Jumaat, 8 Januari 2010

BAKAR GEREJA KERJA TERKUTUK - PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Jan: PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyerang gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, di sini awal pagi ini.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, tindakan sedemikian tidak mencerminkan sikap Islam yang sebenar terhadap penganut agama lain yang dijamin hak dan kebebasan mereka.

Bahkan, katanya, Allah dengan tegas melarang umat Islam bertindak terhadap mana-mana rumah ibadat penganut agama lain sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Tambahnya, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan para sahabat yang menyertai peperangan supaya tidak membunuh mereka yang berlindung di rumah-rumah ibadat agama lain, sama sekali tidak bertindak membakarnya.

Begitu juga, katanya sewaktu pembukaan Mekah oleh tentera Islam yang dipimpin Rasulullah s.a.w. di mana penduduk yang berada di dalam rumah-rumah ibadat dijamin keselamatan mereka selain berlindung di rumah sendiri.

“PAS mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menyerang gereja berkenaan,” tegasnya kepada Harakahdaily pagi ini.

Harakahdaily difahamkan, tingkat bawah gereja berkenaan musnah akibat serangan itu./Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan