Rabu, 30 Jun 2010

RAJA KATAK KENA HENTAM LAGI, KALI INI UMNO KELANTAN PULA

Jangan hentam tanpa fakta jelas: Pemuda UMNO

KOTA BHARU - Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mengingatkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali supaya tidak menghentam sesama sendiri tanpa fakta jelas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, beliau percaya Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menubuhkan Perkasa adalah semata-mata mahu menjadi ikon nasional dan menentukan kemenangannya di Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, realitinya Ibrahim tidak lagi mendapat tempat di hati Pas malah UMNO juga belum tentu sekiranya beliau mengambil sikap sedemikian.

“Malahan dengan tindakan beliau yang memutar belitkan isu di sebalik kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong seolah-olah beliau menjadi jaguh orang Melayu dalam negara ini.

“Ibrahim harus sedar bahawa selaku orang lama dalam politik, beliau tidak sepatutnya mencari isu murahan seperti itu untuk jadi jaguh.

“Sebaliknya perlu melihat kepada sensitiviti dasar yang hendak dilaksanakan Perdana Menteri dengan konsep 1Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi penjelasan terhadap isu itu, malah Ka Siong beri penjelasan kepada Pengerusi Pemuda Barisan Nasional berkaitan perkara itu.

“Jadi ia tak perlu lagi dibesar-besarkan. Pemuda negeri bukan hendak campuri isu perbalahan antara beliau dengan Khairy tetapi harus diingat yang majoriti Pemuda seluruh negara berada bersama-sama Khairy,” katanya./Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan