Ahad, 10 Januari 2010

Perbuatan Bakar Gereja Adalah Berdosa, Kata Nik Aziz

09 Januari, 2010

SHAH ALAM, 9 Jan (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata tindakan cuba membakar empat buah gereja di sekitar Lembah Klang semalam adalah perbuatan berdosa dan akan menerima balasan di akhirat nanti.

"Jadi tiap-tiap orang nak bakar gereja...dia kena reti, gereja ini harta kawan kita orang Kristian...bila kita bakar kita telah melukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak," katanya.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian kepada pemberita selepas menutup majlis Taklimat Isu-Isu Penerangan PAS Pusat di sini Sabtu.

Katanya perbuatan membakar gereja di sebalik kehangatan bantahan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh terjadi apabila segelintir rakyat kehilangan sensitiviti dan kesucian agama dalam diri masing-masing.

Katanya apabila orang tidak mempunyai nilai sensitiviti agama maka perbuatan membakar gereja tidak menjadi masalah kepada pelakunya kerana mereka tidak mengenal soal dosa atau pahala.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan