Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 8 Jan: Lebih seribu berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Mesir di ibu negara hari ini bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin. Perarakan diketuai Ketua DPPP, Nasrudin Hassan dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub serta beberpa kepimpinan PAS lain. Himpunan kali ini bagi membantah tindakan kerajaan Mesir yang menghalang pasukan konvoi Palestin di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.
Pihak keselamatan mengawal baik himpunan dengan menjaga lalu lintas untuk memberi laluan kepada peserta himpunan. Manakala pasukan Unit Amal menjadi barisan hadapan dan menjaga keselamatan peserta himpunan. DPPP meminta pihak Kedutaan membenarkan lima wakil mereka masuk untuk meyerahkan memorandum namun hanya empat orang sahaja yang dibenarkan masuk. Antara yang berucap adalah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat Dr. Dzulkifli Ahmad, Hanipa Maidin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin.
"Kami telah menyatakan hasrat kami agar Mesir memainkan peranan penting membenarkan aktivis antarabagsa menghantar bantuan mereka ke Gaza. "Beliau berjanji untuk mainkan peranan penting dan menyatakan kesedian memberikan bantuan kepada umat Islam Palestin," beritahu Salahudin pada sidang media sejurus menyerahkan memorandum bantahan tersebut.
Manakala Nasrudin pula memberitahu, turut dituntut agar Mesir menghentikan usaha membina tembok di sempadan negara itu yang dilihat sengaja untuk mengepung penduduk Palestin. "Kami juga meminta kerajaan Mesir segera menghentikan usaha membina tembok sepanjang 6 kilometer menyebabkan ummat Islam Palestin bagai terpenjara, dihalang makanan,minuman, bekalan perubatan. "Andai kata berlaku peperangan, sudah tentu sukar bagi umat Islam Palestin untuk keluar menyelamatkan diri," kata Nasrudin./ Harakahdaily |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan