Zulkifli Sulong |
HULU SELANGOR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor adalah pilihan sebulat suara PAS, PKR dan DAP. Lebih 100 petugas PAS dari negeri itu berkumpul di situ dan menerima amanat dari beliau serta lain-lain pimpinan PAS sebelum menjalankan tugas sehingga pilihan raya kecil ini pada 25 April nanti. "Ada orang buat macam-macam tuduhan kepada Datuk Zaid masa dia Umno dulu. Saya tegaskan, kalau adapun itu masa dia dalam Umno. Sekarang dia sudah bersama kita dan dah meninggalkan Umno," kata beliau penuh semangat diiringi takbir dari para penyokong PAS. Bagi beliau, Zaid adalah tokoh kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin.
"Itu semasa dia bersama Umno...sekarang dia sudah keluar dari Umno. Baru-baru ini dia dah pergi menunaikan haji....kita yakin dia telah berubah selepas bersama kita," kata beliau. Abdul Hadi juga memberitahu, selepas Zaid meletakkan jawatannya dan keluar dari Umno, beliau juga ada berbincang dengan para pemimpin PAS untuk menyertai parti Islam itu atau menyertai PKR. Selepas berbincang termasuk dengan pemimpin PKR, mereka bersetuju Zaid perlu menyertai PKR. Ucapan Abdul Hadi di majlis itu penuh semangat serta menjawab pelbagai persoalan panas yang berbangkit dalam pilihan raya kecil ini walaupun hujan mencurah-curah ketika beliau berucap sehingga banjir kilat di sekitarnya. Felda Sungai Tengi adalah salah satu kawasan Felda yang menjadi kubu Umno dalam Dun Hulu Bernam di Hulu Selangor. Dalam pilihan raya umum lalu, calon PKR, Datuk Dr Zainal kalah lebih 600 undi di peti undi itu. Dalam pilihan raya ini, Umno menjadikan empat kawasan Felda sebagai pangkalan gerakan mereka untuk memenangkan calon BN, P Kamalanathan dari MIC.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan