Harakahdaily | |
SHAH ALAM, 22 Jun: Setiausaha Politik (Setpol) kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Faekah Husin dilantik sebagai Setpol kepada Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad. Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan perkara itu pada Majlis Makan Malam Menteri Besar Selangor Bersama Media di sebuah hotel di sini, malam ini. Nik Nazmi bakal menjalankan tugas baru sebagai Pegawai Penerangan dan Komunikasi di Ibu pejabat PKR mulai 1 Julai ini. Ketika berucap pada majlis itu, Khalid berharap perlantikan Nazmi akan memberi perubahan baru kepada parti itu yang bercita-cita untuk membawa reformasi di dalam negara ini. Nazmi yang juga Adun Seri Setia mengucapkan terima kasih kepada Khalid dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang menjalankan tugas sebagai Setpol kepada Menteri Besar Selangor. Sementara itu, Faekah, 45, yang masih menyandang Setpol kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pernah memegang beberapa jawatan utama dalam PKR Selangor. Beliau yang memulakan karier sebagai peguam sejak April 1991 menjadi ahli Parti Keadilan Nasional sejak mula ditubuhkan pada 1999 yang sekaligus mengetuai wanita parti itu di Kuala Langat sehingga kini. Pada 2000, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan Wanita PKR negeri dan Bendahari Wanita negeri selepas itu. Faekah yang membuka firma sendiri bersama seorang rakan kongsi dengan nama Faekah & Choung pada 2 Mei 1994 pernah dipilih menduduki Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat pada 2001 hingga 2004./Harakahdaily
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan