Rabu, 16 Jun 2010

BENARKAH WAKIL RAKYAT PR MELOMPAT BUKTI SOKONGAN RAKYAT MEROSOT?

Oleh: WFAUZDIN NS

NAMPAKNYA proses pembersihan bukan sahaja berlaku di dalam PKR sahaja. Sekutunya dari DAP juga kini di dalam proses yang sama. Alhamdulillah, PAS masih bertahan kerana proses seumpama itu telah lama berlaku di dalam PAS dan kini PAS boleh dikatakan 100 % mempunyai Adun atau MP yang bersih. Semua ini terpaksa kita terima dengan penuh kesabaran dan keinsafan.

Bukan mudah untuk mengekalkan pemimpin yang benar-benar berjuang demi rakyat. Pemimpin yang lemah jiwanya tetapi tinggi nafsunya tidak akan mampu bertahan lama di dalam parti yang masih belum berkuasa secara mutlak di negara ini. Pada pendapat anda, sekiranya PR menerajui negara dan menjadi pemerintah, adakah beberapa ekor katak ini akan melompat? Jawapannya sudah pasti tidak. Oleh kerana PR belum menjadi pemerintah dan tidak mempunyai kuasa mutlak di dalam negara ini, maka beribu alasan diberikan oleh pengkhianat ini untuk melompat.

Begitulah juga yang berlaku kepada Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh yang telah keluar dari DAP dan menjadi Wakil Rakyat Bebas (tetapi sokong BN?). Berbagai cerita yang kita dengar mengapa Adun berkenaan keluar dari DAP. Di antaranya adalah seperti yang dituliskan di sini. Percaya atau tidak, terpulang kepada kita sama-sama untuk memikirkannya kerana aktiviti melompat katak ini sudah sebati buat kita dan tidak lagi menjadi satu isu yang boleh buat kita terperanjat besar. Dan, alasan mereka menjadi katak itu pun satu alasan yang sudah jemu kita mendengarnya.

Apakah Umno gembira dengan berita seperti ini? Pada pendapat saya Umno tidak lah begitu gembira dengan beberapa ekor katak yang ada sekarang. Pertamanya, katak-katak tersebut tiada nilai apa-apa buat Umno kerana kesemua mereka itu adalah terdiri dari yang tiada kualiti kepimpinan atau pengaruh besar yang boleh menarik penyokong mereka sendiri menyertai mereka. Ini fakta kerana kita sendiri boleh lihat berapa ratus orang yang katak-katak ini berjaya tarik untuk melompat bersama mereka? Umno cuma boleh gembira sedikit kerana kurangnya kerusi wakil dari PR, itu sahaja. Dari segi sokongan, Umno tidak mendapat apa-apa pun.

Cuba sebutkan seorang sahaja Wakil Rakyat katak ini yang mampu membawa sekurang-kurangnya seribu orang ahli parti bersamanya? Oleh yang demikian, dalil Umno menyatakan dengan melompatnya beberapa ekor katak ini menandakan sokongan terhadap PR merosot adalah satu dalil yang tidak menggunakan akal. Kerusi yang diwakili PR merosot memang benar, tetapi sokongan terhadap PR bukan sahaja padu malahan bertambah akibat rasa marah rakyat terhadap katak-katak yang sentiasa lapar itu. Jika benar mereka yakin sokongan terhadap PR merosot akibat perbuatan melompat beberapa ekor katak ini, nah, cuba kosongkan kerusi dan kita lihat hasilnya. Mampus katak-katak ini tidak akan berani berbuat demikian dan Umno juga pasti tidak setuju jika kerusi tersebut dikosongkan.

Bayangkan jika raja katak dari Pasir Mas yang tidak tahu malu menenggek di atas kerusi yang diberi pinjam oleh PAS itu pun tidak berani untuk mengosongkan kerusinya, ini kan pula spesis katak-katak berhingus seperti yang lain. Mereka melompat bukan kerana prinsip kerana mereka sendiri pun tidak punyai prinsip. Mereka hanya fikir bagaimana untuk menjadi Wakil Rakyat yang sentiasa buncit perut dan tiada masalah kewangan. Tentang rakyat, persetankan asalkan satu penggal ini cukup untuk mereka dan anak beranak mereka makan.

Satu lagi pengajaran buat pimpinan PR agar lebih serius di dalam memilih calon Wakil Rakyat di masa-masa akan datang. PAS telah alami proses pembersihan seperti yang berlaku terhadap PKR dan DAP dewasa ini. Malahan PAS pernah menyaksikan Presiden dan Naib Presiden mereka sendiri melompat, tetapi PAS mengambilnya sebagai hikmah dan terus berjuang dengan mempertingkatkan proses tarbiyah di kalangan jemaahnya. Kini, PAS muncul sebagai parti yang kuat dan penuh disiplin./wfauzdin.blogspot.com

1 ulasan:

  1. jgn marah biag pi depa beli perabih adun yg tamak dunia rakyat tengok. P'raya akan datang pun depa ni tak terpilih jgn risau bn ada calon depa sendiri yang bontang biji mata tak sabar2 nak jadi calon.

    BalasPadam