Nazri Abdullah & Salmah Mat Hussin |
KUALA LUMPUR, 7 Jan: PAS mengingatkan seluruh ahlinya agar tidak terlibat dalam mana-mana demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah yang dianjurkan pihak tertentu di masjid-masjid atau di mana-mana tempat selepas solat Jumaat esok. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, penganjuran demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah esok, bukan pendirian PAS namun yakin ianya adalah perancangan pihak tertentu khususnya Umno. "Kita menyeru seluruh ahli PAS agar tidak terheret sama dalam demonstrasi yang didalangi Umno itu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily. PAS, jelasnya telah membuat pendirian jelas berhubung perkara itu melalui kenyataan Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas menyuarat khas lajnah politik parti itu, Isnin lalu. Selain itu, katanya PAS telah membuat keputusan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim kerajaan Mesir yang telah menghalang kemasukan pasukan konvoi Viva Palestina ke Gaza. Sehubungan itu, semua ahli PAS diminta turun ke perhimpunan aman tersebut di hadapan bangunan Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat esok dan bukannya menyertai demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah. "PAS telah putuskan untuk membuat bantahan rasmi terhadap kerajaan Mesir esok, jadi kita seru seluruh ahli kita untuk bersama dalam himpunan di Kedutaan Mesir esok, bukan di tempat-tempat lain," katanya. Dalam perkembangan sama, masyarakat bukan Islam turut diajak menyertai perhimpunan menyerah memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur petang esok. Program tersebut dianjurkan Dewan Pemuda PAS Pusat bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO). Ketuanya, Nasaruddin Hassan berkata, tindakan kerajaan Mesir tersebut membuktikan negara berkenaan tidak berperikemanusiaan dan kurang berminat membebaskan rakyat Palestin daripada terus dizalimi Israel. “Dewan Pemuda akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bebaskan Palestin tidak lama lagi bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka,” katanya di sini. Oleh itu beliau berharap semua anggota masyarakat yang prihatin penderitaan umat Islam di Palestin turut sama membantah tindakan kerajaan Mesir./Harakahdaily |
kalimah allah dpermainkn..xkire umno,pas mari sama2 pndang prkara ini!!!
BalasPadam