Selasa, 5 Januari 2010

Dr Mahathir paling tidak senang DAP, PAS dan PKR bersatu

Oleh Subky Latif

SYABAS buat PAS dan DAP yang sama-sama mengisytiharkan mendukung cita-cita Pakatan Rakyat dalam konvensyen pertama pakatan itu pada 19 November lalu.Tentu juga syabas itu berhak diberi kepada PKR atas pencapaian bersama mereka.

Saya asingkan PKR bukan mahu mengurangkan pentingnya ia dalam muafakat Pakatan Rakyat tetapi mengenangkan masa yang lama sebelum wujudnya PKR, lebih 30 tahun dulu.

Saya teringat satu forum yang saya sertai di Universiti Malaya. Dua penalis lagi ialah Tan Sri Senu Abdul Rahman, Setiusaha Agung UMNO ketika itu dan Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP. Saya belum menyertai PAS dan bercakap di forum itu sebagai wartawan Utusan Melayu.


Saya menyertai PAS pimpinan Datuk Asri seminggu selepas PAS kalah di Kelantan setelah 19 tahun berkuasa.

Malam itu saya sebutkan tentang kebijaksanaan parti-parti perkauman dalam Barisan Nasional terutamanya Umno, MCA dan MIC. Mereka semuanya perkauman. Tetapi kebijaksanaan mereka ialah dapat berpakat membentuk satu barisan, berjaya menguasai politik negara sejak merdeka.

Saingan kepada Barisan Nasional tidak ada masa itu. Saingan Umno ada iaitu PAS. Saingan MCA dan MIC pun ada iaitu DAP. Tetapi kedua-duanya tidak dapat bersatu bagi menyaingi BN.

Pernah sebelumnya wujud satu persaingan antara Perikatan dan Front Sosialis, gabungan Parti Rakyat yang majoriti ahlinya Melayu dan Parti Buruh yang majoriti ahlinya Cina dan India. Ia berjaya menguasai Bandaraya Pulau Pinang, perbandaran Kuala Lumpur, Melaka dan lain-lain bandar besar.

Tetapi muafakat itu pecah, maka saingan bagi Perikatan atau BN kembali kosong.

Parti Rakyat sejak mula tidak dapat sambutan orang Melayu. Selepas berpecah dengan Parti Buruh keadaannya seperti hidup segan mati tak mahu.

Parti Buruh kuat satu masa. Ia punya ramai pimpinan yang baik. Kerana parti itu tidak disokong oleh semua kaum, ia juga kalah dalam pilihan raya. Sesudah beberapa kali kalah, ahli-ahlinya terasa penat dan mereka tidak nampak ia ada pontensi masa depan, maka ahli-ahli yang penat tadi memikirkan alternatif lain.

Penyokong-penyokongnya mencari parti alternatif yang mungkin boleh memberi kemenangan. Apabila Seenivasagam menubuhkan PPP di Ipoh penyokong beralih kepada PPP.

Apabila DAP ditubuhkan bermulalah penghujung Parti Buruh. Kerana DAP asalnya PAP Singapura ia bermula dengan jalan sukar, maka Prof. Syed Hussein Al-Atas yang bertugas di Universiti Singapura datang membentuk Gerakan, seolah-olah ada rancangan Singapura bagi menjadikan Gerakan sebagai alternatif kepada DAP.

Kerana Gerakan menyertai BN, maka DAP dapat bertahan menjadi parti yang disokong oleh bukan Melayu khususnya Cina dan India.

Tetapi berapa lama DAP dapat bertahan menjadi pembangkang yang tiada harapan membentuk kerajaan pusat. Akhirnya mungkin penyokong-penyokong juga akan penat seperti penyokong-penyokong Parti Buruh dulu.

Jika DAP tidak mengambil langkah-langkah mengadakan muafakat dengan mana-mana parti orang Melayu, maka akan kekal sebagai pembangkang yang ada pasang surutnya. Akhirnya penyokongnya juga penat dan memikir alternatif lain.

Begitu juga PAS, seelok mana pun, sekalipun ia mendapat perhatian hebat dari orang Melayu, tetapi tidak nampak dalam waktu yang terdekat itu ia menarik penyokong bukan Melayu.

Apabila ia selama-selamanya menjadi pembangkang, tiada harapan untuk maju membentuk kerajaan pusat, maka penyokong-penyokongnya juga penat. Kuasa yang ada padanya masa itu juga satu hari boleh berakhir dan adalah sukar untuk mengganti kerajaan yang hilang itu.

Orang tidak kata PAS tidak baik. Ramai yang mengharapkan kemenangannya, tapi politik dan komposisi kaum yang ada, tidak dapat difikirkan bagaimana PAS boleh menang.

Bukan orang yang berjiwa Islam dan Melayu tidak tertarik dengan PAS, tetapi kerana PAS payah menang kerana tidak disokong oleh kaum lain, maka mnyertai PAS dan berjuang di dalamnya dirasakan membuang masa saja.

Orang itu lalu tidak berjuang dan pilihan setengahnya makan gaji dengan UMNO dengan menyertainya.

Tentu DAP dan PAS ada iealismanya, ada kehebatan, kebaikan dan keindahannya, tetapi kerana kedua-duanya tidak berupaya memikirkan untuk bermuafakat seperti Umno, MCA dan MIC, maka selama itulah masing-masing akan terus pasang surut sebagai pembangkang.

Saya anjurkan pada malam itu agar kedua parti mencari jalan untuk bermuafakat bagi menyaingi Barisan Nasional dan yang ada potensi bagi menjadi parti alternatif kepada BN.

Walau pun kedua parti itu dirasakan perkauman oleh yang satu lagi; PAS melihat DAP perkauman Cina dan DAP melihat PAS perkauman Melayu, tetapi apabila keduanya boleh berpakat ada cara bagi meredakan perkauman itu. Sebelum penyokong masing-masing penat dan mencari tempat berpijak yang lain, munasabah bagi keduanya membentuk pakatan kedua bagi menyaingi BN.

Reaksi Lim Kit Siang dalam forum itu tentang anjuran saya itu hanyalah, ‘Satu andaian Subky yang menarik.’

Pemimpin PAS yang hadir malam itu berkata pada saya, ‘Senang bercakap sebagai orang bebas.’

Kedua-dua pihak tidak terasa anjuran saya itu penting atau perlu disegerakan. Hampir 40 tahun kemudian pemimpin PAS dan pemimpin DAP yang ada malam itu duduk sebaris berikrar membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR. Ia adalah suatu yang amat tidak disukai oleh Dr. Mahathir./Detikdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan