Wan Nordin Wan Yaacob |
KUALA LUMPUR, 25 Jan: Pengumuman yang dibuat bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Yunus untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) amat dialu-alukan banyak pihak. AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, penyertaan Nazree ke dalam PKR itu membuktikan golongan muda masih memandang tinggi perjuangan Pakatan Rakyat. "Kita ucapkan tahniah kepada beliau, seorang pemuda yang mempunyai karisma dalam memperjuangkan demokrasi dan anti korupsi di negara ini. "Kemasukan beliau ini membuktikan Pakatan Rakyat sebagai parti yang diminati dan dipercayai golongan muda," katanya ketika diminta mengulas kemasuka Nazree ke dalam PKR 25 Januari lalu. Penyertaan Nazree yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) membawa aspirasi golongan muda yang mahukan ketelusan, keadilan dan pendemokrasian yang sihat di negara ini, kata Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat. Sehubungan itu, penyertaan Nazree ini diharapkan akan menambah rencah kepada perjuangan KeADILan dan juga Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang, katanya. Kemasukan Nazree diumumkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Merchant Square Tropicana, 24 Januari lalu. Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan beberapa exco AMK. Mengulas penyertaannya ke dalam KeADIlan, Mohd Nazree berkata ia adalah kerana perjuangan parti itu selari dengan prinsipnya untuk melawan rasuah dan membina integriti sepertimana sebelum ini, ketika beliau menjadi pengerusi Gerak. Menurutnya, kemasukan beliau itu juga adalah disebabkan ketokohan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan Malaysia baru dalam landskap politik Malaysia. Di samping itu, katanya, penyertaan beliau dalam PKR juga bagi mengisi kekosongan generasi muda untuk terus berjuang bersama Anwar untuk membina masyarakat madani dan urustadbir yang lebih baik. "Ini adalah fasa baru dalam perjuangan saya. Bukan bermakna NGO itu gagal, tetapi saya menekankan dari sudut pendekatan melalui politik dengan membantu pimpinan yang sedia ada," katanya. Mengulas lanjut, Mohd Nazree berkata beliau bertemu dengan Anwar Rabu lalu dan ketua pembangkang itu menyatakan keterbukaannya untuk menerima kemasukan beliau./Harakahdaily |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan