Khamis, 12 Ogos 2010

AZMIN TIDAK LOBI JAWATAN MB SELANGOR - TAN SRI KHALID

Azmin perlu belajar lagi, kata MB S'gor

Jimadie Shah Othman & Aidila Razak
Ogos 11, 10

Ketika Azmin Ali dilihat menyinar di Selangor, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pula melihat naib presiden PKR itu masih perlu belajar banyak perkara dalam politik.

"Saya rasa beliau perlu belajar banyak. Pengalamannya masih terhad pada tahap tertentu.

"Saya rasa beliau boleh menjadi pelajar yang baik dan patut diberi peluang (untuk itu).

"(Ini kerana) menjadi politikal dan menjadi pengurus merupakan dua perkara yang berbeza," kata Khalid (kanan) ketika ditanya penilaiannya terhadap kepimpinan Azmin sebagai seorang negarawan.

Sebelum itu, Khalid menyebut, PKR memerlukan "imaginasi seorang negarawan" dan lebih daripada kemampuan politik untuk membangunkan parti dan negara.

"Saya rasa parti ada kebijaksanaan itu pada masa ini dan pada masa depan.

Menjelang pemilihan parti

"Kita mesti jadikan PKR ada kemampuan ini kerana kejayaan parti melampaui kejayaan dalam politik semata-mata," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di Shah Alam semalam.

Sementara itu, mengulas sama ada terdapat lobi daripada Azmin untuk menggantikannya sebagai menteri besar di negeri itu, Khalid berkata beliau tidak melihatnya.

"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak nampak ada lobi," katanya yang sebelum ini dilihat ditekan pelbagai pihak dalam parti yang mahukan Azmin diberi peranan lebih besar di Selangor.

'Persaingan' antara kedua-dua 'gergasi' PKR itu boleh ditafsirkan dalam beberapa tindakan parti itu, antaranya apabila Azmin dilantik sebagai pengerusi PKR Selangor yang baru menggantikan Khalid pada 27 Jun lalu.

Rombakan itu dibuat selepas desas-desas berlaku 'pergeseran' antara mereka, terutamanya apabila Azmin secara tiba-tiba meletakkan jawatan sebagai pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri - yang dispekulasikan sebagai protes terhadap Khalid.

Desas-desus itu disemarakkan lagi apabila kedua-dua Khalid dan Azmin dilihat sedang mengintai kerusi nombor dua - paling dekat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim - dalam PKR menjelang pemilihan parti itu pada November ini.

Masih lelap tidur

Bagaimanapun, ketika ditanya soalan itu, Khalid menjelaskan beliau sedikit pun tidak terganggu dengan kedudukan kerusi timbalan presiden yang kini disandang oleh Syed Husin Ali itu.

"Tak tahulah. (Ketawa) Saya tidak melobi untuk dapatkannya. Saya tidak pergi jumpa orang dan minta, tolong pertimbangkang saya (sebagai timbalan presiden)," katanya apabila ditanya tentang suara di akar umbi PKR yang mahukannya bertanding merebut jawatan itu.

"Saya telah cecah satu peringkat karier di mana saya tidak cenderung lagi dapatkannya (kedudukan itu)."

Bukan itu sahaja, Khalid - bekas ahli korporat yang pernah memimpin konglomerat besar Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Berhad - berkata beliau juga tidak kisah dengan jawatan menteri besar yang disandangnya semalam.

"Saya selalu kata, saya masih lelap tidur kalau tak dapatkannya. Tetapi bila dapat tugas, saya akan ambil tanggungjawab penuh," katanya lagi.

"Bagi saya bukan persoalan sama ada saya mahu menjadi menteri besar atau tidak, jika diberikan tugas, saya lakukannya."/Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan