Isnin, 19 Julai 2010

TAKUT REAKSI RAKYAT - LAGI TANGKAPAN DI PAHANG

KUANTAN, 19 Julai - Demonstrasi Bantahan Kenaikan Harga Barangan (Gula dan Minyak) anjuran Team Wanita Pahang (Tawan) dekat Taman Gelora disini petang semalam tercemar apabila pihak polis dikatakan telah menahan beberapa orang peserta yang terlibat. Antara yang ditahan ialah Fadilah Abd Wahab (SU Wanita Pahang), Pn.Zainun Abu Bakar (Ketua Wanita Raub) dan Saudara Kamarul Hatta Md Ali (Timbalan Ketua AMK Pahang).

Program yang bermula selepas Majlis Pelancaran Tawan di Pejabat Perhubungan Negeri PKR Pahang itu turut disertai oleh Puan Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita PKR Pusat). Selepas pelancaran kira-kira jam 5.00 petang kesemua AJK Tawan telah bergerak ke Taman Geloran untuk aktiviti terbabit. Mereka mengadakan demontrasi aman sambil mengedarkan risalah Bantahan Kenaikan Harga Barang dan juga VCD Penjelasan Sheikh Yusoff Al-Qardawi tentang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekitar setengah jam selepas mereka mengadakan aktiviti tersebut, tiba-tiba beberapa orang daripada mereka ditahan oleh pihak polis.

Sebelum tangkapan dibuat, ada rundingan telah dilakukan oleh YB Zuraida dengan pihak polis. Namun begitu pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan tetap menangkap beberapa orang peserta terbabit. Mereka dibawa menaiki kereta peronda polis untuk ditahan. Selepas tangkapan, sekitar jam 6.00 petang beberapa orang pemimpin PKR Pahang termasuk Dato' Fauzi Abdul Rahman telah hadir ke IPD Kuantan untuk mengadakan perundingan. Namun, mereka dihalang bertemu dengan kesemua mereka yang ditahan atas alasan yang tidak munasabah. Kami difahamkan, ketiga-tiga pemimpin itu kini masih berada di lokap IPD Kuantan dan masih tidak dapat diketahui keadaannya. Kesemua mereka mungkin akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa.


Pemimpin Team Tawan Pahang bergambar sebelum program semalam

Sementara itu, menurut Saudara Razali Alias, Setiausaha Perhubungan PKR Pahang (foto) pihak polis tidak wajar menahan mereka. "Mereka tidak melakukan sebarang kesalahan disisi undang-undang. Mereka hanya menjalankan tugas, menyatakan bantahan secara aman dan tidak menimbulkan sebarang provokasi sebagaimana yang telah didakwa". "Pihak kami juga sedang berusaha untuk mendapatkan seorang peguam bagi tujuan pembebasan ketiga-tiga mereka.

Oleh itu kami mendesak agar mereka dibebaskan segera", katanya. Beliau yang turut melahirkan rasa kesal atas tindakan polis menahan serta melengah-lengahkan siasatan. Turut hadir di IPD pagi tadi ialah Saudara Ram Ponusamy (Timbalan Pengerusi III), Sdr Mohamad Ali Wahid (Ketua Cabang Raub), Izzah Mazlan (Naib Ketua Wanita Pahang), Tn.Hj Zahari Mamat (Ketua Cabang Paya Besar), Tn.Syed Talib (Ketua Ranting Indera Mahkota 2).

[Penahanan ketiga-tiga pemimpin terbabit jelas sekali menggambarkan betapa takutnya kerajaan UMNO BN di Pahang terhadap kebangkitan suara rakyat di negeri itu. Mereka kini terdesak akibat kenaikan harga gula dan minyak yang dilakukan baru-baru ini. Laungan rakyat didahulukan adalah sekadar retorik politik untuk terus menipu rakyat. Subsidi masih terus dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan jahat puak-puak mereka itu. Kini, pihak polis terus dijadikan alat untuk menakut-nakutkan rakyat untuk terus bersuara. Mereka mahu rakyat terus tunduk atas satu tindakan yang jelas membelakangkan nasib mereka. Tindakan Tawan mengadakan demonstrasi aman di lokasi terbabit dijadikan senjata untuk mereka menggempur Pakatan Rakyat di negeri Pahang sebenarnya. Apapun, nantikan pendedahan terkini tentang isu ini nanti].

Sumber: Pahang Daily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan