Rabu, 13 Januari 2010

NIK AZIZ SIMPATI

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 12 Jan: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kesediaan melawat beberapa gereja di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana simpati penganiayaan yang dilakukan.

Beliau berkata, kunjungan ke gereja yang terbakar kerana dikhianati sama seperti menziarahi orang yang sakit.

“Islam mengajar umatnya bersimpati terhadap orang teraniaya seperti kejadian membakar gereja di beberapa tempat di Lembah Klang baru-baru ini.

“Perbuatan itu sememangnya tidak boleh diterima oleh Islam kerana menggunakan kaedah kekerasan,” katanya ketika ditemui pemberita sekembali dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, hari ini.

Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan melawat tiga gereja di Kuala Lumpur termasuk Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dan Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing bagi melihat dari dekat kesan kerosakan akibat dikhianat pihak tidak bertanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempersoalkan tindakan pihak terbabit sehingga merosakkan rumah ibadat orang bukan Islam.

“Saya pergi kerana rasa simpati terhadap mereka yang teraniaya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatannya ke gereja hanya boleh dijadikan isu kepada mereka yang berfikiran sempit.

“Sebelum ini pun saya pernah melawat kuil Hindu dan Buddha di Tumpat beberapa kali. Sami-sami Buddha juga datang ke pejabat saya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatan tersebut secara tidak langsung dapat menterjemahkan keindahan Islam kepada golongan bukan muslim./Harakahdaily

1 ulasan:

  1. Bah sangat menyokong pendirian pemimpin2 PAS terutamanya Tn Guru Hj Nik Aziz berkenaan sokongan terhadap kejayaan perjuangan 'Herald the Catholic Weekly'.

    Terlalu lama perkara perjuangan ini untuk diselesaikan, setelah selesai dengan keputusan Mahkamah membenarkan 'Herald' mengunakan perkataan "ALLAH" dan juga diterbitkan dalam Bahasa Melayu, banyak pehak pula yang menentang nya sampai ada yang bom atau bakar gereja.

    Hanya Pemimpin2 PAS sahaja yang nampak bersetuju. Maka dengan ini pehak pendakwah Catholic akan lebih memudahkan tugas2 dakwah nya dikalangan kaum kami. Ada kemungkinan lebih ramai yang minat agama Catholic kerana ianya dianggap lebih kurang sama saja dengan Islam, bahkan ianya lebih senang kerana tidak banyak yang perlu dipelajari.

    Selain dari itu bab makan minum pun tidak berubah boleh makan dan minum semua nya. Kerana tidak ada halal atau haram dalam segi pemakanan. Kejayaan 'Herald' ini akan memberi kan lebih ramai kaum asli memeluk agama Catholic.

    BalasPadam