Jumaat, 12 Mac 2010

POLIS REPORT POLIS TERHADAP ANWAR

Polis 'lawat' Anwar di pejabat PKR
Salhan K Ahmad
Mac 11, 10


Seramai lima orang pegawai polis tiba di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada kira-kira jam 11.30 hari ini untuk merekodkan kenyataan daripada ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga pegawai polis yang merakam kenyataannya itu daripada tiga balai berasingan di Pulau Pinang, manakala dua lagi daripada unit cawangan khas Bukit Aman.

Kenyataan Anwar direkodkan di sebuah bilik dengan dinding kaca, di tingkat tiga pejabat berkenaan.

Adalah dipercayai siasatan polis itu berhubung kandungan ucapannya pada beberapa ceramah di Pulau Pinang, bulan lalu.

Siri ceramah itu diadakan bagi mendapatkan sokongan orang ramai kepada Pakatan Rakyat, khususnya PKR ketika Anwar berhadapan dengan perbicaraan kes liwat keduanya.

Pada siasatan polis hari ini, Anwar ditemani oleh dua peguam Yusmadi Yusof dan Sivarasa Rasiah, serta ADUN Pantai Jerejak Sim Tze Tsin.

Wartawan dibenarkan untuk memerhatikan prosiding berkenaan daripada luar bilik tersebut.

Selepas selesai merakamkan kenyataannya, Anwar berkata empat laporan polis dibuat ke atasnya berhubung ucapannya di beberapa ceramah sepanjang tempoh sambutan tahun baru Cina.

Anwar berkata siasatan mengikut Seksyen 112 Akta Polis itu dijalankan atas dakwaan fitnah, hasutan dan mengadakan perhimpunan haram.

"Tiga laporan polis daripada polis sendiri dan satu daripada orang awam," kata Anwar.

Siasatan polis adalah berdasarkan ucapan Anwar yang menyentuh tentang kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pembelian kontroversi dua kapal selam, skandal dua pesawat pejuang yang kehilangan enjin serta perbicaraan kes liwatnya.

"(Dalam majlis berkenaan) sememangnya kita ada menyebut mengenai pembunuhan Altantuya, kita sebut mengenai komisyen dan rasuah dalam pembelian kapal selam," katanya.

Tiga daripada program berkenaan merupakan acara sambutan Tahun Baru Cina dan juga satu ceramah anjuran DAP.


Ucapan itu dibuat di beberapa tempat di Pulau Pinang - Kepala Batas di Seberang Jaya, Batu Maung di Bayan Baru, Kampung Padang Tembak di Bukit Bendera dan Kubang Semang di Permatang Pauh.

Anwar mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta ahli Umno lain menggunakan polis untuk menakut-nakutkan pemimpin pembangkang.

"Kami bantah sekeras-kerasnya siasatan ini.

"Semua program ini kita jalankan dengan permit (polis).

"(Saya seru) polis supaya jangan diperalatkan ahli politik dan beri tumpuan (membanteras) jenayah.


Ketika ditanya, Anwar berkata beliau tidak mengetahui dengan pasti mengapa polis mengambil tindakan ke atas program di Pulau Pinang sahaja.

"Saya percaya ini disebabkan mereka mahu tunjukkan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang itu anti Melayu dan Islam," katanya.

Tambahnya, setakat ini 15 ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat telah disiasat polis atas perkara yang sama./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan