Selasa, 9 Februari 2010

SAPINA KE MAHKAMAH - WARTAWAN TAK BERANI TANYA NAJIB ?

Saksi Pada Perbicaraan Anwar : Najib Dan Rosmah Membisu

Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor enggan menyatakan sama ada mereka bersedia untuk di panggil ke mahkamah bagi memberi keterangan pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selasa lalu, Anwar mengesahkan pasangan itu akan disapina untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mereka berjumpa dengan pengadu Saiful Bukhari Azlan sebelum beliau membuat dakwaan liwat yang disifatkan fitnah itu.

Walaupun hadir dibeberapa majlis rasmi susulan kenyataan Anwar itu, Najib mahupun Rosmah enggan mengesahkan sama ada bersedia ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Anwar berkata beliau mempunyai bukti yang cukup untuk mensabitkan bahawa Najib dan Rosmah mendalangi tuduhan fitnah itu semata-mata untuk membunuh karier politiknya disamping mengekang kemaraan Pakatan Rakyat.

Najib dan Rosmah dijangka mengambil jalan pintas yang digunakan oleh Mahathir Mohamad apabila beliau dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan Anwar tahun 1999.

Mantan Perdana Menteri itu yang membuat pelbagai tuduhan terhadap Anwar dikatakan berselindung di belakang mendiang Hakim Augustine Paul yang mengisytiharkan Mahathir tidak perlu memberi keterangan kerana 'tidak relevan' kepada pertuduhan Anwar.

Dalam hal Najib, yang lebih memalukan ialah tindakan media arus perdana enggan mengajukan soalan kepada Najib sama ada beliau bersedia ke mahkamah.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits times, A. Kadir Jasin bersetuju bahawa adalah amalan biasa untuk wartawan bertanyakan soalan seperti itu apabila ia membabitkan orang kenamaan (VIP).

Sebagai contoh, jika penyanyi Datuk Siti Nurhaliza disapina ke mahkamah, ia adalah berita "besar" dan tentunya pemberita wajar bertanya soalan kepada penyanyi itu mengenai kesanggupannya untuk memberi keterangan di mahkamah.

"Dalam situasi sekarang yang ada banyak pelbagai media termasuk media baru, tidak banyak perkara dapat disembunyikan," kata Kadir yang bagaimanapun enggan mengulas secara langsung mengenai keperluan Najib memberi keterangan di mahkamah.

Ketua Pengarang Sinar Harian, Abdul Jalil Ali pula mengelak memberi komen berkaitan keperluan pemberita bertanya soalan mengenai sapina terhadap Najib.

"Saya tidak boleh komen kerana kes masih dalam perbicaraan. Saya tidak tahu sangat hal undang-undang. Berbahaya untuk buat kenyataan yang boleh mengganggu perbicaraan itu," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin berpendapat, aspek sapina Najib sepatutnya diberi penekanan oleh media massa tetapi media arus perdana seolah-olah sengaja tidak mengendahkannya.

Beliau melihat media arus perdana seakan-akan bergabung sesama sendiri bagi menutup aib yang melibatkan pimpinan BN dari diketahui umum.

Saiful berjumpa dengan Najib beberapa hari sebelum beliau mendakwa diliwat walaupun pemeriksaan pakar-pakar dan doktor hospital swasta dan Kuala Lumpur kemudian mendapati tidak ada bukti klinikal yang menyokong dakwaannya itu. /TVSelangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan