dok tunggu waktu Isya kat surau, dok sembang dgn kawan-kawan; yg kebetulan kawasan sekitar Taman-Taman kami duduk ini mcm dok kat tengah-tengah batu sempadan antara dua kawasan DUN. Ada sahabat dlm kawasan ini yg ngundi di DUN Merbau Pulas dan ada yg lain ngundi dlm DUN Lunas, jadi apa lagi isu yg paling hangat dan terkini kalau bukan isu YB Radzi tu lompat parti.

Rata-rata yg saya temui memang tak puas hati terutamanya pengundi Pakatan tempoh hari.

Kalau depa tak puas hati, saya lagi tak puas hati.

Pasal apa?

Pasal waktu PRU12 hari tu, saya lah yg dok kalut lebih pi ceramah sana pi ceramah sini kat kawasan ini; ingat lagi waktu ceramah kat Padang Awam di sebuah Tmn kat sini hari tu, penuh org pakat mai, dari taman-taman sekitar dan kampung-kampung berdekatan, siap depa pasang Big Screen lagi; masih ingat lagi waktu tengah dok ceramah tu, Polis ka Majlis Perbandaran ka mana mai, dok buat gempak kata tak dak permit ka apa; saya ceroi ja, walau pun dalam keadaan ketaq (maklumlah amatur) tapi terus balun ceramah macam biasa.

Saya puas hati jugak sebab yg turun tu bukan saja Melayu, tapi ramai gak bangsa India dan Cina. Tak cukup dgn itu, walau pun tak punya apa-apa jawatan dlm PAS atau pun PKR, saya turut pulun kempen thru mailing list dan blog dlm internet; ramai gak org atas pagar dan org UMNO yg terpengaruh dgn hujjah dan tulisan saya.

Masih ingat lagi, dlm satu ceramah di Markas PAS cawangan pekan padang serai, saya bacakan sebuah email yg dihantar oleh seorang wanita, bekas ahli puteri umno kawasan pdg serai yg mendedahkan pelbagai ketidakpuasan hati beliau mengenai perjalanan Puteri dan UMNO kawasan Padang Serai, yg saya rasa sedikit sebanyak mampu mempengaruhi org2 atas pagar dan org2 UMNO sendiri untuk memberi undi kpd Pakatan.

Saya ingat juga sebuah email yg dihantar oleh seorang hamba Allah, yg saya tak pasti atas pagar atau pun ahli UMNO, tapi antara lain dia tulis:

"Munir, aku rasa kali ini aku bersetuju dengan tulisan hang, kali ini aku nak bagi undi kat pembangkang, biaq UMNO sedaq sikit! "

Dalam tulisan-tulisan dan ceramah saya, saya banyak memberi penekanan kpd hak kita sebagai rakyat dlm sebuah negara yg mengamalkan amalan demokrasi berparlimen; saya kata sebagai rakyat yg celik dan ada pikiran sendiri, kita berhak pilih mana-mana parti yg kita nak. Kalau dulu kita undi UMNO, tapi UMNO tak mampu berikan apa yg kita nak, maka kali ini apa salahnya kita bagi peluang kpd Pakatan; bagi peluang kat depa 5 tahun, kalau tak okey, PRU nanti undi UMNO balik.

Hah, atas dasar itulah beberapa sahabat yg membalas email saya itu memilih untuk tidak mengundi UMNO pada PRU yg lepas.

Dan ada lagi dua tiga email yg hampir serupa dengannya; mereka-mereka ini memberi undi kpd Pakatan dengan harapan akan ada perubahan yg mampu dibawa oleh Pakatan yg selama ini mereka rasa gagal ditunaikan oleh UMNO.

Memang besar harapan mereka itu, dan lagi besar harapan saya sebagai seorang penceramah bebas yg tidak diiktiraf oleh mana-mana parti komponen dlm Pakatan dan juga sebagai seorang blogger yg menulis hanya dari sudut hati yg ikhlas nak lihat akan ada perubahan yg mampu diberikan apabila Pakatan memerintah.

Malangnya, seperti yg disembang oleh beberapa org sahabat di ruang legar surau sewaktu menunggu waktu Isya itu, sudah beberapa lama dah sejak PRU12, di Taman kami ini tak nampak sapa-sapa lagi YB Pakatan yg mai jengok.

Dalam dok tunggu dan tertunggu bila YB-YB itu nak mai jengok, tut tut salah seorang YB tu dah pi lompat keluar parti pulak dah. Hish, mangkuk hayun sungguh la mamat ni, mana lah saya nak letak batang hidung saya ni? apa nak saya jawab kpd ex-puteri UMNO dan sahabat atas pagar/umno yg mengundi Pakatan hari tu? mana kita nak sorok kredibiliti kerajaan Pakatan kita?

Sebab tu, saya rasa agak puas hati bila seorang rakan sekerja cerita, sekali tu dia turun pasar malam, seorang peniaga kat situ kawan baik dok buat lawak, cakap kuat-kuat sampai semua org dengar:

"Wei, hang jangan dok buat leceh macam si Radzi tu, satni tak pasal-pasal kena Penaboh!!"

Maknanya si Radzi ni dah jadi bahan lawak rakyat jelata dah kat sini, dah tak layak dah jadi YB. Patutnya dia letak jawatan aja lah, bagi rakyat kat sini pilih yg baru, tak kiralah sapa memang lepas tu, Pakatan ka BN ka, itu cerita lain, janji dia mesti letak jawatan.

Opss, lupa nak habag, 15 minit tadi sebelum saya tulis cerita ini, ada hamba Allah SMS mai kat saya satu SMS, ditulis di situ:

"Demo desak Radzi (Adun Lunas) letak jawatan sbg YB Lunas. tarikh 31 Aug 09, Waktu 9 pagi. Tempat: di hadapan pejabat Keadilan Paya Besar Lunas (dekat klinik sathiam)"

Saya pun tak pasti sapa yg anjurkan, tapi adalah dirasakan ini adalah kemuncak ketidakpuasan hati pengundi-pengundi Lunas yg rasa diri mereka dikhianati yg sangat-sangat. Saya pun tak berapa sure boleh turun ka tidak sebab 31 Aug itu ada hal sikit nak diuruskan. Kot mana pun, kalau saya jadi YB Radzi tu, sebagai seorang gentleman dan sebagai menghormati rakyat Lunas, eloklah letak jawatan; biarlah org-org Lunas menentukan sendiri pendirian terkini mereka tentang siapa yg mereka nak - Pakatan or Barisan.

Saya kalau boleh memang nak tengok sangat PRK diadakan, yg pertama sebab nak bagi peluang rakyat bagi SCORE terkini performance kerajaan Pakatan YAB Ust Azizan di Kedah, dan yg kedua supaya nak bagi konfiden dan keyakinan kpd ramai terutamanya kpd pelabur-pelabur di sekitar Kulim Hitech dan juga org-org PAS sendiri yg dok sok sek sok sek sembang sesama depa kata PRU13 nanti mungkin PAS akan kecundang di Kedah.

Saya sendiri pun tak tau pasal depa dok sembang macam itu, tapi bercakap mengenai DUN LUNAS ini, adalah dirasakan kerajaan Pakatan di Kedah perlukan PRK ini untuk menilai semula penerimaan terkini rakyat.

wallah hu aklam
moniermatdin@yahoo.com
http://www.mindapolitikmoniermatdin.blogspot.com


Sumber: Kedahlanie.blogspot

Rakyat jangan jadi binatang jalang yang boleh dibeli

Oleh MOHAMAD SABU

Pilihan raya di Malaysia telah diasaskan oleh pemerintahan British sejak 1955. Segala keburukan dilakukan di bumi Malaya, tetapi satu perkara yang boleh dipuji adalah sistem demokrasi dalam perjalanan pilihan raya. Walaupun berada dalam keadaan darurat dari 1948 sehingga 1961, cara pengendalian pilihan raya sebelum dan selepas merdeka waktu itu lebih adil daripada sekarang.

Perbelanjaan dalam pilihan raya hanyalah wang deposit, poster calon, pembesar suara, wang untuk minyak kenderaan. Parti-parti politik bebas berkempen mengikut komitmen dan keupayaan ahli serta penyokong mereka.

Kita mula memasuki alam 'jakun demokrasi' (jakun di sini bukan merujuk sesuatu kaum) selapas peristiwa 13 Mei. Rapat-rapat umum diharamkan, hanya dibolehkan berceramah di dalam rumah dengan menggunakn pembesar suara mudah alih.

Akta Polis digunakan sepenuhnya untuk mengizinkan himpunan atau tidak. Parti politik yang menguasai kejaan tidak perlu untuk mmbuat rapat umum atau ceramah kerana mereka menggunakan media milik kerajaan untuk menerapkn perjuangan parti mereka dan membelasah parti lawan yang tidak memegang kuasa.

Media baru alam siber melalui internet memberikan saluran alternafif buat masyarakat bandar yang berada di kelas pertengahan dan atasan, elain dari sumber parti pemerintah. Tetapi secara umum maklumat internet masih jauh bagi masyarakat luar bandar. Media di Malaysia masih dikuasai oleh BN yang begitu rakus menyalahgunakan kuasa.

Trend baru dalam pilihan raya di Malaysia menuju ke arah yang lebih tidak demokratik. Pengumuman projek pembangunan dalam masa kempen pilihan raya kecil atau umum sudah menjadi lumrah. Buat parti yang tidak memerintah, projek apa yang hendak diumumkan?

Dan SPR menjadi penonton kepad pencabulan demokrasi. Keadaan SPR seperti kucing plastik memerhati ikan yang hidup d depan mata.

Habuan kepad rakyat (pengundi) dicurah semasa kempen pilihan raya. Pembangunan segera sudah pasti berjalan. kawasan pilihan raya menjadi sesak akibat pelaksanaan pembangunan segera itu. Lawatan rumah ke rumah bukan tujuan untuk berkempen memenangkan calon sebaliknya digunakan untuk memberi hamper, wang ringit dan ugutan kepad pengundi.

Perbelanjaan dalam pilihan raya naik mendadak dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Parti-parti atau pemimpin politik yang menguasai kerajaan negeri atau pusat, terpaksa berhempas pulas mencari wang untuk digunakan dalam pilihan raya. Hutan balak, tanah, lesen bangunan atau projek yang diluluskan; dan para peniaga diminta untuk memberi wang di bawah meja.

Akibat perubahan cara pilihan raya d Malaysia maka berlakulah amalan rasuah yang meningkat dari hari ke hari. Dalam sesuatu pilihan raya kecil, jutaan ringgit dibelanjakan pihak parti pemerintah. Puak pembangkang pula terpaksa membalas 'politik wang' parti pemerintah. Mereka juga terpaksa mengumpul derma secara terbuka atau sulit bagi hadapi serangan 'Qarun BN'.

Demokrasi menjadi semakin pincang. Wang rasuah, projek segera, janji manis menukar maruah manusia dan mnjadikan mereka lebih hina dari binatang.

Soal rasuah, dasar dalam negeri, dasar luar negara, dasar kesihatan, hak dan dasar kepad orang tua, golongan pesara, dasar ketenteraan dan kepolisian langsung tidak mnjadi tajuk dalam pilihan raya.

Sepatutnya selepas 50 tahun merdeka, parti-parti politik berdebat di depan rakyat tentang dasar mereka bila menang pilihan raya dan menjadi kerajaan.

Apabila hamper dan duit menjadi dasar dalam pilihan raya, perasuah tidak segan silu untuk menjadi calon, banyaknya wang yang dicuraha kepad pengundi menjadi angka tunjuk jumlah undi yang akan diperolehi.

Politik wang (rasuah) dalam Umno sudah menjalar kepada rakyat; ada duit, ada hamper baru, maka mereka sudi mengundi mana-mana calon yang memberi.

Rakyat perlu membuat revolusi kedua selepas 50 tahun merdeka. Walaupun sukar, namun memulihkan demokrasi mesti menjadi agenda rakyat sekarang dan akan datang.

Rakyat jangan sampai izinkan diri mereka menjadi barua kepada penguasa politik yang rasuah.

Rakyat bukan binatang jalang yang boleh dijual beli. Reformasi sosial, politik, demokrasi mesti digerakkan terus untuk mengelak 'Qarunisma' menguasai Malaysia kini dan akan datang. Memang sukar untuk hadapi Qarun, tapi kalau rakyat terus berusaha, bukan setakat Qarun bahkan Firaunisma pun turut kecundang./Detikdaily

Khamis, 27 Ogos 2009

BETUL KE TEOH BERGADUH? ATAU......

Tan nafi gaduh dengan Teoh di SPRM
Jimadie Shah Othman


kemaskini 3.37pm Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Tan Boon Wah menafikan pernah bergaduh di tandas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Teoh Beng Hock pada pukul 2 pagi 16 Julai.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah bertelingkah atau bergaduh dengan Teoh Beng Hock pada semua masa di bawah tahanan SPRM," katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat DAP di Petaling Jaya hari ini.

Tan menolak keterangan Mohd Anuar Ismail, pegawai penguasa kanan SPRM Selangor, di inkues menyiasat kematian Teoh di Mahkamah Koroner Shah Alam semalam.

"Selepas kematian Teoh, saya dimaklumkan oleh Bulkini Paharuddin (pegawai SPRM) bahawa terdapat pergaduhan antara Boon Wah dengan si mati pada pukul 2 pagi bertempat di tandas SPRM," beliau dipetik berkata.

Bercakap dalam sidang media khas di ibu pejabat DAP di Petaling Jaya tengah hari tadi, Tan berkata, dakwaan terhadapnya tidak berasas, palsu dan secara sengaja dicipta.

Turut hadir, tokoh popular DAP Lim Kit Siang dan exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga bekas majikan Teoh.

Membela dirinya, Tan berkata, pada jam 2 pagi hari Khamis tersebut, beliau masih disiasat dalam sebuah bilik di pejabat suruhanjaya itu.

Tambahnya, beliau hanya keluar sebentar untuk minum air di pantri dan membuat panggilan telefon kepada keluarganya setengah jam selepas itu.

Bagaimanapun, ketika keluar kali kedua untuk ke tandas kira-kira jam 5 atau 6 pagi, beliau terserempak dengan Teoh di pantri.

"Saya nampak Teoh mundar-mandir di pantri. Saya tanya pada dia, 'Teoh, kamu masih berada di sini?'

"Teoh hanya tunduk kepala. Saya terus pergi ke tandas. Kemudian saya balik ke pantri. Saya tidak nampak Teoh lagi," katanya.

Waktu itu kali terakhir beliau melihat Teoh semasa ditahan di SPRM Selangor, jelasnya.

Sementara itu, Ean pula mempersoalkan motif sebenar Mohd Anuar membuat dakwaan yang serius terhadap Tan.

"Apakah niat sebenar SPRM mengeluarkan tuduhan sebegini? (Adakah) oleh kerana Teoh sudah meninggal dunia, mereka boleh reka pelbagai jenis tuduhan palsu terhadapnya?

"Adakah SPRM cuba menolak dan mengalih tuampuan kisah sebenar kematian Teoh?" soalnya./Malaysiakini

Rabu, 26 Ogos 2009

RAKYAT TETAP YAKIN PADA NIK AZIZ DAN ANWAR

Oleh: WFAUZDIN NS

MEMALUKAN. Itulah yang boleh kita tafsirkan terhadap Umno sekarang. Kekalahan demi kekalahan di dalam PRK selepas pilihanraya umum yang lalu amat memberi kesan kepada Umno terutamanya. Parti yang tidak pernah serik memperdayakan rakyat kononnya membela agama, bangsa dan negara ini terus ditolak majoriti rakyat. Taktik Umno yang terbaru dengan menjalankan propaganda memburukkan dua individu tokoh penting PR iaitu DS Anwar dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ternyata memakan tuan. Umno semakin hina dimata rakyat dengan caranya sedemikian.

Rakyat di Permatang Pasir meneruskan kerja-kerja rakyat untuk terus mengajar Umno supaya pemimpin mereka dapat bermuhasabah diri. Kekalahan Umno di tangan Pas dengan majoriti besar memberi tanda bahawa Umno waktu ini sepatutnya di`kuarintin'kan sepertimana mereka yang disyaki mempunyai jangkitan virus H1N1 sekarang. Umno perlu dirawat segera sebelum `Malikil Maut' tiba bila-bila waktu. Tetapi, apakah pemimpin Umno sanggup menerima kenyataan bahawa Umno kini parah? Setakat ini, kita tidak nampak mereka sanggup berubah.

Mungkin terdapat beberapa kerat ahli Umno yang benar-benar jujur dalam perjuangannya sanggup bermuhasabah dan menerima perubahan, tetapi tidak bagi pemimpin mereka. Berubah ke arah yang lebih baik bererti menyekat pintu rezeki mereka. Ini lah masalah Umno di mana pemimpinnya tidak pernah jujur untuk berubah. Budaya fitnah, menghina sesama manusia, berbohong dan berbagai lagi cara serta taktik kotor mereka sudah sebati di dalam jiwa pemimpinnya. Ahli-ahli Umno patut insaf perkara ini dan mereka tidak lagi boleh terus mengharap Umno membela nasib mereka.

DS Anwar dan Tuan Guru Nik Aziz menjadi mainan politik mereka yang kotor ini. DS Anwar dituduh sebagai pengkhianat negara sedangkan tiada satu bukti atau rekod pun menunjukkan DS Anwar mencuri atau merompak satu sen pun harta dan wang rakyat. Malahan, DS Anwar hampir mati di dalam memperjuangkan nasib rakyat. Inikah bukti menunjukkan DS Anwar pengkhianat? DS Anwar tidak `menjual' Singapura kepada sesiapa dan beliau juga tidak `menjual' Pulau Batu Putih kepada Singapura. Siapakah punya angkara ini?

Manakala, Tuan Guru Nik Aziz terus dicerca dan difitnah sebagai manusia yang berkuasa melebihi dari Tuhan. Sindiran oleh bekas Presiden Umno Tun Mahathir bahawa sesiapa yang ingin tahu samada akhir hayat nanti tempatnya di Syurga atau di Neraka, hendaklah berjumpa Tuan Guru Nik Aziz adalah satu sindirian dari manusia yang tidak berakal dan tidak berotak. Saya tidak yakin itu kata-kata yang datang dari mulut Tun Mahathir yang dianggap tokoh ternama itu. Tetapi, itulah yang dilaporkan maka saya percaya sudah sampai masanya Tun Mahathir menjalani rawatan mentalnya.

Allah menjanjikan Syurga dan Neraka, tetapi adakah Allah akan memberi wahyu kepada semua manusia tentang syarat-syarat untuk memasuki Syurga dan Neraka itu? Nabi dan Rasul diutuskan untuk memberitahu manusia syarat-syarat untuk memasuki Syurga dan Neraka Allah sebagaimana Allah telah wahyukan kepada para Nabi dan Rasul. Apabila tiada lagi Nabi dan Rasul diutuskan selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W, siapakah yang meneruskan kerja-kerja Nabi ini? Sudah tentulah para sahabat dan Ulamak yang sebagai pewaris Nabi (Warithatul Ambia') akan melaksanakan amanah ini. Bukan kerja para sahabat Nabi atau Ulamak untuk menentukan si anu dan si anu akan memasuki Syurga atau Neraka. Inilah yang patut difahami oleh manusia yang otaknya seperti Tun Mahathir itu.

Malangnya otak seperti Tun Mahathir ini meresapi ke dalam jiwa dan pemikiran sebilangan besar pemimpin Umno yang ada sekarang. Dikhuatiri pemahaman sesat sebegini akan lebih banyak meresapi ke dalam jiwa umat-umat Islam yang rata-ratanya masih jahil ketika ini. Umno gagal untuk berhujah di dalam isu Syurga dan Neraka ini, lebih malang lagi terdapat para Mufti yang mengeluarkan `fatwa' hanya berlandaskan akhbar dan media pencacai yang rakyat telah lama menolak media busuk tersebut. Mengapa tiada hujah untuk mengenepikan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz? Ini adalah kerana apa yang disebut di dalam Al-Quran adalah benar dan tiada yang tidak benar. Al-Quran adalah mukjizat, maka tiada sesiapa mampu mengatasi hujah Al-Quran.

Manusia mungkin boleh menipu sekali atau dua kali, tetapi tidak mungkin untuk kali ketiga. Umno terlalu banyak menipu dan tidak mungkin rakyat tertipu lagi. Contoh terdekat, Umno kini telah menerima nasib yang semakin teruk selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Cuba fikirkan, bilakah Umno bangkit selepas pilihanraya umum yang lalu? Tidak, Umno tidak bangkit cuma sekadar punyai nyawa-nyawa ikan untuk bernafas sebelum ia dikapankan. Umno boleh lakukan apa jua untuk memburukkan pimpinan PR samada Pas, PKR atau DAP tetapi sekuat mana Umno lakukan fitnah itu, bertambah kuat bencinya rakyat pada Umno. /Kembali ke Laman Asal Di Sini.

ANWAR PENGKHIANAT? RAKYAT PERMATANG PASIR TELAH BERI JAWAPANNYA


Keputusan bukti rakyat tolak BN: Anwar

SHAH ALAM - Ketua umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sifatkan rakyat kini secara jelas menolak Barisan nasional (BN).

Katanya, kemenangan PR di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir semalam membuktikan perkara itu.

"Setelah berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, kemenangan hari ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan BN yang memecahbelahkan rakyat.

"Tahniah saya ucapkan kepada 'YB' baru Salleh Man di atas kejayaan ini dan tunaikanlah amanah dan mandat yang diberikan rakyat," kata beliau dalam kenyataan yang dihantar ke SInar Harian semalam sejurus pengumuman rasmi pilihan raya kecil berkenaan.

Tambah beliau, kemenangan dengan majoriti meyakinkan ini ternyata menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap PR, hasrat bergelora mahukan perubahan dan masa depan yang gemilang.

Calon Pas, Salleh Man, menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti undi sebanyak 4551 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman.

Salleh memperoleh undi sebanyak 9618 manakala Rohaizat memperoleh undi sebanyak 5067.

Kira-kira14,832 bersamaan 73.1 peratus dari 20,290 pemilih berdaftar telah menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baru pada pilihan raya kecil berkenaan sehingga tempoh pengundian ditutup pukul 5 petang semalam./SH


PRK LAGI ? CUKUPLAH TU, TAK LARAT ASYIK KALAH JE!!

BN harap tiada pilihanraya kecil di Kota Siputeh tapi akan akur keputusan SPR

26 Aug 2009

WALAUPUN berharap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah tidak kosong ekoran wakil Barisan Nasional (BN) tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut, BN akan tetap akur sebarang keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika memutuskan perlu pilihan raya kecil di kawasan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan penjelasan wakil rakyat terbabit, Datuk Abu Hasan Sarif, beliau sakit dan tidak dapat hadir persidangan Dewan Undangan Negeri.

Katanya, wakil rakyat itu sakit malah ada resit-resit rasmi perubatan.

Lagipun kata Timbalan Presiden UMNO itu, wakil rakyat tersebut hanya tidak hadir pada persidangan yang cuma diadakan sehari sahaja pada penggal tersebut.

“Berdasarkan keterangan beliau, tidak perlulah pilihan raya kecil. Tetapi macam berlaku di Perak, kita serah pada SPR,” katanya dalam sidang media di Seberang Jaya,hari Rabu.

Menjawab soalan sama ada BN bersedia menghadapi satu lagi pilihan raya kecil, Muhyiddin berkata, “kita akan (BN) akur keputusan SPR tetapi pihak sana (pembangkang) tak setuju,”.

Bagaimanapun beliau menaruh harapan tidak perlu ada pilihan raya di kawasan itu berdasarkan penjelasan Abu Hasan.

Wakil Rakyat itu tidak hadir sidang DUN dua kali, masing-masing pada 19 April dan 9 Ogos tanpa sebarang kebenaran Sepaker, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail.

Mengikut Perkara 51, Undang-Undang tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ADUN jika tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speakar, kerusi berkenaan akan dianggap telah dikosongkan.

Speaker dikatakan sudah menghantar surat memaklumkan perkara itu kepada SPR hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPR Kedah, Zainal Abidin Zakaria ketika mengulas mengenai perkara itu mengesahkan pihaknya telah menerima surat daripada Speaker DUN Kedah itu dan sudah menghantar surat berkenaan ke ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Menurutnya, perkara itu akan diteliti oleh ibu pejabat dan Bahagian Undang-Undang SPR.

Pada pilihan raya umum lalu, Abu Hasan yang juga Ketua Bahagian UMNO Jerlun mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat selepas menewaskan calon PAS, Ismail Wan Teh dengan majoriti 1,573 undi.

Jika SPR memutuskan kerusi itu kosong, ini bermakna negara bakal menghadapi pilihanraya kecil yang ke 8 selepas Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu dan yang ke dua bagi negeri Kedah selepas Bukit Selambau. /KLPost

Selasa, 25 Ogos 2009

Di Permatang Pasir, PAS kekalkan kemenangan besar

Harakahdaily
Tue | Aug 25, 09 | 7:16:13 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Ogos:PAS mengulangi kemenangan besar yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu apabila kiraan undi rasmi menunjukkan calonnya, Mohd Salleh Man mengatasi pesaing daripada Barisan Nasional, Rohaizat Othman dengan majoriti melebihi 4,551.

Kiraan rasmi menunjukkan PAS mendapat 9,618 undi berbanding 5,067 diperolehi BN, menambahkan lagi pukulan kepada BN yang belum pernah memenangi pilihan raya kecil di Semenanjung sejak selepas pilihan raya umum lebih setahun lalu.

Kerusi Dun Permatang Pasir dimenangi wakil PAS Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dengan majoriti 5,433 undi dalam Pilihan Raya Umum-ke 12, kemenangan ketiga dan dengan majorit terbesar dalam tiga pilihan raya dimenangi PAS sejak 1999.

Kemenangan ini menyaksikan majoriti merosot diperolehi PAS dipercayai akibat hari pengundian yang dilakukan pada hari bekerja.

Jumlah keluar mengundi merosot kepada 73.1 peratus daripada 82.57 peratus pada pilihan raya umum yang lalu.

PAS telah menjalankan kempen dengan lancar sejak hari pertama kempen ekoran masalah peribadi calon BN berhubung salah laku melibatkan wang anak guamnya berjumlah RM161,000.

ImageUmno yang berharap untuk mengulangi peningkatan undi diperolehi di Manek Urai gagal mencapai matlamat tersebut dalam menghadapi PAS di kubu kuatnya yang juga kerusi tunggal PAS di Pulau Pinang. Image

Image_

Pas menang pilihan raya kecil Permatang Pasir

SHAH ALAM - Calon Pas, Salleh Man, menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasirdengan majoriti undi sebanyak 4551 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, .

Salleh memperoleh undi sebanyak 9618 manakala Rohaizat memperoleh undi sebanyak 5067.

Kira-kira14,832 keluar mengundi bersamaan 73.1 peratus dari 20,290 pemilih berdaftar telah menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baru pada pilihan raya kecil berkenaan sehingga tempoh pengundian ditutup pukul 5 petang ini.

Pilihan raya kecil ini diadakan bagi memilih wakil rakyat yang baru setelah penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada Pas meninggal dunia kerana sakit jantung pada 31 Mei lalu.

Berikutan kekosongan kerusi itu, Barisan Nasional (BN), meletakkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calonnya manakala Pas diwakili Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Salleh Man, 52./SH